Jawapan:

Doa dan usaha berlaku secara bergandingan dan selari. Ia tidak boleh diasingkan, bermaksud tidak boleh berdoa sahaja tanpa usaha dan tidak boleh berusaha sahaja tanpa doa. Bahkan hendaklah terus berusaha meskipun sudah terdapat tanda-tanda bahawa apa yang didoakan sudah hampir dimakbulkan.

Inilah yang ditunjukkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam apabila berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala tatkala menghadapi Perang Badar. Meskipun Allah sudah mengkhabarkan bahawa Dia akan menurunkan tentera malaikat bagi membantu pasukan umat Islam, baginda bersama pasukannya tetap mara ke medan perang dan bersungguh-sungguh melawan musuh.

Perhatikan hadis berikut yang diceritakan oleh Umar bin al-Khaththab radhiallahu 'anh,

لَمَّا كَانَ يَوْمُ بَدْرٍ نَظَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى الْمُشْرِكِينَ وَهُمْ أَلْفٌ وَأَصْحَابُهُ ثَلَاثُ مِائَةٍ وَتِسْعَةَ عَشَرَ رَجُلًا.

Pada hari terjadinya Perang Badar, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melihat kepada tentera musyrikin dan mereka berjumlah seribu orang sementara para sahabatnya berjumlah tiga ratus sembilan belas orang.

فَاسْتَقْبَلَ نَبِيُّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقِبْلَةَ ثُمَّ مَدَّ يَدَيْهِ فَجَعَلَ يَهْتِفُ بِرَبِّهِ.

Maka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam beralih menghadap kiblat, kemudian menadah kedua tangannya bagi merayu kepada Tuhan-nya,

اللَّهُمَّ أَنْجِزْ لِي مَا وَعَدْتَنِي اللَّهُمَّ آتِ مَا وَعَدْتَنِي اللَّهُمَّ إِنْ تُهْلِكْ هَذِهِ الْعِصَابَةَ مِنْ أَهْلِ الْإِسْلَامِ لَا تُعْبَدْ فِي الْأَرْضِ.

“Ya Allah, laksanakanlah bagiku apa yang Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah, berilah apa yang Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah, jika musnah pasukan umat Islam ini, nescaya tidak ada lagi orang yang akan menyembah-Mu di bumi ini.”

فَمَا زَالَ يَهْتِفُ بِرَبِّهِ مَادًّا يَدَيْهِ مُسْتَقْبِلَ الْقِبْلَةِ حَتَّى سَقَطَ رِدَاؤُهُ عَنْ مَنْكِبَيْهِ. فَأَتَاهُ أَبُو بَكْرٍ فَأَخَذَ رِدَاءَهُ فَأَلْقَاهُ عَلَى مَنْكِبَيْهِ.

Demikianlah baginda berterusan merayu kepada Tuhan-nya sambil menadah kedua tangannya dengan menghadap kiblat sehingga terjatuh selendang baginda dari bahunya. Maka Abu Bakar datang mengambil selendang baginda itu dan meletakkannya semula di atas bahu baginda.

ثُمَّ الْتَزَمَهُ مِنْ وَرَائِهِ وَقَالَ: يَا نَبِيَّ اللَّهِ كَفَاكَ مُنَاشَدَتُكَ رَبَّكَ فَإِنَّهُ سَيُنْجِزُ لَكَ مَا وَعَدَكَ.

Kemudian Abu Bakar yang sentiasa mengikuti belakang Rasulullah berkata, “Wahai Nabi Allah, kiranya sudah cukuplah munajat anda kepada Allah kerana Dia pasti akan melaksanakan apa yang dijanjikan-Nya kepada anda.”

فَأَنْزَلَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ ((إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّي مُمِدُّكُمْ بِأَلْفٍ مِنْ الْمَلَائِكَةِ مُرْدِفِينَ)).

Maka Allah ‘Azza wa Jalla menurunkan ayat, (ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, maka diperkenankan bagimu (dengan firman-Nya), “Sesungguhnya Aku akan membantu kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut”. (al-Anfaal 8:09).[1]

 

[1]          Sahih: Sebahagian daripada hadis yang dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 3309/1763 (Kitab al-Jihad wa al-Siyar, Bab perutusan bantuan malaikat dalam Perang Badar dan keizinan mengambil rampasan perang).