Jawapan:

Dianjurkan mengucapkan “Amin” dalam dua keadaan. Pertama, setelah membaca surah al-Fatihah, baik di dalam solat mahupun di luar solat, baik untuk solat bersendirian mahupun solat berjemaah. Wail bin Hujur radhiallahu 'anh menerangkan,

سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَرَأَ: ((غَيْرِ المَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ))، فَقَالَ: آمِينَ، وَمَدَّ بِهَا صَوْتَهُ.

Aku mendengar Nabi shallallahu 'alaihi wasallam membaca “Ghairil Maghdubi ‘alaihim wa ladh-Dhoolin”, lalu baginda mengucapkan “Amin” dengan memanjangkan suaranya.[1]

Hadis di atas bersifat umum, bererti ia merujuk kepada suasana membaca surah al-Fatihah di dalam solat mahupun di luar solat, bersendirian mahupun berjemaah.

Adapun apabila solat berjemaah yang imam membaca surah al-Fatihah secara kuat, maka disunnahkan mengucapkan “Amin” secara kuat serentak dengan imam. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

إِذَا أَمَّنَ الإِمَامُ، فَأَمِّنُوا، فَإِنَّهُ مَنْ وَافَقَ تَأْمِينُهُ تَأْمِينَ المَلاَئِكَةِ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ.

Apabila imam mengucapkan “Amin”, maka ucapkanlah “Amin”, kerana sesungguhnya sesiapa yang ucapan “Amin”nya serentak dengan ucapan “Amin” para malaikat, diampunkan baginya dosa-dosa yang lalu.[2]

Dalam sebuah hadis lain, Abu Musa al-Asy’ari radhiallahu 'anh menceritakan bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah berkhutbah mengajar tatacara solat. Antara lain baginda bersabda,

إِذَا صَلَّيْتُمْ فَأَقِيمُوا صُفُوفَكُمْ ثُمَّ لْيَؤُمَّكُمْ أَحَدُكُمْ، فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وَإِذْ قَالَ ((غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ))، فَقُولُوا: آمِينَ، يُجِبْكُمُ اللهُ.

Apabila kalian (hendak) solat, maka luruskanlah saf kalian, kemudian hendaklah salah seorang daripada kalian menjadi imam. Apabila imam bertakbir, maka bertakbirlah. Apabila imam membaca “Ghairil Maghdubi ‘alaihim wa ladh-Dhoolin”, maka katakanlah “Amin”, (nescaya) Allah akan memakbulkan untuk kalian.[3]

Hikmah dianjurkan mengucapkan “Amin” kerana surah al-Fatihah itu sendiri adalah satu doa, maka menutupinya dengan ucapan “Amin” bererti mengucapkan “Ya Allah, perkenankanlah!”

Kedua, dianjurkan mengucapkan “Amin” apabila mendengar atau membaca kenyataan yang benar lagi dipersetujui. Melalui ucapan “Amin” tersebut, seseorang itu berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala agar kenyataan itu benar-benar menjadi. Dalil bagi anjuran ini adalah hadis berikut daripada Jabir bin ‘Abdullah radhiallahu 'anh,

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم رَقِيَ الْمِنْبَرَ فَلَمَّا رَقِيَ الدَّرَجَةَ الأُولَى قَالَ: آمِينْ، ثُمَّ رَقِيَ الثَّانِيَةَ فَقَالَ: آمِينْ، ثُمَّ رَقِيَ الثَّالِثَةَ فَقَالَ: آمِينْ.

Bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam menaiki mimbar. Maka tatkala menaiki anak tangga pertama baginda mengucapkan, “Amin”. Kemudian baginda menaiki anak tangga kedua dan mengucapkan, “Amin”. Kemudian baginda menaiki anak tangga ketiga dan mengucapkan, “Amin”.

فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ سَمِعْنَاكَ تَقُولُ آمِينَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ ؟

Maka para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, (kenapakah) kami mendengar kamu mengatakan “Amin” tiga kali?”

قَالَ: لَمَّا رَقِيتَ الدَّرَجَةَ الأُولَى جَاءَنِي جِبْرِيلُ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ: شَقِيَ عَبْدٌ أَدْرَكَ رَمَضَانَ فَانْسَلَخَ مِنْهُ وَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ. فَقُلْتُ: آمِينْ.

Rasulullah menjawab, tatkala aku menaiki anak tangga pertama, Jibrail shallallahu 'alaihi wasallam datang kepada aku dan berkata, “Celakalah hamba yang menemui bulan Ramadhan dan keluar daripadanya sementara tidak diberikan keampunan kepadanya (kerana masih melakukan maksiat sepanjang bulan Ramadhan).” Maka aku berkata, “Amin.”

ثُمَّ قَالَ: شَقِيَ عَبْدٌ أَدْرَكَ وَالِدَيْهِ أَوْ أَحَدَهُمَا فَلَمْ يُدْخِلاَهُ الْجَنَّةَ. فَقُلْتُ: آمِينْ.

Kemudian (Jibrail) berkata (tatkala aku menaiki anak tangga kedua), “Celakalah hamba yang menemui ibu dan bapanya atau salah seorang daripada mereka berdua, lalu dia tidak memasuki syurga (kerana menderhaki mereka).” Maka aku berkata, “Amin.”

ثُمَّ قَالَ: شَقِيَ عَبْدٌ ذُكِرْتَ عِنْدَهُ وَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْكَ. فَقُلْتُ: آمِينْ.

Kemudian (Jibrail) berkata (tatkala aku menaiki anak tangga ketiga), “Celakalah hamba yang disebut namamu di sisinya lalu dia tidak berselawat ke atas kamu.” Maka aku berkata, “Amin.”[4]

Adapun selain dua keadaan di atas, dibolehkan mengucapkan “Amin” selepas berdoa. Ini kerana ucapan “Amin” itu sendiri adalah satu doa yang bermaksud “Ya Allah, perkenankanlah!” sehingga sesiapa yang menyebut “Amin” di akhir doanya, ia termasuk sebahagian daripada lafaz doanya. Ia bukanlah sesuatu yang berasingan sehingga memerlukan dalil tersendiri.

Selain itu, mengucapkan “Amin” adalah dibolehkan berdasarkan keumuman hadis berikut di mana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

مَا حَسَدَتْكُمْ الْيَهُودُ عَلَى شَيْءٍ مَا حَسَدَتْكُمْ عَلَى السَّلَامِ وَالتَّأْمِينِ.

Tidaklah kaum Yahudi dengki kepada kalian (umat Islam) dalam sesuatu urusan seperti mana mereka dengki kepada kalian dalam urusan (saling) mengucapkan salam dan amin.[5]

Pun begitu, tidak semestinya mengakhiri atau menutupi doa dengan ucapan “Amin”. Jika diperhatikan doa-doa yang dibaca dan diajar oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, yang sebahagiannya ada dikemukakan dalam buku ini, baginda tidak mengucapkan atau mengajarkan ucapan “Amin” di akhirnya. Padahal jika mengucapkan “Amin” memiliki peranan dalam kemakbulkan doa, pasti baginda akan mengucapkannya dan mengajarkannya.

Dalam persoalan ini terdapat sebuah riwayat yang menganjurkan ucapan “Amin” selepas berdoa. Namun riwayat tersebut adalah lemah (dha’if). Berikut dikemukakan riwayat tersebut sebagai makluman kepada para pembaca sekalian.

Diriwayatkan daripada Abu Zuhair al-Numairi radhiallahu 'anh bahawa beliau menceritakan,

خَرَجْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ لَيْلَةٍ، فَأَتَيْنَا عَلَى رَجُلٍ قَدْ أَلَحَّ فِي الْمَسْأَلَةِ، فَوَقَفَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَسْتَمِعُ مِنْهُ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:

Kami keluar bersama Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pada satu malam lalu kami tiba pada seorang lelaki yang sedang bersungguh-sungguh dalam meminta (doa). Maka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam berhenti bagi mendengar doanya, kemudian bersabda,

أَوْجَبَ إِنْ خَتَمَ.

“Doanya akan dikabulkan apabila ditutup.”

فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الْقَوْمِ: بِأَيِّ شَيْءٍ يَخْتِمُ؟

Bertanya seseorang, “Dengan apakah (doa itu) ditutup?”

قَالَ: بِآمِينَ، فَإِنَّهُ إِنْ خَتَمَ بِآمِينَ فَقَدْ أَوْجَبَ.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjawab, “Dengan mengucapkan “Amin”, kerana sesungguhnya apabila doa ditutup dengan ‘Amin’, maka sungguh ia akan dimakbulkan.”[6]

 

[1]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata, Hadis ini hasan. Ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 231/248 (Kitab al-Sholat, Bab berkenaan “Amin”).

[2]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 738/780 (Kitab al-Azan, Bab imam mengucapkan “Amin” secara kuat).

[3]          Sahih: Sebahagian hadis yang dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 612/404 (Kitab al-Solat, Bab tasyahud dalam solat).

[4]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad, hadis no.: 644 dan ia dinilai shahih li ghairihi oleh al-Albani dalam Shahih al-Adab al-Mufrad, hadis no.: 501 (Bab orang yang disebut nama Nabi di sisinya lalu tidak berselawat ke atasnya).

Juga dikeluarkan oleh Ibn Hibban dengan lafaz yang sedikit berbeza dalam Shahihnya dan ia dinilai shahih li ghairihi oleh Syu’aib al-Arna’uth dalam al-Ihsan fi Taqrib Shahih Ibn Hibban, hadis no.: 409 (Kitab al-Birr wa al-Ihsan, Bab hak ibu dan bapa).

[5]          Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dalam Sunannya dan berkata al-Bushiri dalam Misbah al-Zujajah fi Zawa’id Ibn Majah, hadis no.: 316, “Sanadnya sahih.” Ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no.: 846/856 (Kitab Iqamatu al-Solat wa al-Sunnah fi ha, Bab menguatkan bacaan amin).

[6]          Dha’if: Sebahagian hadis yang dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya dan ia dinilai dha’if oleh al-Albani dalam Dha’if Sunan Abu Daud, hadis no.: 803/938 (Kitab al-Sholat, Bab menyebut “Amin” di belakang imam). Ia juga dinilai dha’if oleh Syu’aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Sunan Abu Daud, hadis no.: 938.