Jawapan:

Maksud berdoa pada waktu malam adalah apabila seseorang itu tidur, lalu bangun pada 3 atau 5 pagi bagi melaksanakan solat-solat sunat yang disyari’atkan dan berdoa. Bagi yang tidak dapat solat, maka dia berzikir dan berdoa sahaja. Sebahagian ilmuan berpendapat, tidak disyaratkan tidur terlebih dahulu.

Orang seperti ini, dia mendapat dua keutamaan. Pertama, dia mendapat ganjaran yang istimewa di syurga kelak sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala,

إِنَّمَا يُؤْمِنُ بِآيَاتِنَا الَّذِينَ إِذَا ذُكِّرُوا بِهَا خَرُّوا سُجَّدًا وَسَبَّحُوا بِحَمْدِ رَبِّهِمْ وَهُمْ لَا يَسْتَكْبِرُونَ.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat kami tidak lain adalah mereka yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat itu, mereka segera sujud sambil bertasbih dan memuji tuhan mereka, dan mereka itu tidaklah sombong.

تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ.

Mereka menjauhkan diri dari tempat tidur (pada malam hari, untuk solat), mereka berdoa kepada tuhan mereka dengan perasaan bimbang (tidak dimakbulkan) serta berharap (ia dimakbulkan), dan mereka pula menyedekahkan sebahagian daripada apa Kami rezekikan kepada mereka.

فَلَا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَا أُخْفِيَ لَهُمْ مِنْ قُرَّةِ أَعْيُنٍ جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ.

Maka tidak seorangpun mengetahui apa yang dirahsiakan kepada mereka daripada perkara-perkara yang amat disukai, sebagai ganjaran bagi apa yang mereka kerjakan. [al-Sajdah 32:15-17]

Dalam ayat di atas, Allah menerangkan beberapa ciri orang yang benar imannya, iaitu mereka yang (1) apabila diperingatkan dengan sesuatu ayat al-Qur’an, mereka segera mentaati dan mengamalkannya, (2) lazim bangun malam bagi melaksanakan solat-solat sunat seperti solat tahajjud, solat taubat, solat hajat, dan solat witir, (3) lazim bangun malam berdoa kepada Allah dan (4) lazim bersedekah.

Orang-orang seperti ini Allah berikan ganjaran istimewa, Maka tidak seorangpun mengetahui apa yang dirahsiakan kepada mereka daripada perkara-perkara yang amat disukai, sebagai ganjaran bagi apa yang mereka kerjakan.

Oleh itu hendaklah merajinkan diri bangun dari tidur bagi memperbanyakkan doa pada waktu malam. Doa bersungguh-sungguh yang disifatkan sebagai …berdoa kepada tuhan mereka dengan perasaan bimbang (tidak dimakbulkan) serta berharap (ia dimakbulkan). Seandainya pada malam itu tiada apa-apa hajat khusus yang diinginkan, maka berdoalah dengan doa-doa umum sebagaimana yang dijelaskan dalam soalan Apakah doa yang sesuai dibaca ketika senang?

Kedua, orang yang berdoa pada waktu malam, dia mendapat keutamaan doanya dimakbulkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ يَقُولُ:

Tuhan kami Tabaraka wa Ta’ala turun ke langit dunia pada setiap malam, ketika baki sepertiga malam yang terakhir, lalu berfirman,

مَنْ يَدْعُونِي، فَأَسْتَجِيبَ لَهُ مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ، مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ

“Siapakah yang berdoa kepada-Ku, maka Aku makbulkan baginya. Siapakah yang meminta daripada-Ku, maka Aku berikan kepadanya. Siapa yang meminta ampun pada-Ku, maka Aku ampunkan baginya.”[1]

Adapun kiraan baki sepertiga malam, memadai dengan kiraan secara kasar. Ini kerana pada zaman Rasuullah shallallahu 'alaihi wasallam, tidak ada jam bagi melakukan kiraan waktu yang tepat. Oleh itu secara kasarnya, jika waktu Maghrib di Malaysia ialah 7.30 malam sementara waktu Subuh ialah 6.00 pagi, maka tempoh waktu malam adalah selama 10 jam dan 30 minit. Sepertiga daripada tempoh ini adalah 3 jam dan 30 minit. Maka waktu baki sepertiga malam bermula dari pukul 2.30 pagi sehinggalah ke azan Subuh.

 

Bagi yang Tidak Dapat Bangun…

Sesiapa yang terjaga daripada tidur pada waktu malam namun tidak dapat bangun kerana sesuatu keuzuran, maka dia tetap dianjurkan berzikir dan berdoa sebagaimana hadis berikut. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

مَنْ تَعَارَّ مِنَ اللَّيْلِ، فَقَالَ:

Sesiapa yang terjaga (daripada tidurnya) pada waktu malam, lalu dia mengucapkan (zikir berikut),

لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، الحَمْدُ لِلَّهِ، وَسُبْحَانَ اللَّهِ، وَلاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَاللَّهُ أَكْبَرُ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ.

“Tiada tuhan melainkan Allah, yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya segala kerajaan dan bagi-Nya segala pujian dan Dia atas segala sesuatu Maha Berkuasa. Segala puji bagi Allah, Maha suci Allah, dan tidak ada tuhan selain Allah, Allah Maha besar, tidak ada daya dan tidak ada kekuatan melainkan dengan izin Allah”

ثُمَّ قَالَ: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي، أَوْ دَعَا، اسْتُجِيبَ لَهُ، فَإِنْ تَوَضَّأَ وَصَلَّى قُبِلَتْ صَلاَتُهُ.

Kemudian dia berdoa, “Ya Allah ampunilah aku” atau berdoa (apa-apa yang lain), dimakbulkan baginya. Jika dia berwudhu’ dan melaksanakan solat, maka diterima solatnya.[2]

2. Soalan: Apakah Keutamaan Berdoa Pada Hari Jumaat?

Jawapan:

Hari Jumaat memiliki keistimewaan di mana terdapat satu waktu di mana doa akan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Abu Hurairah radhiallahu 'anh menerangkan,

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَكَرَ يَوْمَ الجُمُعَةِ، فَقَالَ:

Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyebut tentang hari Jumaat, lalu baginda bersabda,

فِيهِ سَاعَةٌ، لاَ يُوَافِقُهَا عَبْدٌ مُسْلِمٌ، وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي، يَسْأَلُ اللَّهَ تَعَالَى شَيْئًا، إِلَّا أَعْطَاهُ إِيَّاهُ.

Padanya terdapat satu waktu di mana tidaklah seorang muslim menemuinya sedangkan dia berdiri melaksanakan solat, dia meminta sesuatu kepada Allah Ta’ala, kecuali akan diberikan kepadanya.

وَأَشَارَ بِيَدِهِ يُقَلِّلُهَا.

(Abu Hurairah melanjutkan) Rasulullah mengisyaratkan dengan tangannya bagi menunjukkan waktu itu adalah singkat.[3]

Terdapat dua hadis yang menerangkan bilakah waktu tersebut. Kedua-dua hadis ini menunjukkan ada keluasan dalam perkara ini di mana Allah Subhanahu wa Ta'ala memberikan dua waktu kepada para hamba-Nya berdoa kepada-Nya.[4]

Hadis Pertama

أَبِي بُرْدَةَ بْنِ أَبِي مُوسَى الْأَشْعَرِيِّ قَالَ: قَالَ لِي عَبْدُ اللهِ بْنُ عُمَرَ: أَسَمِعْتَ أَبَاكَ يُحَدِّثُ عَنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي شَأْنِ سَاعَةِ الْجُمُعَةِ؟

Abu Burdah bin Abu Musa al-‘Asy’ari berkata, ‘Abdullah bin ‘Umar bertanya padaku, “Apakah kamu mendengar ayahmu menceritakan daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tentang waktu (mustajab doa) pada Hari Jumaat?”

قُلْتُ: نَعَمْ، سَمِعْتُهُ يَقُولُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: هِيَ مَا بَيْنَ أَنْ يَجْلِسَ الْإِمَامُ إِلَى أَنْ تُقْضَى الصَّلَاةُ.

(Abu Burdah) menjawab, “Ya, aku mendengar ayahku berkata, aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, “Waktu itu ialah antara duduknya imam (di antara dua khutbah) sehinggalah selepas solat”.”[5]

Berdasarkan hadis di atas, hendaklah mencari ruang antara masa khatib duduk di antara dua khutbah sehingga selesai solat untuk berdoa. Amalan penulis, waktu yang dapat dimanfaatkan untuk berdoa adalah ketika khatib duduk di antara dua khutbah dan selepas iqamat, yakni ketika imam menunggu para jemaah memenuhi dan meluruskan saf-saf solat.

Sayang sekali di kebanyakan masjid dan surau di Malaysia, waktu khatib duduk di antara dua khutbah diganggu oleh bilal bagi melaungkan selawat dan menyanyikan doa “Ya Allah, rahmatilah hari Jumaat…” secara kuat menggunakan pembesar suara. Sepatutnya bilal diam, memberi peluang kepada setiap jemaah berdoa apa yang masing-masing inginkan.

Memang, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menganjurkan memperbanyakkan selawat pada hari Jumaat. Namun anjuran ini merujuk kepada seluruh hari Jumaat. Adapun waktu duduknya khatib di antara dua khutbah, maka yang dianjurkan oleh Rasulullah sebagaimana hadis di atas adalah berdoa. Bukan bilal berdoa untuk semua jemaah, tetapi setiap jemaah mendoakan apa yang masing-masing inginkan.

Justeru penulis menasihatkan para pembaca sekalian mengabaikan laungan selawat dan nyanyian doa oleh bilal. Sebaliknya manfaatkanlah masa khatib duduk di antara dua khutbah untuk berdoa apa yang diingini.

Bagi mereka yang tidak wajib menghadiri solat Jumaat berjemaah, seperti kaum wanita, orang musafir dan orang sakit, mereka dapat mengetahui masa khatib duduk di antara dua khutbah sehingga selesai solat dengan menonton siaran langsung di TV. Bagi yang duduk berhampiran, mereka dapat mengetahui masa itu dengan mendengar aktiviti di dalam masjid dan surau. Jika tidak dapat mengetahui masa tersebut, maka manfaatkan berdoa pada akhir waktu Asar sebagaimana hadis seterusnya.

 

Hadis Kedua

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

يَوْمُ الْجُمُعَةِ ثِنْتَا عَشْرَةَ - يُرِيدُ - سَاعَةً، لَا يُوجَدُ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ شَيْئًا، إِلَّا أَتَاهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ، فَالْتَمِسُوهَا آخِرَ سَاعَةٍ بَعْدَ الْعَصْرِ.

Hari Jumaat memiliki dua belas masa. Ada satu masa yang tidaklah seorang muslim meminta sesuatu kepada Allah 'Azza wa Jalla melainkan Allah 'Azza wa Jalla akan memberikan kepadanya. Maka carilah masa itu pada waktu-waktu akhir sesudah Asar.[6]

Hadis di atas menerangkan satu lagi waktu pada hari Jumaat yang Allah memakbulkan doa, yakni pada waktu-waktu akhir sesudah Asar. Maka jika waktu Maghrib ialah pukul 7.30 malam, maka perbanyakkanlah doa antara 6.30 petang hingga dilaungkan azan Maghrib.

 

[1]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 1077/1145 (Kitab al-Tahajjud, Bab doa pada solat di akhir malam).

[2]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 1086/1154 (Kitab al-Tahajjud, Bab keutamaan orang yang terjaga malam lalu bersolat).

[3]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 883/935 (Kitab al-Jumu’ah, Bab satu waktu pada hari Jumaat).

[4]          Dalam kajian penulis, kebanyakan ilmuan mencenderungi hadis kedua sebagai lebih kuat bagi menerangkan waktu mustajab berdoa pada hari Jumaat. Penulis berpandangan kedua-dua hadis patut diamalkan dan ia sebenarnya satu keluasan bagi umat Islam.

[5]          Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 1409/853 (Kitab al-Jumu’ah, Bab tentang satu waktu pada hari Jumaat).

[6]           Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no.: 884/1048 (Kitab Tafriq Abwab al-Jumu’ah, Bab satu waktu yang dimakbulkan doa pada hari Jumaat). Syu’aib al-Arna’uth menilai isnadnya kuat (qawi) dalam semakannya ke atas Sunan Abu Daud, hadis no.: 1048.