Jawapan:

 

Maksud berdoa dengan amal soleh ialah menjadikan amal-amal soleh yang pernah dilakukan sebagai sarana bagi meningkatkan kadar kemakbulan doa. Ia disebut sebagai berdoa dengan bertawassul kepada amal soleh. Amal soleh itu mestilah menepati dua syarat. Pertama, ia dilakukan ikhlas kerana Allah. Kedua, ia bukanlah bid’ah, tetapi merupakan sesuatu yang disyari’atkan dalam Islam.

Dalil bagi berdoa dengan bertawassul kepada amal soleh adalah hadis berikut daripada ‘Abdullah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

بَيْنَمَا ثَلَاثَةُ نَفَرٍ يَتَمَشَّوْنَ أَخَذَهُمْ الْمَطَرُ فَأَوَوْا إِلَى غَارٍ فِي جَبَلٍ فَانْحَطَّتْ عَلَى فَمِ غَارِهِمْ صَخْرَةٌ مِنْ الْجَبَلِ فَانْطَبَقَتْ عَلَيْهِمْ. فَقَالَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ: انْظُرُوا أَعْمَالًا عَمِلْتُمُوهَا صَالِحَةً لِلَّهِ فَادْعُوا اللَّهَ تَعَالَى بِهَا لَعَلَّ اللَّهَ يَفْرُجُهَا عَنْكُمْ.

Ketika tiga sekawan sedang berjalan (hiking), tiba-tiba hujan turun lalu mereka berlindung ke dalam sebuah gua di sebuah gunung. Kemudian sebuah batu besar dari gunung itu jatuh dan menutupi pintu gua sehingga mereka terperangkap di dalamnya. Maka berkatalah salah seorang daripada mereka kepada temannya yang lain, “Perhatikanlah amal soleh yang pernah kalian lakukan kerana Allah, lalu berdoalah kepada Allah Ta’ala dengannya. Mudah-mudahan Allah membuka (pintu gua) itu untuk kalian.”

فَقَالَ أَحَدُهُمْ: اللَّهُمَّ إِنَّهُ كَانَ لِي وَالِدَانِ شَيْخَانِ كَبِيرَانِ وَامْرَأَتِي وَلِي صِبْيَةٌ صِغَارٌ أَرْعَى عَلَيْهِمْ فَإِذَا أَرَحْتُ عَلَيْهِمْ حَلَبْتُ فَبَدَأْتُ بِوَالِدَيَّ فَسَقَيْتُهُمَا قَبْلَ بَنِيَّ.

Maka berkatalah salah seorang daripada mereka, “Ya Allah, sesungguhnya dahulu aku mempunyai dua orang tua yang sudah lanjut usia, seorang istri dan beberapa orang anak lelaki kecil yang aku sara kehidupan mereka dengan mengembala kambing. Apabila pulang, aku memerah susu dan aku dahulukan ibu dan bapaku untuk minum sebelum aku berikan kepada anak-anakku.

وَأَنَّهُ نَأَى بِي ذَاتَ يَوْمٍ الشَّجَرُ فَلَمْ آتِ حَتَّى أَمْسَيْتُ فَوَجَدْتُهُمَا قَدْ نَامَا فَحَلَبْتُ كَمَا كُنْتُ أَحْلُبُ فَجِئْتُ بِالْحِلَابِ فَقُمْتُ عِنْدَ رُءُوسِهِمَا أَكْرَهُ أَنْ أُوقِظَهُمَا مِنْ نَوْمِهِمَا وَأَكْرَهُ أَنْ أَسْقِيَ الصِّبْيَةَ قَبْلَهُمَا وَالصِّبْيَةُ يَتَضَاغَوْنَ عِنْدَ قَدَمَيَّ فَلَمْ يَزَلْ ذَلِكَ دَأْبِي وَدَأْبَهُمْ حَتَّى طَلَعَ الْفَجْرُ.

Pada satu hari, aku bekerja agak jauh dan hanya kembali ke rumah pada waktu malam. Lalu aku dapati ibu dan bapaku telah tidur. Seperti biasa aku memerah susu dan membawanya ke bilik tidur mereka. Aku berdiri di sisi kepala mereka berdua namun aku tidak suka mengejutkan mereka berdua daripada tidur. Pada waktu yang sama aku tidak suka memberi minum anak-anakku sebelum mereka berdua, meskipun anak-anakku telah berada di kakiku meminta susu kerana kelaparan. Keadaan aku dan anak-anak aku berterusan sehinggalah terbit fajar.

فَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنِّي فَعَلْتُ ذَلِكَ ابْتِغَاءَ وَجْهِكَ فَافْرُجْ لَنَا مِنْهَا فُرْجَةً نَرَى مِنْهَا السَّمَاءَ. فَفَرَجَ اللَّهُ مِنْهَا فُرْجَةً فَرَأَوْا مِنْهَا السَّمَاءَ.

(Ya Allah), jika Engkau mengetahui bahawasanya aku melakukan sedemikian bagi mencari Wajah-Mu,[1] maka bukakanlah bagi kami satu celah daripada pintu gua itu, bukaan yang daripada celahnya dapat kami melihat langit.” Maka Allah membuka satu celah daripada pintu gua itu, bukaan yang daripada celahnya dapat mereka melihat langit.

وَقَالَ الْآخَرُ: اللَّهُمَّ إِنَّهُ كَانَتْ لِيَ ابْنَةُ عَمٍّ أَحْبَبْتُهَا كَأَشَدِّ مَا يُحِبُّ الرِّجَالُ النِّسَاءَ. وَطَلَبْتُ إِلَيْهَا نَفْسَهَا فَأَبَتْ حَتَّى آتِيَهَا بِمِائَةِ دِينَارٍ.

Kemudian seorang lagi berkata, “Ya Allah, sesungguhnya dahulu aku mempunyai seorang sepupu perempuan yang aku sangat suka kepadanya, sebagaimana kesukaan seorang lelaki yang bersangatan kepada seorang perempuan. Lalu aku mengajaknya untuk berhubungan seks tetapi dia menolak sehinggalah aku memberinya seratus dinar.

فَتَعِبْتُ حَتَّى جَمَعْتُ مِائَةَ دِينَارٍ فَجِئْتُهَا بِهَا فَلَمَّا وَقَعْتُ بَيْنَ رِجْلَيْهَا قَالَتْ: يَا عَبْدَ اللَّهِ! اتَّقِ اللَّهَ! وَلَا تَفْتَحْ الْخَاتَمَ إِلَّا بِحَقِّهِ. فَقُمْتُ عَنْهَا.

Maka aku bersusah payah (bekerja) sehinggalah berjaya mengumpulkan seratus dinar dan menyerahkan kepadanya. Tatkala aku sudah berada di antara dua kakinya (kedudukan untuk hubungan seks), dia berkata, “Wahai hamba Allah! Bertaqwalah kepada Allah! Janganlah kamu membuka cincin (yakni memasukkan penis dalam faraj) melainkan secara hak (yakni bernikah secara syar’e).” Maka aku bangun (beredar) daripadanya.

فَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنِّي فَعَلْتُ ذَلِكَ ابْتِغَاءَ وَجْهِكَ فَافْرُجْ لَنَا مِنْهَا. فُرْجَةً فَفَرَجَ لَهُمْ

(Ya Allah), jika Engkau mengetahui bahawasanya aku melakukan sedemikian bagi mencari Wajah-Mu, maka bukakanlah bagi kami satu celah daripada pintu gua itu.” Maka (Allah) membuka satu lagi celah bagi mereka.

وَقَالَ الْآخَرُ: اللَّهُمَّ إِنِّي كُنْتُ اسْتَأْجَرْتُ أَجِيرًا بِفَرَقِ أَرُزٍّ فَلَمَّا قَضَى عَمَلَهُ قَالَ أَعْطِنِي حَقِّي فَعَرَضْتُ عَلَيْهِ فَرَقَهُ فَرَغِبَ عَنْهُ فَلَمْ أَزَلْ أَزْرَعُهُ حَتَّى جَمَعْتُ مِنْهُ بَقَرًا وَرِعَاءَهَا.

Berkata seorang lagi, “Ya Allah, sesungguhnya aku dahulu pernah menggaji seseorang dengan upah satu bahagian beras. Tatkala selesai kerjanya, dia berkata, “Berikan aku hak aku (gaji aku).” Lalu aku menawarkan bahagian beras tersebut akan tetapi dia tidak mahu menerimanya. Setelah itu aku terus mengusahakan sendiri ladangku sehingga hasil daripadanya dapat aku menternak beberapa ekor lembu beserta pengembalanya.

فَجَاءَنِي فَقَالَ: اتَّقِ اللَّهَ وَلَا تَظْلِمْنِي حَقِّي! قُلْتُ: اذْهَبْ إِلَى تِلْكَ الْبَقَرِ وَرِعَائِهَا فَخُذْهَا. فَقَالَ: اتَّقِ اللَّهَ وَلَا تَسْتَهْزِئْ بِي! فَقُلْتُ: إِنِّي لَا أَسْتَهْزِئُ بِكَ خُذْ ذَلِكَ الْبَقَرَ وَرِعَاءَهَا. فَأَخَذَهُ فَذَهَبَ بِهِ.

(Setelah beberapa ketika) pekerja itu datang kepadaku dan berkata, “Bertaqwalah kepada Allah dan jangan menzalimi hak aku!” Aku menjawab, “Pergilah kepada lembu-lembu itu berserta para pengembalanya dan ambillah ia.” Dia berkata, “Bertaqwalah kepada Allah dan jangan mempermain-mainkan aku!” Aku menjawab, “Sesungguhnya aku tidak mempermain-mainkan kamu. Ambillah lembu-lembu itu berserta para pengembalanya.” Maka dia mengambilnya dan pergi.

فَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنِّي فَعَلْتُ ذَلِكَ ابْتِغَاءَ وَجْهِكَ فَافْرُجْ لَنَا مَا بَقِيَ. فَفَرَجَ اللَّهُ مَا بَقِيَ.

(Ya Allah), jika Engkau mengetahui bahawasanya aku melakukan sedemikian bagi mencari Wajah-Mu, maka bukakanlah bagi kami apa yang tertinggal (dari pintu gua itu).” Maka Allah membuka apa yang tertinggal (dari pintu gua itu sehingga mereka dapat keluar).[2]

Dalam hadis di atas, tiga sekawan berdoa dengan bertawassul kepada amal-amal soleh mereka. Amal soleh itu boleh jadi dengan membuat kebaikan, seperti berbakti kepada ibu dan bapa, dan bersikap amanah. Amal soleh itu juga boleh jadi menjauhi kemungkaran, seperti mengelak daripada melakukan zina.

Apa yang penting amal soleh itu asalnya dilakukan ikhlas kerana Allah Subhanahu wa Ta'ala. Janganlah apabila sudah menghadapi masalah baru hendak beramal soleh untuk bertawassul dengannnya, kerana itu bererti anda melakukan amal soleh bukan kerana Allah tetapi kerana masalah yang dihadapi. Atas nota ini, pastikan anda lazim beramal soleh supaya mudah bertawassul dengannya apabila perlu.

Selain itu, pastikan anda beramal soleh dengan apa yang disyari’atkan oleh Islam. Menganjurkan majlis doa awal dan akhir tahun, berarak sempena Maulid Nabi dan menghadiri konsert selawat bukanlah amal soleh yang disyari’atkan oleh Islam.

 

[1]          Apakah maksud mencari wajah Allah?

Di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jemaah, kita meyakini bahawa pada Hari Akhirat kelak, ketika di dalam syurga kita akan dapat melihat wajah Allah tanpa apa-apa penghalang. Ini merupakan sebesar-besar ganjaran dan merupakan suatu tambahan di dalam syurga kelak. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala,

لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا الْحُسْنَى وَزِيَادَةٌ وَلَا يَرْهَقُ وُجُوهَهُمْ قَتَرٌ وَلَا ذِلَّةٌ أُولَئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ.

Bagi orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan (syurga) serta satu tambahan yang mulia (yakni melihat wajah Allah) dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. [Yunus 10:26]

Oleh itu apabila sesuatu hadis menceritakan sesuatu kebaikan demi mencari wajah Allah, ia bermaksud memberi motivasi untuk beramal soleh agar dengan itu layak melihat wajah Allah di dalam syurga kelak. Beramal soleh untuk mendapatkan pahala dan syurga memang betul, namun hendaklah memiliki sasaran yang lebih tinggi dan yang paling tinggi ialah layak melihat wajah Allah.

[2]          Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 4926/2743 (Kitab al-Zikr, wa al-Du’a wa al-Taubah wa al-Istighfar, Bab kisah tiga orang penghuni gua dan mereka bertawassul dengan amal soleh).