Jawapan:

Para ilmuan Islam berbeza pendapat tentang hukum menyapu muka dengan kedua tangan selepas berdoa. Terdapat dua pendapat di kalangan mereka. Pertama, dianjurkan menyapu muka dengan kedua tangan selepas berdoa. Dalilnya adalah dua hadis dalam persoalan ini yang meskipun lemah, ia saling menguat antara satu sama lain. Dua hadis tersebut adalah:

Diriwayatkan daripada ‘Umar al-Khaththab radhiallahu 'anh,

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا رَفَعَ يَدَيْهِ فِي الدُّعَاءِ، لَمْ يَحُطَّهُمَا حَتَّى يَمْسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ.

Lazimnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam apabila mengangkat kedua tangannya untuk berdoa, tidak akan menurunkan keduanya sehinggalah baginda menyapu wajahnya dengan kedua tangannya itu.[1]

Diriwayatkan daripada ‘Abdullah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anh bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

سَلُوا اللَّهَ بِبُطُونِ أَكُفِّكُمْ، وَلَا تَسْأَلُوهُ بِظُهُورِهَا، فَإِذَا فَرَغْتُمْ، فَامْسَحُوا بِهَا وُجُوهَكُمْ.

Mintalah kepada Allah dengan tapak tangan kalian, janganlah meminta dengan belakangnya. Apabila telah selesai (berdoa), maka sapulah wajah kalian dengannya.[2]

Meskipun kedua-dua riwayat di atas adalah lemah, ada ahli hadis yang berpendapat ia saling menguat sehingga dapat dinaikkan ke darjat hasan. Antaranya adalah Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah di mana beliau berkata,

وَعَنْ عُمَرَ - رضي الله عنه - قَالَ: كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا مَدَّ يَدَيْهِ فِي الدُّعَاءِ، لَمْ يَرُدَّهُمَا، حَتَّى يَمْسَحَ بِهِمَا وَجْهَهُ. أَخْرَجَهُ التِّرْمِذِيُّ. وَلَهُ شَوَاهِدُ مِنْهَا حَدِيثُ ابْنِ عَبَّاسٍ عِنْدَ أَبِي دَاوُدَ، وَمَجْمُوعُهَا يَقْتَضِي أَنَّهُ حَدِيثٌ حَسَنٌ.

Dan daripada ‘Umar radhiallahu 'anh, dia berkata, “Lazimnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam apabila menghulurkan kedua tangannya untuk berdoa, tidak akan mengembalikan keduanya sehinggalah baginda menyapu wajahnya dengan kedua tangannya itu.” Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan baginya ada penguat, antaranya hadis Ibn ‘Abbas di sisi Abu Daud. Hasil gabungan kedua-dua riwayat ini menunjukkan bahawa ia adalah hadis hasan.[3]

Kedua, tidak dianjurkan menyapu muka dengan kedua tangan selepas berdoa. Sebabnya, hadis-hadis yang menganjurkan menyapu muka dengan kedua tangan bukan sahaja lemah dari sudut sanad tetapi bertentangan dari sudut matan (teks hadis).

Dikatakan bertentangan kerana dalam sekian banyak hadis sahih yang menerangkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengangkat kedua tangan untuk berdoa, tidak diterangkan bahawa baginda menyapu muka dengan kedua tangannya selepas berdoa. Padahal periwayatan hadis-hadis tersebut amatlah terperinci sehingga diterangkan bagaimana baginda berdoa tanpa mengangkat tangan, dengan mengangkat kedua tangan atau hanya dengan sebelah tangan. Diterangkan juga arah tapak tangan, tinggi atau rendah kedudukan tapak tangan, bahkan sehingga diterangkan keputihan ketiak baginda yang kelihatan apabila mengangat tangan dengan amat tinggi. Di sebalik semua keterangan yang terperinci itu, tidak diterangkan bahawa baginda menyapu mukanya dengan kedua tapak tangannya setelah berdoa.

Penulis cenderung kepada pendapat kedua.

 

 

[1]          Dha’if: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya, dan beliau berkata: Hadis ini gharib. Ia dinilai dha’if oleh al-Albani dalam Dha’if Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 3308/3386 (Kitab al-Da’awat ‘an Rasulullah, Bab berkenaan mengangkat kedua tangan ketika berdoa). Ia juga dinilai dha’if oleh Syu’aib al-Arna’uth dan ‘Abd al-Latheif Harzallah dalam semakan mereka ke atas al-Jami’ al-Kabir (nama lain bagi Sunan al-Tirmizi), hadis no.: 3683.

[2]          Dha’if: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya dan beliau berkata: Hadis ini diriwayatkan dalam bentuk yang lain daripada Muhammad bin Ka’ab, setiapnya lemah. Dan jalan ini adalah yang terbaik meskipun ia lemah juga. Ia dinilai dha’if oleh al-Albani dalam Dha’if Sunan Abu Daud, hadis no.: 1270/1485 (Kitab al-Solat, Bab doa). Ia juga dinilai dha’if oleh Syu’aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Sunan Abu Daud, hadis no.: 1485.

[3]          Bulugh al-Maram min Adillah al-Ahkam, hadis no.: 1553 & 1554.

            Menarik untuk diperhatikan bahawa Ibn Hajar al-‘Asqalani turut mentakhrij kedua-dua hadis di atas dalam Nasb al-Rayah li Ahadith al-Hidayah, jld. 3, ms. 52 dan beliau tidak mengangkatnya ke darjat hasan. Demikian juga dalam Ithaf al-Maharaf bi al-Fawaid al-Mubtakarah min Athraf al-‘Asyrah, hadis no.: 15600.

            Lebih lanjut, hadis riwayat Ibn ‘Abbas memiliki dua jalan periwayatan. Yang pertama dikeluarkan oleh Abu Daud dan ia adalah lemah (dha’if) manakala yang kedua dikeluarkan oleh al-Thabarani, Ibn Majah dan al-Hakim, ia adalah amat lemah (dha’if jiddan). Sementara riwayat ‘Umar al-Khaththab, ia adalah amat lemah juga (dha’if jiddan). Sila rujuk penjelasan Ibn al-Mulaqqin dalam al-Badr al-Munir fi Takhrij al-Ahadith wa al-Atsar al-Syarh al-Kabir li al-Rifa’e, jld. 3, ms. 638-640.

           Justeru penulis lebih cenderung mengatakan bahawa hadis-hadis terbabit tidaklah saling menguat sehingga tidak dapat dinaikkan ke taraf hasan.