Jawapan:

Doa Istikharah adalah seseorang itu membuat pilihan perkara yang penting dalam kehidupannya, lalu dia solat sunat dua rakaat dan berdoa kepada Allah agar pilihannya adalah betul, dipermudahkan dan diberkati Allah. Kemudian dia berusaha bersungguh-sungguh bagi menjayakan pilihannya sambil yakin bahawa itulah yang terbaik baginya.

Doa Istikharah merupakan salah satu cara seseorang itu membuktikan tauhidnya kepada Allah, di mana dia meletakkan keyakinan dan kebergantungan pada Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam pilihan serta urusan kehidupannya.

Doa Istikharah bukanlah apabila seseorang itu keliru antara dua atau lebih pilihan lalu dia berdoa meminta petunjuk pilihan manakah yang betul. Hasil doa Istikharah juga tiada kaitan dengan mimpi atau kejadian buruk. Semua itu hanyalah kepercayaan sebahagian masyarakat kita.

Lebih lanjut tentang doa Istikharah, marilah kita mengkaji hadis berikut. Jabir bin ‘Abdullah radhiallahu 'anh menceritakan,

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَلِّمُ أَصْحَابَهُ الِاسْتِخَارَةَ فِي الأُمُورِ كُلِّهَا، كَمَا يُعَلِّمُهُمُ السُّورَةَ مِنَ القُرْآنِ يَقُولُ:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah mengajar para sahabatnya al-Istikharah dalam setiap urusan sebagaimana baginda mengajar mereka surah daripada al-Qur’an. Baginda bersabda,

إِذَا هَمَّ أَحَدُكُمْ بِالأَمْرِ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ مِنْ غَيْرِ الفَرِيضَةِ، ثُمَّ لِيَقُلْ:

“Jika salah seorang kalian memiliki urusan yang berat atau penting, laksanakanlah solat dua rakaat yang bukan wajib, kemudian berdoalah,

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ، وَتَعْلَمُ وَلاَ أَعْلَمُ، وَأَنْتَ عَلَّامُ الغُيُوبِ،

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pilihan-Mu dengan ilmu-Mu, aku memohon kemampuan-Mu dengan kekuasaan-Mu dan aku memohon kepada-Mu daripada kurniaan-Mu. Ini kerana sesungguhnya Engkaulah yang Maha Berkuasa sementara aku tidak berkuasa, Engkaulah yang Maha Mengetahui sementara aku tidak mengetahui dan Engkaulah yang mengetahui segala urusan ghaib.

اللَّهُمَّ فَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ هَذَا الأَمْرَ - ثُمَّ تُسَمِّيهِ بِعَيْنِهِ - خَيْرًا لِي فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي - فَاقْدُرْهُ لِي وَيَسِّرْهُ لِي، ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ،

Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini (lalu disebutkan urusan tersebut) adalah baik bagi agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku, pada masa kini atau kemudian, maka takdirkanlah bagiku dan permudahkanlah bagiku, kemudian berkatilah aku padanya.

اللَّهُمَّ وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّهُ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعَاشِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ فَاصْرِفْنِي عَنْهُ، وَاقْدُرْ لِي الخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ رَضِّنِي بِهِ.

Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa ia adalah buruk bagi agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku, pada masa kini atau kemudian, maka jauhilah ia daripadaku dan takdirkanlah apa jua kebaikan bagiku, kemudian jadikanlah aku reda dengannya”.”[1]

Terdapat beberapa perkara yang dapat dipelajari daripada hadis ini. Pertama, hendaklah melazimkan diri melaksanakan solat dan doa Istikharah apabila saja memiliki urusan yang penting atau memberatkan di fikiran. Ini sebagaimana sabda Rasulullah, “Jika salah seorang kalian memiliki urusan yang berat atau penting…”

Penting dijelaskan bahawa solat dan doa Istikharah hanyalah untuk perkara-perkara yang selari dengan syari’at Islam. Tidak perlu beristikharah terhadap perkara yang menyelisihi syari’at Islam. Sebagai contoh, seorang muslimat tidak perlu beristikharah jika lelaki kenalannya sesuai dijadikan suami jika sejak awal lelaki itu merokok, mungkir janji atau mengucapkan perkataan-perkataan buruk.

Kedua, Memulakan doa dengan nama-nama dan sifat-sifat Allah yang indah lagi agung merupakan sesuatu yang dianjurkan, sebagaimana yang telah dijelaskan dalam soalan, Bagaimana Cara Memulakan Doa? Doa Istikharah adalah satu contoh yang baik, di mana ia dimulakan dengan menyebut nama-nama dan sifat-sifat Allah yang indah lagi agung.

Perhatikan permulaan doa, “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon pilihan-Mu dengan ilmu-Mu, aku memohon kemampuan-Mu dengan kekuasaan-Mu dan aku memohon kepada-Mu daripada kurniaan-Mu. Ini kerana sesungguhnya Engkaulah yang Maha Berkuasa sementara aku tidak berkuasa, Engkaulah yang Maha Mengetahui sementara aku tidak mengetahui dan Engkaulah yang mengetahui segala urusan ghaib.”

Dengan adanya permulaan ini, tidak perlu lagi memulakan doa Istikharah dengan puji-pujian kepada Allah dan/atau selawat ke atas Rasulullah.

Ketiga, perhatikan sabda Rasulullah di permulaan hadis di atas: “Jika salah seorang kalian memiliki urusan yang berat atau penting…”, bererti solat dan doa Istikharah dilaksanakan apabila seseorang itu telah membuat pilihan dalam urusannya.

Rasulullah tidak bersabda umpama, “Jika salah seorang daripada kalian ragu antara dua urusan…” atau, “Jika salah seorang daripada kalian tidak tahu urusan yang manakah …”.

Perhatikan lafaz doa seterusnya: “Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini (lalu disebutkan urusan tersebut) adalah baik bagi agamaku…”. Rasulullah tidak mengajar kita berdoa umpama, “Ya Allah, jika Engkau mengetahui urusan manakah yang lebih baik bagiku….”

Justeru berdasarkan keseluruhan hadis, solat dan doa Istikharah dilaksanakan apabila seseorang itu telah memilih urusannya. Bukan apabila ragu urusan manakah yang patut dipilihnya, sebagaimana yang lazim diamalkan oleh sebahagian masyarakat kita.

Oleh itu jika menghadapi dua atau lebih pilihan, hendaklah terlebih dahulu membuat satu pilihan yang diyakini terbaik. Kemudian barulah melaksanakan solat dua rakaat diikuti dengan doa Istikharah. Melalui doa tersebut, seseorang itu memohon kepada Allah agar keputusannya itu adalah yang terbaik bagi agama, kehidupan dan kesudahan, baik pada masa kini atau akan datang.

Keempat, Doa Istikharah dilaksanakan selepas salam, bukan sebelum salam. Ini berdasarkan sabda Rasulullah, “…laksanakanlah solat dua rakaat yang bukan wajib, kemudian berdoalah…”

Kelima, Sebelum berdoa, hendaklah melaksanakan solat sunat dua rakaat sebagaimana sabda Rasulullah, “…laksanakanlah solat dua rakaat yang bukan wajib…”. Memandangkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyebut solat sunat dua rakaat secara umum, maka di sini ada perincian:

  • Jika sudah membuat pilihan dan kebetulan pada saat itu terdapat solat sunat yang akan dilaksanakan, seperti solat qabliyah dan ba’diyah bagi solat fardhu, solat Dhuha, solat Tahiyatul Masjid, atau Qiamulail, maka dia melaksanakan solat sunat tersebut dan kemudian baca doa Istikharah.
  • Jika sudah membuat pilihan dan pada saat itu tidak terdapat solat sunat yang akan dilaksanakan, maka laksanakanlah solat sunat sebanyak dua rakaat dan bacalah doa Istikharah selepas memberi salam. Boleh juga menamakan solat sunat itu sebagai Solat al-Istikharah.[2] Tidak ada lafaz niat atau bacaan surah-surah tertentu yang disyari’atkan.
  • Jika sudah membuat pilihan namun keadaan tidak mengizinkan untuk solat, seperti sedang haid atau sedang memandu, maka memadai membaca doa Istikharah sahaja. Ini berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam sebuah hadis lain,

وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ.

Dan apabila aku memerintahkan kalian dengan satu urusan, maka laksanakanlah ia semampu mungkin.[3]

Keenam, urusan yang telah dipilih boleh disebut ketika sedang berdoa sebagaimana hadis di atas. Boleh juga menyebut selepas berdoa sebagaimana dalam sebuah hadis yang lain di mana doanya adalah sama tetapi pada penghujungnya,

...وَاقْدُرْ لِي الخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ثُمَّ رَضِّنِي بِهِ. وَيُسَمِّي حَاجَتَهُ.

…dan takdirkanlah apa jua kebaikan bagiku, kemudian jadikanlah aku reda dengannya” dan disebutkan hajatnya.”[4]

Ketujuh, selepas berdoa Istikharah, teruskan usaha bagi menjayakan apa yang telah menjadi pilihan. Allah Subhanahu wa Ta'ala akan memudahkan usaha sebagaimana yang telah dipohon dalam doa Istikharah, “…permudahkanlah bagiku…”.

Jika menghadapi kesukaran yang melebihi kebiasaan, maka ia petanda bahawa apa yang telah menjadi pilihan adalah tidak baik. Kesukaran itu adalah seperti mana yang didoakan, “…maka jauhilah ia daripadaku.”

Hasil doa Istikharah tiada kaitan dengan mimpi atau kejadian buruk. Semua itu hanyalah kepercayaan sebahagian masyarakat kita.

Kelapan, lafaz doa “…maka takdirkanlah bagiku…” merujuk kepada taqdir mu’allaq. Sila ulangkaji soalan Kenapa Berdoa Jika Semuanya Sudah Ditakdirkan? bagi mengetahui pengaruh doa ke atas takdir.

 

 

 

 

[1]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 6841/7390 (Kitab al-Tauhid, Bab firman Allah Ta’ala, “Dia-lah al-Qadar(al-An’aam 6:65)).

[2]          Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ahli ilmu, apakah solat sunat dua rakaat itu merupakan solat sunat mutlak atau solat sunat khusus dengan nama al-Istikharah? al-Tirmizi dan Ibn Majah berpendapat ia adalah solat sunat khusus, berdasarkan penamaan bab yang mereka berikan dalam kitab Sunan masing-masing.

[3]          Sahih: Sebahagian daripada hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 6744/7288 (Kitab al-‘Itishoom bi al-Kitab wa al-Sunnah, Bab mengikuti sunnah-sunnah Rasulullah).

[4]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 5903/6382 (Kitab al-Da’awat, Bab doa ketika Istikharah).