Jawapan:

Orang yang berpuasa, baik puasa wajib atau puasa sunat, dia memiliki keutamaan berdoa pada tiga keadaan. Pertama, ketika dia sedang berpuasa. Tentang keutamaan ini, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ، وَالإِمَامُ العَادِلُ، وَدَعْوَةُ المَظْلُومِ يَرْفَعُهَا اللَّهُ فَوْقَ الغَمَامِ وَيَفْتَحُ لَهَا أَبْوَابَ السَّمَاءِ وَيَقُولُ الرَّبُّ: وَعِزَّتِي لَأَنْصُرَنَّكِ وَلَوْ بَعْدَ حِينٍ.

Tiga orang yang doa mereka tidak ditolak, (1) orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, (2) imam yang adil dan (3) doa orang yang dizalimi di mana Allah akan mengangkatnya di atas awan dan dibuka baginya pintu-pintu langit. Allah berfirman, “Demi Kemuliaan-Ku, sungguh aku akan menolongmu meskipun sesudah beberapa ketika.”[1]

Kedua, ketika dia berbuka puasa. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

إِنَّ لِلصَّائِمِ عِنْدَ فِطْرِهِ لَدَعْوَةً مَا تُرَدُّ.

Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa, ketika berbuka terdapat doa yang tidak ditolak (baginya).

قَالَ ابْنُ أَبِي مُلَيْكَةَ: سَمِعْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عَمْرٍو، يَقُولُ إِذَا أَفْطَرَ:

Berkata Ibnu Abu Mulaikah, aku mendengar ‘Abdullah ibn ‘Umar berdoa apabila berbuka puasa,

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِي.

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon dengan Rahmat-Mu yang merangkumi segala sesuatu, agar diampunkan dosaku.”[2]

Bagi orang yang hendak berbuka puasa, hendaklah dia terlebih dahulu membaca doa yang diamalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Doa itu sebagaimana terang ‘Abdullah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma adalah,

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذَا أَفْطَرَ قَالَ:

Lazimnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam apabila berbuka puasa, berkata,

ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ، وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ.

Telah pergi dahaga, telah basah urat-urat dan telah tetap ganjarannya insya-Allah.[3]

Atau membaca doa yang dibaca oleh ‘Abdullah ibn ‘Umar radhiallahu 'anhuma,

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِرَحْمَتِكَ الَّتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ أَنْ تَغْفِرَ لِي.

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon dengan Rahmat-Mu yang merangkumi segala sesuatu, agar diampunkan dosaku.”

Setelah itu dia boleh berdoa dengan apa-apa lain yang disukainya.

Ketiga, setelah dia berpuasa. Dia boleh berdoa dengan bertawassul kepada ibadah puasa yang dilakukannya itu. Sila rujuk semula soalan Apakah Maksud Berdoa Dengan Amal Soleh?

Penjelasan Tambahan

Timbul soalan, kenapa ‘Abdullah ibn ‘Umar membaca doa buka puasa rekaan sendiri padahal beliau juga telah meriwayat doa buka puasa yang dibaca oleh Rasulullah? Apakah beliau berbuat bid’ah?

Jawapannya, doa yang dibaca oleh ‘Abdullah ibn ‘Umar berasal daripada amalan, ajaran atau persetujuan Rasulullah, hanya beliau tidak menyandarkannya kepada baginda. Ini kerana para sahabat radhiallahu 'anhum tidak berani berbuat bid’ah dalam ibadah.

Apa-apa ibadah yang secara zahirnya kelihatan seolah-olah rekaan sahabat, ia sebenarnya berasal daripada ajaran, amalan atau persetujuan Rasulullah. Hanya mereka (para sahabat) tidak menyandarkannya kepada baginda.

Ini sebagaimana seorang murid yang melakukan sesuatu yang dipelajari, dipersetujui atau diteladani daripada gurunya yang amat dihormati. Dia tidak menyandarkan perbuatan itu kepada gurunya, tetapi perbuatan tersebut tetap berasal daripada gurunya.

Perkara ini hendaklah difahami dengan baik kerana para pencinta bid’ah, apabila mereka membaca riwayat-riwayat yang menunjukkan para sahabat beramal dengan sesuatu tanpa menyandarkannya kepada Rasulullah, segera akan berhujah “para sahabat pun berbuat bid’ah selepas kewafatan Rasulullah!” Padahal yang diamalkan oleh para sahabat itu berasal daripada ajaran, amalan atau persetujuan Rasulullah. Hanya mereka tidak menyandarkannya kepada baginda.

Betapa tidak! Para sahabat telah berulang kali diperingatkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam daripada berbuat bid’ah melalui Kata Pembuka bagi khutbah-khutbah baginda. Jabir bin Abdullah radhiallahu 'anh menerangkan,

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ فِي خُطْبَتِهِ يَحْمَدُ اللَّهَ وَيُثْنِي عَلَيْهِ بِمَا هُوَ أَهْلُهُ ثُمَّ يَقُولُ

Lazimnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam (memulakan) khutbahnya dengan memuji dan menyanjung Allah dengan apa yang merupakan hak-Nya, kemudian berkata,

مَنْ يَهْدِهِ اللَّهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْهُ فَلَا هَادِيَ لَهُ.

“Sesiapa yang diberi hidayah oleh Allah maka tiada yang dapat menyesatkannya dan sesiapa yang disesatkan-Nya maka tiada yang dapat memberi hidayah kepadanya.

إِنَّ أَصْدَقَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَأَحْسَنَ الْهَدْيِ هَدْيُ مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ وَكُلُّ ضَلَالَةٍ فِي النَّارِ.

Sesungguhnya sebenar-benar perbicaraan adalah Kitab Allah (al-Qur’an) dan sebaik-baik hidayah adalah hidayah Muhammad. Seburuk-buruk urusan ialah perkara-perkara yang baru (dalam agama), setiap perkara baru adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah kesesatan dan setiap kesesatan berada dalam neraka.”[4]

 

[1]          Sahih: dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan beliau berkata, “Hadis ini hasan.” Ia dinilai dha’if oleh al-Albani dalam Dha’if Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 3522/3598 (Kitab al-Da’awat ‘an Rasulullah, Bab kemaafan dan kesejahteraan). Walau bagaimanapun Syu’aib al-Arna’uth dalam pendapatnya yang terbaru menilainya sahih berdasarkan jalan-jalan penguat yang ada. Rujuk penjelasan beliau dalam semakannya ke atas al-Jami’ al-Kabir (nama lain bagi Sunan al-Tirmizi), hadis no.: 3915.

[2]          Hasan: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dalam Sunannya. Berkata al-Bushiri dalam Misbah al-Zujajah fi Zawa’id Ibn Majah, hadis no.: 636, “Sanadnya sahih.” al-Albani menilainya dha’if dalam Dha’if Sunan Ibn Majah, hadis no.: 1743/1753 (Kitab al-Shiyam, Bab dalam berpuasa terdapat doa yang tidak ditolak). Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakan menilai sanadnya hasan dalam semakannya ke atas Sunan Ibn Majah, hadis no.: 1753.

[3]          Hasan: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no.: 2010/2357 (Kitab al-Shiyam, Bab ucapan ketika berbuka).

[4]          Sahih: Sebahagian daripada hadis yang dikeluarkan oleh al-Nasa’e dalam Sunannya dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa’e, hadis no.: 1560/1578 (Kitab Solat al-‘Aidain, Bab cara berkhutbah).