Jawapan:

Bagi menjawab soalan ini, hendaklah mengetahui dan membezakan sikap kita terhadap orang kafir. Ia terbahagi kepada dua sudut, daripada sudut agama dan daripada sudut urusan harian.

Pertama: Daripada Sudut Agama.

Daripada sudut agama, sikap kita kepada orang-orang kafir adalah sebagaimana ayat-ayat berikut,

قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ

Katakanlah, “Wahai orang-orang kafir,

لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ

Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah,

وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ

Dan kamu tidak mahu menyembah apa yang aku sembah,

وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَا عَبَدْتُمْ

Dan aku tidak akan beribadah sebagaimana kamu beribadah,

وَلَا أَنْتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ

Dan kamu tidak mahu beribadah sebagaimana aku beribadah,

لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ.

Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.” [al-Kafirun 109:1-6]

Ayat-ayat di atas dimulakan dengan Katakanlah… yang bermaksud sebarkanlah, war-warkanlah atau dalam bahasa media sosial masa kini, tularkanlah dan viralkanlah. Ini menunjukkan bahawa kesemua 6 ayat daripada surah al-Kafirun di atas adalah sesuatu yang patut disebut-sebut dan disebar-sebarkan selalu, baik kepada orang Islam mahupun orang kafir, meskipun tidak ada yang bertanya atau berbincang tentangnya.

Ayat-ayat di atas membentuk asas pendirian setiap Muslim terhadap orang-orang kafir. Setiap Muslim tidak memiliki apa-apa kepentingan mahupun hubungan dengan sembahan, cara ibadah dan agama orang-orang kafir.

Justeru berdasarkan surah al-Kafirun ini, setiap Muslim tidak akan mengucapkan “Selamat” kepada hari-hari atau acara-acara keagamaan orang-orang kafir. Baik ucapan itu ditujukan sebagai satu doa, harapan, pergaulan biasa, sekadar kata-kata di mulut yang tidak dimaksudkan di hati atau yang dilapik dengan “Selamat xxx bagi yang menyambutnya”. Sebabnya, setiap Muslim tidak memiliki apa-apa kepentingan, urusan mahupun kaitan dengan hari dan acara keagamaan kaum lain. Setiap Muslim memiliki prinsip yang tegas, Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku.

Bahkan, setiap Muslim akan membenci dan berlepas diri daripada apa-apa sembahan, ibadah dan agama yang lain daripada Allah dan Islam. Setiap sembahan yang dianggap sebagai tuhan, setiap amal yang dianggap sebagai ibadah dan setiap kepercayaan yang dianggap sebagai agama adalah saingan kepada Allah dan Islam.

Kebencian dan sikap berlepas diri ini akan menyebabkan setiap Muslim tidak akan tergamak mengucapkan “Selamat” kepada hari-hari perayaan keagamaan orang-orang kafir. Baik ucapan itu ditujukan sebagai satu doa, harapan, pergaulan biasa, sekadar kata-kata di mulut yang tidak dimaksudkan di hati atau yang dilapik dengan “Selamat xxx bagi yang menyambutnya”.

Perhatikan ayat berikut di mana Allah Subhanahu wa Ta'ala menyuruh kita menjadikan Nabi Ibrahim ‘alaihis salam dan para pengikutnya sebagai contoh teladan yang baik. Apakah yang dilakukan oleh mereka sehingga patut kita contohi? Sila semak ayat berikut,

قَدْ كَانَتْ لَكُمْ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ فِي إِبْرَاهِيمَ وَالَّذِينَ مَعَهُ إِذْ قَالُوا لِقَوْمِهِمْ إِنَّا بُرَآءُ مِنْكُمْ وَمِمَّا تَعْبُدُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ كَفَرْنَا بِكُمْ وَبَدَا بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةُ وَالْبَغْضَاءُ أَبَدًا حَتَّى تُؤْمِنُوا بِاللَّهِ وَحْدَهُ.

Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada bawaan Nabi Ibrahim dan orang-orang yang bersamanya contoh teladan yang baik, semasa mereka berkata kepada kaum mereka (yang kafir),

“Sesungguhnya kami berlepas diri daripada kamu dan daripada apa yang kamu sembah selain daripada Allah. Kami ingkari (segala sembahan) kamu dan (dengan ini) nyatalah perasaan permusuhan dan kebencian di antara kami dan kamu selama-lamanya, sehinggalah kamu menyembah Allah semata-mata.” [al-Mumtahanah 60:04]

Oleh kerana itulah jika kita semak sirah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, tidak akan ditemui baginda mengucapkan selamat kepada hari-hari atau acara-acara keagamaan orang-orang kafir yang hidup berdamai pada zaman baginda. Padahal baginda sangat menginginkan mereka itu memeluk Islam. Seandainya memberikan ucapan selamat adalah satu cara dakwah yang dapat melunakkan hati mereka ke arah Islam, pasti baginda orang pertama yang akan melakukannya.

Meskipun setiap Muslim tidak mengucapkan selamat, tidaklah bererti boleh mencela atau mengeluarkan kata-kata buruk kepada orang-orang kafir yang menyambut hari-hari dan acara-acara keagamaan mereka. Allah Subhanahu wa Ta'ala telah melarang sikap begitu dengan firman-Nya,

وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ.

Dan janganlah kamu cela benda-benda yang mereka sembah selain daripada Allah, kerana kelak mereka akan mencela Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. [al-An’aam 6:108]

 

Kedua: Daripada Sudut Kehidupan Harian.

Adapun daripada sudut kehidupan harian yang tiada kaitan dengan agama, maka sikap kita terhadap orang-orang kafir adalah sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala,

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ.

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama kamu dan tidak menghalau kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. [al-Mumtahanah 60:08]

Oleh itu boleh mengucapkan selamat dalam urusan harian orang-orang kafir seperti “Selamat pagi”, “Selamat petang, “Moga Selamat balik kampung” atau “All the best for your work assingment”. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah mendoakan orang Yahudi sebagaimana hadis berikut daripada Abu Musa radhiallahu 'anh,

كَانَ اليَهُودُ يَتَعَاطَسُونَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرْجُونَ أَنْ يَقُولَ لَهُمْ: يَرْحَمُكُمُ اللَّهُ، فَيَقُولُ:

Orang-orang Yahudi lazim bersin di sisi Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dengan harapan baginda akan mendoakan mereka “Yarhamukumullah (semoga Allah merahmati kalian sebagaimana Nabi biasa doakan orang Islam)”. Akan tetapi baginda hanya mendoakan,

يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ.

“Semoga Allah menghidayahi kalian dan memperbaiki keadaan kalian”.[1]

Akan tetapi jika urusan harian orang-orang kafir adalah sesuatu yang salah di sisi Islam, tidak boleh mengucapkan selamat kepadanya. Ini kerana ada sebahagian perkara yang sudah menjadi kebiasaan di sisi mereka tetapi merupakan kesalahan dan dosa di sisi Islam. Allah 'Azza wa Jalla mengingatkan,

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ.

Dan saling tolong menolonglah dalam perkara kebaikan dan takwa, dan janganlah kamu saling tolong menolong dalam perkara dosa dan pencerobohan. Bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksanya. [al-Maidah 5:02]

Oleh itu sebagai contoh, tidak boleh mengucapkan “Enjoy your time at the pub” kerana minum arak adalah salah di sisi hukum Islam. Contoh lain, tidak boleh mengucapkan “Selamat Tahun Baru Cina” kerana setiap tahun baru dalam kalendar Cina diwakili oleh haiwan yang membawa sekian-sekian nasib baik dan buruk. Mempercayai nasib baik dan buruk adalah salah di sisi aqidah Islam.

Sebaik-Baik Doa

Sebaik-baik doa kepada orang-orang kafir adalah agar Allah Subhanahu wa Ta'ala memberi hidayah kepada mereka. Hendaklah menggunakan setiap kesempatan yang ada bagi mendoakan hidayah kepada mereka. Sehinggakan orang yang bersin juga didoakan hidayah sebagaimana hadis berikut daripada Abu Musa radhiallahu 'anh,

كَانَ اليَهُودُ يَتَعَاطَسُونَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرْجُونَ أَنْ يَقُولَ لَهُمْ: يَرْحَمُكُمُ اللَّهُ، فَيَقُولُ:

Orang-orang Yahudi lazim bersin di sisi Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dengan harapan baginda akan mendoakan mereka “Yarhamukumullah (semoga Allah merahmati kalian sebagaimana Nabi biasa doakan orang Islam)”. Akan tetapi baginda hanya mendoakan,

يَهْدِيكُمُ اللَّهُ وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ.

“Semoga Allah menghidayahi kalian dan memperbaiki keadaan kalian”.[2]

Mendoakan hidayah bukan sahaja ke atas orang kafir yang berdamai tetapi juga ke atas orang kafir yang membangkang. Abu Hurairah radhiallahu 'anh menceritakan,

قَدِمَ الطُّفَيْلُ وَأَصْحَابُهُ فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّ دَوْسًا قَدْ كَفَرَتْ وَأَبَتْ، فَادْعُ اللهَ عَلَيْهَا!

al-Thufail dan para sahabatnya datang lalu berkata, “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kabilah Daus telah kafir dan membangkang! Oleh itu berdoalah kepada Allah agar mereka mendapatkan kecelakaan.”

فَقِيلَ: هَلَكَتْ دَوْسٌ!

Seseorang menambah, “Binasalah kabilah Daus!”

فَقَالَ: اللهُمَّ اهْدِ دَوْسًا وَائْتِ بِهِمْ.

Namun Rasulullah berdoa, “Ya Allah, hidayahilah kabilah Daus dan datangkanlah mereka (kepadaku)”. [Shahih Muslim, no: 4586/2524][3]

Mendoakan hidayah kepada orang kafir termasuk dalam tuntutan ayat berikut,

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ.

Serulah ke jalan Tuhanmu (Islam) dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang suka berbahas) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhan-mu Dia-lah yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalan-Nya dan Dia-lah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk. [al-Nahl 16:125]

Atas nota ini, apabila orang kafir mendoakan selamat kepada hari atau acara orang Islam, maka balaslah dengan mendoakan hidayah kepada mereka. Contohnya jika Muthu mengucapkan “Selamat Hari Raya Aidil Fitri” maka balaslah dengan doa “Terima kasih, moga Allah memberi hidayah kepada Muthu.” Jangan pula membalas “Selamat Hari Deepavali” pada hari perayaan Muthu kerana ia tidak dibolehkan, sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.

Mendoakan hidayah merupakan ucap balas lebih baik yang disuruh oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala sebagaimana firman-Nya,

وَإِذَا حُيِّيتُمْ بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا.

Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu. [al-Nisa’ 4:86]

Adapun firman Allah, “…atau balaslah dia (dengan yang sama)…” maka ia tidak bererti memberi ucap balas yang sama kepada hari atau acara keagamaan orang kafir kerana ia tidak dibolehkan. Jika ia digunakan untuk ucap balas dalam urusan selain agama, maka ia dibolehkan. Ini sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.

2. Soalan: Bolehkah Mendoakan “Rest In Peace”?

Jawapan:

Antara aqidah Islam adalah wujudnya soal jawab malaikat dan azab kubur kepada setiap orang yang meninggal dunia. Perkara ini benar-benar berlaku dan menggerunkan sehingga Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sering berdoa perlindungan daripadanya dan mengajar kita agar melakukan hal yang sama.

Sa’ad bin Abi Waqash radhiallahu 'anh berkata,

إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَتَعَوَّذُ مِنْهُنَّ دُبُرَ الصَّلاَةِ:

Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lazimnya berlindung daripada hal berikut di penghujung solat (dengan berdoa),

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الجُبْنِ، وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أُرَدَّ إِلَى أَرْذَلِ العُمُرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الدُّنْيَا، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ.

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau daripada sifat pengecut, dan aku berlindung kepada Engkau daripada dikembalikan kepada umur yang menghinakan[4], dan aku berlindung kepada Engkau daripada fitnah dunia dan dan aku berlindung kepada Engkau daripada azab kubur.”[5]

Abu Bakrah radhiallahu 'anh berkata,

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ:

Bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam lazim berdoa di penghujung setiap solat,

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْكُفْرِ، وَالْفَقْرِ، وَعَذَابِ الْقَبْرِ.

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau daripada kekafiran, kefakiran dan azab kubur.”[6]

Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengajar,

إِذَا تَشَهَّدَ أَحَدُكُمْ (إِذَا فَرَغَ أَحَدُكُمْ مِنَ التَّشَهُّدِ الْأَخِيرِ) فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ: مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَعَذَابِ الْقَبْرِ، وَفِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ (فِتْنَةِ) الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ. ثُمَّ يَدْعُو لِنَفْسِهِ بِمَا بَدَا لَهُ.

Apabila seseorang kalian telah membaca tasyahud (dalam riwayat lain: Apabila seseorang kalian selesai membaca tasyahud akhir), maka mintalah perlindungan Allah daripada empat perkara, (1) daripada azab neraka jahannam, (2) daripada azab kubur, (3) daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan (4) daripada keburukan (fitnah) al-Masih al-Dajjal.

Kemudian dia berdoa bagi dirinya dengan apa yang dia sukai baginya.[7]

Seterusnya apabila berlaku kematian, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam akan berdoa selepas solat jenazah, meminta perlindungan daripada azab kubur kepada orang yang disolatkan. Watsilah bin al-Asqa’ radhiallahu 'anh menerangkan,

صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى رَجُلٍ مِنَ الْمُسْلِمِينَ، فَأَسْمَعُهُ يَقُولُ:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melaksanakan solat jenazah ke atas seorang lelaki Muslim, lalu aku mendengar baginda berdoa,

اللَّهُمَّ إِنَّ فُلَانَ بْنَ فُلَانٍ فِي ذِمَّتِكَ، وَحَبْلِ جِوَارِكَ، فَقِهِ مِنْ فِتْنَةِ الْقَبْرِ، وَعَذَابِ النَّارِ، وَأَنْتَ أَهْلُ الْوَفَاءِ وَالْحَقِّ، فَاغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.

Ya Allah, sesungguhnya fulan bin fulan (disebutkan nama jenazah) berada dalam jaminan Engkau, bergantung kepada tali pemeliharaan Engkau. Peliharalah dia daripada fitnah kubur dan azab neraka. Engkau-lah yang Maha menepati janji dan Maha Benar. Maka ampunilah bagi dia dan rahmatilah dia. Sesungguhnya Engkau, Engkaulah yang Maha Pengampun lagi Penyayang.[8]

Seterusnya apabila jenazah dikebumikan, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengajar orang ramai agar mendoakan dia (jenazah) agar diberi keteguhan menjawab soalan-soalan malaikat. ‘Utsman bin ‘Affan radhiallahu 'anh menerangkan,

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذَا فَرَغَ مِنْ دَفْنِ الْمَيِّتِ وَقَفَ عَلَيْهِ، فَقَالَ:

Lazimnya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, apabila jenazah selesai dikebumikan, baginda berdiri di sisi (kuburnya) dan bersabda,

اسْتَغْفِرُوا لِأَخِيكُمْ، وَسَلُوا لَهُ بِالتَّثْبِيتِ، فَإِنَّهُ الْآنَ يُسْأَلُ.

“Doakanlah keampunan bagi saudara kalian ini dan mintalah baginya keteguhan kerana sesungguhnya dia kini sedang disoal.”[9]

Demikianlah kebenaran wujudnya azab kubur dan kegerunan menghadapinya sehingga mendoakan perlindungan Allah dan keselamatan terhadapnya diusahakan secara berterusan.

Nah! Jika ke atas orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat didoakan perlindungan dan keselamatan daripada azab kubur, maka bagaimana pula dengan orang-orang yang ingkar kepada Allah dan Hari Akhirat? Kenapa pula didoakan “Rest in peace” atau “Berehatlah dalam ketenangan”, padahal mereka juga akan menghadapi soal jawab dan azab di dalam kubur masing-masing.

Mendoakan “Rest in peace” atau “Berehatlah dalam ketenangan” memberi gambaran seolah-olah tidak ada soal jawab dan azab kubur bagi orang-orang kafir. Seolah-olah mereka boleh berada dalam suasana tenang di dalam kubur masing-masing.

Justeru doa “Rest in peace” atau “Berehatlah dalam ketenangan” adalah sesuatu yang bertentangan dengan aqidah Islam. Setiap Muslim hendaklah menjauhikan diri daripada mengucapkannya.

Sebaliknya apa yang boleh diucapkan adalah,

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ.

“Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan sesungguhnya kepada Allah jualah kami kembali.”

Ini kerana semua manusia, baik yang Muslim atau kafir adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah semuanya akan kembali.

Boleh juga memberikan ucapan takziah seperti “my condolences to you for your lost”.

 

 

[1]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata, “Hadis ini hasan sahih.” Ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 2663/2739 (Kitab al-Adab ‘an Rasulullah, Bab bagaimana etika bersin). Ia juga dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnadnya dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakannya dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad, hadis no.: 19586.

[2]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata, “Hadis ini hasan sahih.” Ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 2663/2739 (Kitab al-Adab ‘an Rasulullah, Bab bagaimana etika bersin). Ia juga dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnadnya dan sanadnya dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakannya dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad, hadis no.: 19586.

[3]          Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 4586/2524 (Kitab Fadha’il al-Shohabah, Bab keutamaan Ghifar, Aslam, Juhainah, Asyja’, Muzainah, Tamim, Daus dan Thiyyi’).

[4]          Maksudnya ketika tua kelak, agar akal fikiran tidak menjadi nyanyuk dan fizikal tidak menjadi kotor seperti membuang air kecil dan besar tanpa kawalan.

[5]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 2610/2822 (Kitab al-Jihad wa al-Siyar, Bab berlindung daripada sifat pengecut).

[6]          Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnadnya dan sanadnya dinilai kuat (qawi) oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad, hadis no.: 20409.

[7]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasa’e dalam Sunannya dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa’e, hadis no.: 1293/1310 (Kitab al-Sahwi, Bab meminta perlindungan dalam solat).

Lafaz dalam kurungan dikeluarkan oleh Ibn Majah dalam Sunannya dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no.: 899/909 (Kitab al-Iqamat al-Sholah wa Sunnah fi ha, Bab apa yang dikatakan selepas bacaan tasyahud dan selawat ke atas Nabi).

[8]          Hasan: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dalam Sunannya dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no.: 1488/1499 (Kitab al-Jana’iz, Bab tentang doa dalam solat ke atas jenazah). Sementara itu Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakan menilai sanad hadis ini hasan dalam semakan mereka ke atas Sunan Ibn Majah, hadis no.: 1499.

[9]          Hasan: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no.: 2804/3221 (Kitab al-Jana’iz, Bab beristighfar di sisi kubur jenazah pada saat akan pulang). Terdapat perbezaan penilaian terhadap hadis ini dengan sebahagian ahli hadis menilai ia sahih sementara sebahagian lain menilai ia hasan. Antara yang menilainya hasan adalah Syu’aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Sunan Abu Daud, hadis no.: 3221.