Jawapan:

Orang yang melaksanakan haji atau umrah, mereka merupakan tetamu rasmi Allah dan Allah akan memakbulkan doa-doa mereka. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

الْغَازِي فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالْحَاجُّ وَالْمُعْتَمِرُ وَفْدُ اللَّهِ دَعَاهُمْ فَأَجَابُوهُ وَسَأَلُوهُ فَأَعْطَاهُمْ

Orang yang berperang di jalan Allah, orang yang melaksanakan haji dan orang yang melaksanakan umrah, mereka adalah tetamu rasmi Allah. Allah memanggil mereka dan mereka menjawab panggilan-Nya, mereka meminta kepada-Nya dan Allah memberi permintaan mereka.[1]

Oleh itu ketika melaksanakan haji atau umrah, dianjurkan memperbanyakkan doa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala pada bila-bila masa, di mana-mana tempat. Doa tersebut tidak semestinya dibataskan pada tempat-tempat tertentu sehingga berlaku perebutan dan penganiayaan sesama muslim semata-mata bagi berdoa di sana.

Sejauh kajian penulis, tidak ditemui tempat-tempat yang ditunjuki oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagai tempat yang dimakbulkan doa di Mekah dan Madinah. Memang, baginda pernah berdoa di beberapa tempat seperti di Rukun Yamani ketika tawaf, di bukit Safa dan Marwah ketika Sa’e dan di Jamrah selepas melontar. Akan tetapi baginda tidak menekankan tempat-tempat tersebut sebagai tempat yang dimakbulkan doa.

Jika para pembaca ada menemui hadis sahih yang menunjuki sesuatu tempat sebagai tempat yang dimakbulkan doa di sana, seperti di Multazam, minta disampaikan kepada penulis agar dapat diperbetulkan kenyataan ini. Sementara itu, marilah kita memperbanyakkan doa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala pada bila-bila masa, di mana-mana tempat ketika melaksanakan haji dan umrah.

Bagi semua umat Islam, baik yang melaksanakan haji atau tidak, sangat dianjurkan memperbanyakkan doa pada Hari ‘Arafah, yakni pada 9 Zulhijjah. Tentang keutamaan ini, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ، مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ، وَإِنَّهُ لَيَدْنُو، ثُمَّ يُبَاهِي بِهِمِ الْمَلَائِكَةَ، فَيَقُولُ: مَا أَرَادَ هَؤُلَاءِ؟

Tidak ada hari di mana Allah paling banyak membebaskan orang daripada neraka berbanding Hari ‘Arafah. Dan sesungguhnya Allah menghampiri mereka, kemudian membanggakan mereka di hadapan para malaikat dan bertanya, “Apakah yang diingini mereka?”[2]

Nah! Jika orang-orang yang dibebaskan daripada neraka Allah bertanya apakah keinginan mereka, maka bagaimana pula orang-orang lain di dunia ini yang belum diputuskan kedudukan mereka sama ada syurga atau neraka? Tentu akan dipenuhi juga keinginan mereka.

Dalam sebuah hadis lain baginda bersabda,

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ.

Sebaik-baik doa adalah doa pada Hari ‘Arafah.[3]

Dalam hadis ini, Rasulullah menyebut “Hari Arafah” dan bukannya “di Arafah”, menunjukkan bahawa keutamaan berdoa adalah bagi semua umat Islam pada 9 Zulhijjah mengikut kiraan hari di lokasi masing-masing. Ia tidak terbatas kepada jemaah haji di Padang Arafah sahaja.

 

[1]          Hasan: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dalam Sunannya dan sanadnya dinilai hasan oleh al-Bushiri dalam Misbah al-Zujajah fi Zawa’id Ibn Majah, hadis no.: 1026. Ia juga dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no.: 2884/2893 (Kitab al-Manasik, Bab keutamaan doa orang yang melaksanakan haji).

[2]          Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 2402/1348 (Kitab al-Hajj, Bab keutamaan haji, umrah dan hari ‘Arafah).

[3]          Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata, “Hadis ini gharib.” Ia dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 3509/3585 (Kitab al-Da’awat ‘an Rasulullah, Bab keutamaan “La hawla wala quwwata illa bilLah). Dinilai hasan li ghairihi oleh Syu’aib al-Arna’uth dan ‘Abd al-Latheif Harzallah dalam semakan mereka ke atas al-Jami’ al-Kabir (nama lain bagi Sunan al-Tirmizi), hadis no.: 3902.