Jawapan:

Lafaz doa yang terbaik adalah apa yang terkandung dalam al-Qur’an dan apa yang diajar serta dibaca oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Dalam al-Qur’an terdapat banyak doa yang dibaca oleh para Rasul, Nabi dan orang-orang yang soleh sementara dalam hadis-hadis Rasulullah pula terdapat banyak doa yang merangkumi pelbagai suasana. Justeru sangat dianjurkan mempelajari doa-doa ini dan mengamalkannya apabila perlu.

Doa-doa dalam al-Qur’an dan hadis-hadis Rasulullah memiliki ciri-ciri al-Jawami’, iaitu lafaz yang ringkas dengan maksud yang luas. Ia juga bersifat sederhana, tidak melampaui batas, panjang berjela-jela atau bersajak. Ambil saja contoh doa meminta zuriat. Bagi pasangan suami dan isteri yang masih belum memiliki anak atau ingin menambah anak, tentu mereka telah berjumpa pelbagai bentuk doa dan petua bagi mendapatkan anak. Namun perhatikan bagaimana mudah dan ringkasnya doa Nabi Zakaria ‘alahis salam yang dirakam oleh al-Qur’an,

رَبِّ هَبْ لِي مِنْ لَدُنْكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ.

Wahai tuhanku, kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat yang bagus. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar doa. [Ali Imran 3:38]

Apabila membaca doa-doa daripada al-Qur’an dan hadis, hendaklah dibaca dalam lafaznya yang asli. Jangan diubah apa-apa, seperti lafaz mufrad (singular) atau jama’ (plural), lelaki atau wanita dan maksud yang umum atau khusus. Ini kerana dengan membaca dalam lafaznya yang asli, kita memperolehi keberkatan membaca doa sama seperti yang dibaca oleh para Rasul, Nabi dan orang-orang soleh.

Jika tetap hendak membaca dengan doa yang disusun sendiri, maka ia dibolehkan. Sebagai garis panduan, hendaklah menyusun doa yang ringkas tetapi dengan maksud yang luas. Susunan seperti ini disukai oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sepertimana yang dijelaskan oleh A’isyah radhiallahu 'anha,

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْتَحِبُّ الْجَوَامِعَ مِنْ الدُّعَاءِ وَيَدَعُ مَا سِوَى ذَلِكَ.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menyukai doa dengan lafaz yang ringkas tetapi luas maksudnya dan meninggalkan selain itu.[1]

Hendaklah dijauhi doa yang melampaui batas, yakni doa meminta sesuatu yang mustahil, yang melanggar hukum-hakam Islam, di luar fitrah manusia sihat, rumit atau cerewet. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah mengingatkan tentang melampaui batas dalam berdoa,

إِنَّهُ سَيَكُونُ فِي هَذِهِ الْأُمَّةِ قَوْمٌ يَعْتَدُونَ فِي الطَّهُورِ وَالدُّعَاءِ.

Sesungguhnya akan datang pada umat ini satu kaum yang melampaui batas dalam bersuci dan berdoa.[2]

Apabila berdoa, hendaklah berdoa untuk kebaikan dunia dan akhirat. Sebahagian orang doanya hanyalah untuk urusan dunia, seperti ingin menjadi kaya, lulus cemerlang dalam peperiksaan, mendapat kerjaya bagus, memperolehi pasangan hidup yang sempurna dan anak-anak yang comel lagi bijak. Sikap seperti ini ditegur oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala,

فَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا وَمَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ خَلَاقٍ.

Maka di kalangan manusia ada yang berdoa, “Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami (urusan) di dunia.” Dan (oleh kerana itu) tiadalah baginya bahagian di Akhirat. [al-Baqarah 2:200]

Sikap yang benar adalah mendoakan kebaikan untuk dunia dan akhirat, sebagaimana firman Allah dalam ayat seterusnya,

وَمِنْهُمْ مَنْ يَقُولُ رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. أُولَئِكَ لَهُمْ نَصِيبٌ مِمَّا كَسَبُوا وَاللَّهُ سَرِيعُ الْحِسَابِ.

Dan di kalangan mereka ada yang berdoa, “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada seksa neraka.” Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik daripada apa yang mereka usahakan, dan Allah amatlah cepat hitungan-Nya. [al-Baqarah 2:201-202]

Justeru selain berdoa kebaikan urusan dunia, hendaklah juga berdoa kebaikan urusan Akhirat. Contohnya, memohon keampunan dosa-dosa, meminta petunjuk agar berada di atas sunnah Rasulullah, dikurniakan al-Furqan bagi membezakan antara sunnah dan bid’ah, diberikan kefahaman agama, ditunjukkan guru, penceramah dan penulis agama yang ilmiah lagi amanah, dianugerahkan kerajinan beramal soleh dan kekuatan menjauhi kemungkaran, meminta perlindungan daripada azab kubur dan di tempatkan di syurga Firdaus. Atau lebih mudah, berdoa dengan lafaz berikut daripada ayat al-Qur’an di atas,

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada seksa neraka. [al-Baqarah 2:201]

Apabila berdoa, dianjurkan meluaskan cakupan doa agar meliputi semua umat Islam. Dengan cara ini, orang yang berdoa akan mendapat pahala atas doanya sementara umat Islam akan mendapat manfaat daripada doanya. Sebagai contoh, perhatikan doa Nabi Nuh ‘alaihis salam,

رَبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِمَنْ دَخَلَ بَيْتِيَ مُؤْمِنًا وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَلَا تَزِدِ الظَّالِمِينَ إِلَّا تَبَارًا.

Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku dan bagi kedua orang tuaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (pada segala zaman) dan janganlah Engkau tambahi ke atas orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan! [Nuh 71:28]

Perkara yang sama juga Allah perintahkan kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam,

وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ.

Dan mohonlah ampun untuk dosamu dan untuk (dosa) orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan. [Muhammad 47:19]

Demikian juga doa sebahagian umat Islam kepada sebahagian yang lain,

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ آَمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ.

Wahai tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah mendahului kami dengan iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami kedengkian dan permusuhan sesama orang-orang yang beriman; Wahai tuhan kami, sesungguhnya Engkaulah yang Maha Penyantun lagi Maha Penyayang. [Hasyr 59:10]

Adab meluaskan doa juga diajar dan dianjurkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Perhatikan hadis berikut daripada ‘Abdullah ibn Mas’ud radhiallahu 'anh,

كُنَّا إِذَا كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الصَّلاَةِ، قُلْنَا: السَّلاَمُ عَلَى اللَّهِ مِنْ عِبَادِهِ، السَّلاَمُ عَلَى فُلاَنٍ وَفُلاَنٍ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:

Lazimnya kami, apabila kami bersama Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dalam solat, kami mengucapkan, “Salam kepada Allah daripada para hamba-Nya, salam kepada fulan dan fulan.” Maka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

لاَ تَقُولُوا السَّلاَمُ عَلَى اللَّهِ، فَإِنَّ اللَّهَ هُوَ السَّلاَمُ، وَلَكِنْ قُولُوا:

Janganlah berkata, “Salam ke atas Allah” kerana sesungguhnya Allah, Dia-lah al-Salam. Sebaliknya berkatalah,

التَّحِيَّاتُ لِلَّهِ وَالصَّلَوَاتُ وَالطَّيِّبَاتُ، السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِيُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ.

“Segala penghormatan, keberkatan dan kebaikan bagi Allah. Salam, rahmat dan keberkatan Allah kepada engkau wahai Nabi. Salam ke atas kami dan ke atas hamba-hamba Allah yang soleh.”

فَإِنَّكُمْ إِذَا قُلْتُمْ أَصَابَ كُلَّ عَبْدٍ فِي السَّمَاءِ أَوْ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ.

Ini kerana sesungguhnya jika kalian mengucapkan seperti itu, ia merujuk kepada setiap hamba di langit, atau di antara langit dan bumi.[3]

Apabila meluaskan cakupan doa, dianjurkan memulakannya dengan diri sendiri. Kemudian barulah diluaskan kepada semua umat Islam. Ubay bin Ka’ab radhiallahu 'anh menceritakan,

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا ذَكَرَ أَحَدًا فَدَعَا لَهُ بَدَأَ بِنَفْسِهِ.

Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lazimnya apabila teringat kepada seseorang, maka baginda akan mendoakannya dengan memulakan bagi dirinya sendiri.[4]

Contohnya, “Ya Allah, lapangkan rezekiku dan rezeki ahli-ahli keluargaku serta rezeki seluruh orang-orang yang beriman, lelaki dan wanita, serta berkatilah kami pada rezeki itu.” Contoh lain, “Ya Allah, Engkau al-Syafi’ (yang Maha Penyembuh). Sembuhkanlah penyakit aku ini dan penyakit seluruh orang-orang yang beriman, lelaki dan wanita, yang sedang sakit sekarang ini.” Contoh lain, “Ya Allah, pimpinlah aku dan seluruh orang-orang yang beriman agar berada di atas jalan-Mu dan jalan Rasul-Mu, Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam. Peliharalah diriku dan seluruh orang-orang yang beriman daripada jalan-jalan yang lain.”

Orang yang meluaskan cakupan doanya, dia membuktikan bahawa dirinya adalah seorang yang besar hati, berbelas kasih dan prihatin kepada keadaan umat Islam seluruhnya. Orang seperti ini tentu memiliki kedudukan yang mulia di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala dan memperolehi pahala atas sikap dermawannya dalam berdoa.

Sementara kemungkinan doanya akan dimakbulkan Allah adalah lebih tinggi mengingatkan adanya malaikat yang akan mengaminkan dan mendoakan perkara yang sama baginya. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

إِنَّ دَعْوَةُ الْمَرْءِ مُسْتَجَابَةٌ لِأَخِيهِ بِظَهْرِ الْغَيْبِ عِنْدَ رَأْسِهِ مَلَكٌ يُؤَمِّنُ عَلَى دُعَائِهِ كُلَّمَا دَعَا لَهُ بِخَيْرٍ قَالَ: آمِينَ وَلَكَ بِمِثْلِهِ.

Sesungguhnya doa seseorang untuk saudara (seagama)nya yang tidak hadir bersamanya adalah mustajab. (Ini kerana) di sisi kepala orang yang berdoa terdapat malaikat yang mengaminkan doanya. Setiap kali dia mendoakan kebaikan saudaranya, malaikat itu akan berdoa, “Amin dan bagimu yang semisal”.[5]

Sebaliknya, janganlah pula menyempitkan cakupan doa. Abu Hurairah radhiallahu 'anh menceritakan,

قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي صَلاَةٍ وَقُمْنَا مَعَهُ، فَقَالَ أَعْرَابِيٌّ وَهُوَ فِي الصَّلاَةِ:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berdiri untuk solat dan kami berdiri bersamanya (untuk solat berjemaah). Lalu berkata seorang Arab Badwi dalam solatnya,

اللَّهُمَّ ارْحَمْنِي وَمُحَمَّدًا، وَلاَ تَرْحَمْ مَعَنَا أَحَدًا.

“Ya Allah, rahmatilah aku serta Muhammad dan janganlah merahmati bersama kami seorang jua yang lain.”

فَلَمَّا سَلَّمَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِلْأَعْرَابِيِّ: لَقَدْ حَجَّرْتَ وَاسِعًا. يُرِيدُ رَحْمَةَ اللَّهِ.

Maka tatkala Nabi shallallahu 'alaihi wasallam selesai memberi salam, baginda bersabda kepada Arab Badwi itu, “Demi sesungguhnya kamu telah menyempitkan apa yang luas.” (Berkata Abu Hurairah), maksudnya menyempitkan rahmat Allah.[6]

Apabila berdoa, hendaklah dijauhi doa berbentuk sajak atau puisi. ‘Abdullah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma berkata,

حَدِّثْ النَّاسَ كُلَّ جُمُعَةٍ مَرَّةً فَإِنْ أَبَيْتَ فَمَرَّتَيْنِ فَإِنْ أَكْثَرْتَ فَثَلَاثَ مِرَارٍ. وَلَا تُمِلَّ النَّاسَ هَذَا الْقُرْآنَ.

Berbicaralah dengan orang ramai (tentang pengajaran al-Qur’an)[7] setiap minggu sekali. Jika enggan, maka berbicaralah setiap minggu dua kali. Jika masih hendak lebih banyak, maka setiap minggu tiga kali. Janganlah membosankan orang ramai dengan al-Qur’an ini.

وَلَا أُلْفِيَنَّكَ تَأْتِي الْقَوْمَ وَهُمْ فِي حَدِيثٍ مِنْ حَدِيثِهِمْ فَتَقُصُّ عَلَيْهِمْ فَتَقْطَعُ عَلَيْهِمْ حَدِيثَهُمْ فَتُمِلُّهُمْ.

Janganlah aku mendapati kamu mendatangi sekumpulan manusia yang sedang berbicara dengan perbicaraan mereka, lalu kamu mencelah dan memotong perbicaraan mereka (dengan pengajaran al-Qur’an) sehingga membosankan mereka.

وَلَكِنْ أَنْصِتْ فَإِذَا أَمَرُوكَ فَحَدِّثْهُمْ وَهُمْ يَشْتَهُونَهُ.

Sebaliknya berilah perhatian (supaya dapat diketahui bila mereka berminat) dan apabila mereka menyuruh kamu berbicara, berbicaralah (dengan menyampaikan pengajaran al-Qur’an) sedang mereka ketika itu dalam keadaan bersemangat (untuk mendengar dan belajar).

فَانْظُرْ السَّجْعَ مِنْ الدُّعَاءِ فَاجْتَنِبْهُ فَإِنِّي عَهِدْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَصْحَابَهُ لَا يَفْعَلُونَ إِلَّا ذَلِكَ يَعْنِي لَا يَفْعَلُونَ إِلَّا ذَلِكَ الِاجْتِنَابَ.

Berwaspadalah daripada bersajak ketika berdoa dan jauhilah ia kerana sesungguhnya aku mengetahui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan para sahabatnya tidak melakukan kecuali yang sedemikian, yakni tidak berdoa kecuali dengan menjauhi (doa secara) bersajak.[8]

Sajak yang patut dijauhi ketika berdoa adalah lafaz yang sengaja dibuat-buat sehingga menjadi panjang, berbunga-bunga dan disusun semata-mata agar sedap dibaca dan didengar. Adapun jika seseorang itu berdoa lalu lafaznya secara kebetulan seperti sebuah sajak, maka ia tidak mengapa.

Pada pandangan penulis, termasuk dalam kategori tegahan ini ialah berdoa secara nyanyian kerana ia sudah menjadi panjang, berbunga-bunga dan disusun semata-mata agar sedap dibaca dan didengar. Ia mirip dengan berdoa secara bersajak.

Penjelasan Tambahan

Maksud berdoa lalu lafaznya “secara kebetulan seperti sebuah sajak” ialah apabila seseorang itu kerana kefasihan bahasa Arabnya, apabila berdoa secara kebetulan rangkap-rangkapnya berbunyi seperti sajak. Orang yang paling fasih berbahasa Arab ialah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan ada beberapa doa yang baginda baca atau ajar berbunyi seperti sajak. Ia memang sedap dibaca atau didengar dan maksud-maksudnya memang baik. Antaranya doa qunut dalam solat sunat Witir yang baginda ajar kepada Hasan bin ‘Ali radhiallahu 'anhuma,

عَلَّمَنِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَلِمَاتٍ أَقُولُهُنَّ فِي الْوِتْرِ قَالَ ابْنُ جَوَّاسٍ فِي قُنُوتِ الْوِتْرِ:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengajarku kalimat-kalimat yang dibaca ketika solat sunat Witir, (berkata Ibn Jawwas – perawi hadis) yakni pada doa qunut solat sunat Witir,

اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ

Ya Allah, berilah aku petunjuk di kalangan orang-orang yang Engkau berikan petunjuk,

وَعَافِنِي فِيمَنْ عَافَيْتَ

Dan berilah aku keselamatan di kalangan orang-orang yang telah Engkau berikan keselamatan,

وَتَوَلَّنِي فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ

Dan uruskanlah diriku di kalangan orang-orang yang telah Engkau uruskan,

وَبَارِكْ لِي فِيمَا أَعْطَيْتَ

Dan berkatilah aku pada apa yang telah Engkau berikan kepadaku,

وَقِنِي شَرَّ مَا قَضَيْتَ

Dan lindungilah aku daripada keburukan apa yang telah Engkau putuskan,

إِنَّكَ تَقْضِي وَلَا يُقْضَى عَلَيْكَ

Sesungguhnya Engkau Yang memutuskan dan tidak diputuskan (oleh sesiapa lain) ke atas aku,

وَإِنَّهُ لَا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ

Dan sesungguhnya tidak akan hina orang yang telah Engkau tolong,

وَلَا يَعِزُّ مَنْ عَادَيْتَ

Dan tidak akan mulia orang yang Engkau musuhi.

تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ.

Engkaulah yang Maha Berkat wahai tuhan kami dan Maha Tinggi.[9]

 

[1]           Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no.: 1267/1482 (Kitab al-Sholat, Bab doa).

[2]          Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no.: 88/96 (Kitab al-Thaharah, Bab melampaui batas dalam penggunaan air).

[3]          Sahih: Sebahagian daripada hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 791/835 (Kitab al-Azan, Bab memilih doa tertentu selepas bacaan tasyahud dan ianya tidaklah wajib). Juga dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 5853/6328 (Kitab al-Da’awat, Bab doa dalam solat). Teks penuh hadis akan dikemukakan dalam soalan-soalan akan datang insya-Allah.

[4]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata, hadis ini hasan gharib sahih. ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 3307/3385 (Kitab al-Da’awat ‘an Rasulullah, Bab pendoa memulakan doa ke atas dirinya sendiri).

[5]           Sahih: Sebahagian daripada hadis yang dikeluarkan oleh Ibn Majah dalam Sunannya dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no.: 2886/2895 (Kitab al-Manasik, Bab keutamaan doa orang yang pergi haji). Teks penuh hadis akan dikemukakan dalam soalan-soalan akan datang insya-Allah.

[6]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 5551/6010 (Kitab al-Adab, Bab menyayangi manusia dan haiwan).

            Antara keutamaan orang-orang yang hidup pada zaman Rasulullah, melihat serta beriman kepada baginda – yakni para sahabat baginda – adalah mereka boleh mencipta sesuatu ibadah. Seperti lafaz doa dalam solat oleh Arab Badwi dalam hadis di atas, juga memberi salam kepada Allah sebagaimana hadis ‘Abdullah ibn Mas’ud yang dikemukakan beberapa perenggan sebelum ini.

Kebolehan ini adalah khusus kepada para sahabat Rasulullah sahaja kerana dua sebab. Pertama, meraikan kemuliaan mereka sebagai orang yang telah mengorbankan jiwa, keluarga dan harta benda demi Islam. Kedua, pada zaman itu wahyu masih diturunkan bagi menerangkan ibadah yang mereka cipta itu adalah betul dan diterima atau salah dan ditolak. Dalam dua contoh hadis di atas (lafaz doa dalam solat oleh Arab Badwi dan memberi salam kepada Allah), ia adalah salah dan ditolak.

Penjelasan ini adalah perlu bagi membetulkan salah faham sebahagian pencinta bid’ah, di mana mereka berhujah bahawa “jika para sahabat boleh berbuat bid’ah dengan mencipta sesuatu ibadah pada zaman Rasulullah, maka kami juga boleh berbuat bid’ah dengan mencipta sesuatu ibadah”. Hujah ini ditolak berdasarkan dua sebab di atas. Selain itu, bid’ah hanya ada selepas kewafatan Rasulullah, yakni apabila wahyu sudah berhenti dan agama Islam telah disempurnakan.

[7]          Maksudnya memberi tazkirah daripada ayat-ayat al-Qur’an atau menyampaikan kuliah tafsir al-Qur’an. Adapun membaca al-Qur’an, maka boleh dilakukan setiap hari. Bahkan dibolehkan membaca al-Qur’an beberapa kali dalam sehari.

[8]           Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 5862/6337 (Kitab al-Da’awat, Bab dibenci bersajak ketika berdoa)

[9]           Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no.: 1214/1425 (Kitab al-Solat, Bab qunut dalam solat Witir).