Jawapan:                         

Tidak ada yang lebih baik untuk dijadikan sumber motivasi berdoa melainkan ayat-ayat Allah Subhanahu wa Ta'ala dan hadis-hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Marilah kita mengkaji sebahagian daripadanya. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman,

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ.

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): “Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa dekat (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.” [al-Baqarah 2:186]

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda,

الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ.

Doa adalah ibadah.[1]

لَيْسَ شَيْءٌ أَكْرَمَ عَلَى اللَّهِ تَعَالَى مِنْ الدُّعَاءِ.

Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah Ta‘ala berbanding doa.[2]

إِنَّ اللَّهَ حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي إِذَا رَفَعَ الرَّجُلُ إِلَيْهِ يَدَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا خَائِبَتَيْنِ.

Sesungguhnya Allah Maha Pemalu dan Maha Mulia. Allah malu apabila seseorang itu menadah kedua tangannya berdoa kepada-Nya lalu menurunkan kedua tangannya dalam keadaan kosong lagi tidak diperkenankan.[3]

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ إِلَّا أَعْطَاهُ اللهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ: إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا. قَالُوا: إِذًا نُكْثِرُ! قَالَ: اللهُ أَكْثَرُ.

Tidaklah seorang muslim berdoa dengan satu doa yang di dalamnya tidak terkandung permintaan yang berdosa mahupun yang memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan kepadanya salah satu daripada tiga hal, sama ada disegerakan baginya pemakbulan doanya (di dunia), atau ditangguhkan (pemakbulan doanya sehingga ke) Hari Akhirat atau dijauhkan daripadanya keburukan (mudarat, bencana atau musibah) yang semisal doanya.

Para sahabat berkata, “Jika begitu kami akan memperbanyakkan doa!”

Rasulullah menjawab, “(Teruskan kerana) Allah lebih banyak pemberian-Nya.”[4]

Ayat al-Qur’an dan hadis-hadis di atas berperanan memberi motivasi untuk kita berdoa kepada Allah. Pengetahuan, Pemberian serta Rahmat Allah sentiasa hampir kepada kita, maka berdoalah kerana dengan itu Allah al-Mujib (yang Maha Memakbulkan Doa) akan memakbulkannya. Lebih banyak kita berdoa, lebih banyak pemberian Allah.

Selain itu doa adalah ibadah yang paling mulia di sisi Allah, bererti sesiapa yang berdoa akan memperoleh pahala meskipun doa itu belum dimakbulkan. Lebih banyak seseorang itu berdoa, lebih banyak pahala yang diperolehinya. Ini kerana doa adalah satu ibadah seperti mana ibadah solat, puasa, zakat, haji dan umrah. Sesiapa yang beribadah akan diberikan pahala oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Di samping memberikan motivasi untuk berdoa, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga memberi teguran serta peringatan kepada yang malas berdoa. Baginda bersabda,

مَنْ لَمْ يَسْأَلْ اللَّهَ يَغْضَبْ عَلَيْهِ.

Sesiapa yang tidak pernah berdoa kepada Allah, maka Allah murka ke atasnya.[5]

أَعْجَزُ النَّاسِ مَنْ عَجَزَ عَنِ الدُّعَاءِ ، وَأَبْخَلُ النَّاسِ مَنْ بَخِلَ بِالسَّلَامِ.

Manusia yang paling lemah ialah orang yang malas daripada berdoa sementara manusia yang paling bakhil ialah orang bakhil daripada memberi salam.[6]

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

[1]           Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata, “Hadis ini hasan sahih.” Ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 3294/3372 (Kitab al-Da‘awat ‘an Rasulullah, Bab berkenaan keutamaan doa).

[2]           Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata, “Hadis ini hasan sahih gharib.” Ia dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 3292/3370 (Kitab al-Da‘awat ‘an Rasulullah, Bab berkenaan keutamaan doa).

[3]           Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata, “Hadis ini hasan sahih gharib.” Ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 3479/3556 (Kitab al-Da‘awat ‘an Rasulullah, Bab berkenaan doa Nabi).

[4]           Hasan: Dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnadnya dan sanadnya dinilai jayyid (baik) oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakannya dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad, hadis no.: 11133.

Dikemukakan oleh Musthafa bin al-Adawi dalam bukunya Fiqh al-Doa (edisi terjemahan oleh Hisyam Ubaidillah dan Fachrijal Umar atas judul Fikih Doa; Darus Sunnah Press, Jakarta, 2015), ms. 150 dan beliau menilai sanadnya sebagai hasan.

[5]           Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi Sunannya dan beliau mendiamkan darjatnya. Ia dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 3295/3373 (Kitab al-Da‘awat ‘an Rasulullah, Bab berkenaan keutamaan doa).

[6]           Hasan: Dikeluarkan oleh Abd al-Ghani al-Maqdisi dan al-Thabarani, dinilai hasan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah, hadis no.: 601.