Jawapan:

Hukum mendoakan orang kafir terbahagi kepada dua keadaan. Pertama, Setelah mereka meninggal dunia. Dilarang mendoakan keampunan kepada orang kafir yang sudah meninggal dunia berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala,

مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ.

Tidaklah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun bagi orang-orang musyrikin, meskipun mereka itu adalah kaum kerabat(nya), sesudah jelas bagi mereka bahawasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka jahim. [al-Taubah 9:113]

Kedua, ketika mereka masih hidup. Dibolehkan mendoakan keampunan kepada orang-orang kafir yang masih hidup. Ini kerana ayat 113 surah al-Taubah di atas merujuk kepada mereka yang sudah meninggal dunia.

Firman Allah, …sesudah jelas bagi mereka bahawasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka jahim bermaksud sesudah meninggal dunia. Ini kerana apabila mereka meninggal dunia dalam keadaan kafir dan mensyirikkan Allah (musyrikin), tiada lagi kemungkinan untuk mereka memeluk Islam sehingga jelaslah mereka sebagai penghuni neraka. Adapun ketika masih hidup, masih ada kemungkinan untuk orang-orang kafir memeluk Islam sehingga akhirnya menjadi penghuni syurga.[1]

Selain itu terdapat contoh daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang mendoakan keampunan kepada orang-orang kafir yang masih hidup. Sahl bin Sa’ad al-Sa’idi radhiallahu 'anh menceritakan peristiwa ketika Perang Uhud,

شَهِدْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ كُسِرَتْ رَبَاعِيَتُهُ، وَجُرِحَ وَجْهُهُ، وَهُشِّمَتِ الْبَيْضَةُ عَلَى رَأْسَهِ،

Aku menyaksikan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam saat giginya patah, wajahnya luka dan topi perang di atas kepalanya pecah.

وَإِنِّي لَأَعْرِفُ مَنْ يَغْسِلُ الدَّمَ عَنْ وَجْهِهِ، وَمَنْ يَنْقُلُ عَلَيْهِ الْمَاءَ، وَمَاذَا جُعِلَ عَلَى جُرْحِهِ حَتَّى رَقَأَ الدَّمُ،

Dan sesungguhnya aku mengetahui siapakah yang membasuh darah daripada wajahnya, siapakah yang membawakan air untuknya dan apakah yang diletakkan dilukanya sehingga darah berhenti mengalir.

كَانَتْ فَاطِمَةُ بِنْتُ مُحَمَّدٍ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَغْسِلُ الدَّمَ عَنْ وَجْهِهِ، وَعَلِيٌّ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ يَنْقُلُ الْمَاءَ إِلَيْهَا فِي مَجَنَّةٍ،

Orang itu adalah Fatimah binti Muhammad Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, dialah yang membasuh darah dari wajah baginda dan ‘Ali (bin Abi Thalib) radhiallahu 'anh, dialah yang membawa air kepada baginda di dalam perisainya.[2]

فَلَمَّا غَسَلَتِ الدَّمَ عَنْ وَجْهِ أَبِيهَا أَحْرَقَتْ حَصِيرًا، حَتَّى إِذَا صَارَتْ رَمَادًا أَخَذَتْ مِنَ ذَلِكَ الرَّمَادِ فَوَضَعَتْهُ عَلَى وَجْهِهِ حَتَّى رَقَأَ الدَّمُ، ثُمَّ قَالَ: " يَوْمَئِذٍ اشْتَدَّ غَضَبُ اللهِ عَلَى قَوْمٍ كَلَمُوا وَجْهَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ!،

Maka tatkala membasuh darah dari wajah ayahnya, Fathimah membakar tikar sehingga apabila telah menjadi abu, Fathimah mengambil abu itu lalu menempel di atas wajah baginda sehingga darah berhenti mengalir. Kemudian Fathimah berkata, “Pada hari ini telah memuncak kemarahan Allah ke atas kaum yang melukai wajah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam!”

ثُمَّ مَكَثَ سَاعَةً، ثُمَّ قَالَ: اللهُمَّ اغْفِرْ لِقَوْمِي فَإِنَّهُمْ لَا يَعْلَمُونَ.

Rasulullah diam sejenak, lalu kemudian berdoa, “Ya Allah ampunilah bagi kaumku, kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”[3]

Meskipun dibolehkan mendoakan keampunan kepada orang-orang kafir yang masih hidup, yang lebih utama adalah mendoakan hidayah Allah kepada mereka. Moga dengan doa itu hati mereka cenderung kepada Islam sehingga akhirnya mentauhidkan Allah dengan memeluk Islam.

**********

Alhamdulillah, telah selesai penulis buku ini yang saya mulakan pada 6 November 2018 dan siapkan pada 31 Januari 2019. Ma sya Allah, la hawla wa la quwwata illa bilLah. Semuanya atas kehendak Allah, tiada daya bagi saya menjauhi kejahatan dan tiada upaya bagi saya melakukan kebaikan melainkan dengan kehendak Allah.

Moga buku ini dapat dimanfaatkan oleh orang ramai dan pahalanya berterusan kepada saya, isteri-isteri dan rakan-rakan yang membantu menjayakan penulisan ini. Sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam,

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ.

Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara, (1) sedekah jariahnya, (2) ilmunya yang dimanfaatkan atau (3) anak soleh yang mendoakannya.[4]

 

[1]           Rujuk keterangan al-Thabari dalam Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Qur’an, ketika mentafsirkan ayat 113 surah al-Taubah.

[2]          Apabila berperang, sebelah tangan memegang pedang sementara sebelah lagi memegang perisai bagi menahan pedang musuh. Perisai itu berbentuk bulat dan melengkung sehinga boleh digunakan untuk menadah dan membawa air.

[3]          Hasan: Dikeluarkan oleh al-Thabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir, hadis no.: 5694 & 5862. Dihimpun oleh al-Haithami dalam Majma al-Zawa’id, hadis no.: 10097 dan beliau berkata, “Diriwayatkan oleh al-Thabarani dan para perawinya adalah sahih.”

Berkata al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah, hadis no.: 3175, “Sanad (hadis) ini adalah hasan atau sahih.”

Juga dikeluarkan secara ringkas oleh Ibn Hibban dalam Shahihnya dan sanadnya dinilai hasan oleh Syu’aib al-Arna’uth dalam al-Ihsan fi Taqrib Shahih Ibn Hibban, hadis no.: 973.

[4]          Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 3084/1631 (Kitab al-Wasiyat, Bab apakah ganjaran yang diperolehi oleh manusia setelah dia meninggal dunia).