Jawapan:

Sejauh kajian penulis, tidak ditemui riwayat yang menerangkan Rasullullah shallallahu 'alaihi wasallam memimpin doa secara berjemaah selepas solat-solat fardhu. Padahal semua solat-solat fardhu Rasulullah sepanjang hidup baginda adalah secara berjemaah di masjid dan seandainya ia pernah berlaku walau sekali, nescaya para sahabat akan menceritakannya dan ia akan sampai kepada kita melalui hadis yang sahih.

Jika disemak hadis yang menerangkan Rasullullah berdoa selepas solat, jika ia difahami sebagai doa dan bukannya zikir,[1] akan didapati baginda menggunakan lafaz mufrad (singular), menunjukkan baginda berdoa berseorangan untuk diri sendiri dan bukannya memimpin doa untuk jemaah. Antaranya perhatikan hadis daripada al-Bara’ bin ‘Azib radhiallahu 'anh,

كُنَّا إِذَا صَلَّيْنَا خَلْفَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَحْبَبْنَا أَنْ نَكُونَ عَنْ يَمِينِهِ، يُقْبِلُ عَلَيْنَا بِوَجْهِهِ، قَالَ: فَسَمِعْتُهُ يَقُولُ:

Lazimnya kami (para sahabat), apabila kami solat di belakang Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, kami suka untuk berada di sebelah kanan baginda (kerana setelah solat baginda akan berpusing ke kanan) menghadap kami dengan wajahnya. Maka aku mendengar baginda berdoa,

رَبِّ قِنِي عَذَابَكَ يَوْمَ تَبْعَثُ - أَوْ تَجْمَعُ - عِبَادَكَ

“Wahai tuhanku, peliharalah aku daripada azab-Mu pada hari dibangkitkan atau dihimpunkan hamba-hamba-Mu.”[2]

Dalam beberapa suasana lain, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah memimpin doa berjemaah, seperti ketika qunut nazilah dan doa meminta hujan (istisqa’). Ini seperti yang dijelaskan dalam soalan Bolehkah Doa Secara Berjemaah? Namun doa adalah satu ibadah sehingga doa pada satu jenis ibadah tidak boleh diqiyaskan bagi mensyari’atkan doa pada jenis ibadah lain seperti selepas solat-solat fardhu berjemaah.

Di sini perlu diberi ulangkaji bahawa qiyas adalah salah satu dalil Islam bagi menjatuhkan hukum ke atas sesuatu yang baru berlaku, yang sebelum itu tidak disyari’atkan apa-apa hukum ke atasnya. Solat berjemaah bukanlah sesuatu yang baru. Ia sudah sedia ada pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sehingga jika doa secara berjemaah adalah baik, nescaya Allah dan Rasul-Nya akan mensyari’atkannya.

Justeru dialu-alukan kepada para pembaca sekalian mencari hadis yang sahih, yang secara jelas menceritakan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memimpin doa secara berjemaah selepas solat-solat fardhu. Sementara menunggu hasil pencarian itu, dinasihatkan para pembaca sekalian meninggalkan doa berjemaah selepas solat fardhu meskipun ia masyhur diamalkan di Malaysia. Jika menjadi imam, tidak perlu memimpin doa selepas solat jemaah. Jika menjadi makmum, tidak perlu mengikuti imam yang memimpin doa.

Semua ini sebagai langkah selamat mengingatkan pesan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana riwayat Jabir bin Abdullah radhiallahu 'anh,

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ فِي خُطْبَتِهِ يَحْمَدُ اللَّهَ وَيُثْنِي عَلَيْهِ بِمَا هُوَ أَهْلُهُ ثُمَّ يَقُولُ

Lazimnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam (memulakan) khutbahnya dengan memuji dan menyanjung Allah dengan apa yang merupakan hak-Nya, kemudian berkata,

مَنْ يَهْدِهِ اللَّهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْهُ فَلَا هَادِيَ لَهُ.

“Sesiapa yang diberi hidayah oleh Allah maka tiada yang dapat menyesatkannya dan sesiapa yang disesatkan-Nya maka tiada yang dapat memberi hidayah kepadanya.

إِنَّ أَصْدَقَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَأَحْسَنَ الْهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ وَكُلُّ ضَلَالَةٍ فِي النَّارِ.

Sesungguhnya sebenar-benar perbicaraan adalah Kitab Allah (al-Qur’an) dan sebaik-baik hidayah adalah hidayah Muhammad. Seburuk-buruk urusan ialah perkara-perkara yang baru (dalam agama), setiap perkara baru adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah kesesatan dan setiap kesesatan berada dalam neraka.”[3]

 

[1]          Perbezaan kefahaman ini sudah dijelaskan dalam soalan Bolehkah Berdoa Selepas Solat Fardhu?

[2]          Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 1159/709 (Kitab Sholat al-Musafirin wa Qasriha, Bab disukai berada di sebelah kanan imam).

[3]          Sahih: Sebahagian daripada hadis yang dikeluarkan oleh al-Nasa’e dalam Sunannya dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa’e, hadis no.: 1560/1578 (Kitab Solat al-‘Aidain, Bab cara berkhutbah).