Jawapan:
Meminta pertolongan kepada selain Allah terbahagi kepada dua jenis. Pertama, meminta pertolongan dalam perkara yang merupakan hak Allah semata-mata. Maka dalam jenis pertama ini, meminta pertolongan kepada selain Allah adalah syirik besar. Contoh perkara yang merupakan hak Allah semata-mata adalah seperti meminta diampunkan dosa, dilapangkan rezeki, diberi hidayah dan dikeluarkan daripada sesuatu kesulitan hidup.
Sesiapa yang berdoa, menyeru dan mengadu kepada makhluk dalam perkara-perkara yang merupakan hak Allah semata-mata, dia melakukan syirik besar kepada Allah. Contohnya, orang yang berdoa kepada sekian-sekian manusia yang dianggapnya wali atau orang yang menangis, mengadu dan merayu meminta pertolongan di sisi kubur si fulan yang dianggapnya memiliki keramat.
Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala,
ذَلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ لَهُ الْمُلْكُ وَالَّذِينَ تَدْعُونَ مِنْ دُونِهِ مَا يَمْلِكُونَ مِنْ قِطْمِيرٍ.
Yang (berbuat) demikian itulah Allah, Rabb kamu. Kepunyaan-Nya-lah segala kerajaan. Dan orang-orang yang kamu doa selain Allah tidak memiliki apa-apa walaupun setipis kulit ari.
إِنْ تَدْعُوهُمْ لَا يَسْمَعُوا دُعَاءَكُمْ وَلَوْ سَمِعُوا مَا اسْتَجَابُوا لَكُمْ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يَكْفُرُونَ بِشِرْكِكُمْ.
Jika kamu berdoa kepada mereka, mereka tidak mendengar seruanmu. Dan kalaupun mereka mendengar, mereka tidak dapat memakbulkan permintaanmu. Pada Hari Kiamat kelak mereka (yang kamu doa itu) akan mengingkari kesyirikanmu. [Fathir 35:13-14]
وَمَنْ أَضَلُّ مِمَّنْ يَدْعُو مِنْ دُونِ اللَّهِ مَنْ لَا يَسْتَجِيبُ لَهُ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَهُمْ عَنْ دُعَائِهِمْ غَافِلُونَ.
Dan siapakah yang lebih sesat berbanding orang yang berdoa kepada selain Allah, yang tidak dapat memakbulkan doanya sehinggalah ke Hari Kiamat sementara makhluk-makhluk itu pula lalai daripada doa mereka.
وَإِذَا حُشِرَ النَّاسُ كَانُوا لَهُمْ أَعْدَاءً وَكَانُوا بِعِبَادَتِهِمْ كَافِرِينَ.
Dan apabila manusia dikumpulkan (pada Hari Kiamat) nescaya makkhluk-makhluk itu menjadi musuh mereka dan mengingkari peribadatan[1] mereka. [al-Ahqaf 46:5-6]
Kedua, meminta pertolongan dalam perkara yang merupakan urusan manusia. Maka dalam jenis kedua ini, dibolehkan meminta pertolongan sesama manusia. Contohnya, meminta rakan menolong mengangkat benda berat, meminta guru mengajar sesuatu yang tidak difahami dan bertanyakan orang tentang arah jalan.
Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah meminta pertolongan sesama manusia. Contohnya ketika berhijrah dari Mekah ke Madinah, Rasulullah dan Abu Bakar radhiallahu ‘anh telah meminta pertolongan ‘Abdullah bin Uraiqith al-Diyliy (عبد الله بن أريقط الديلي) bagi membawa mereka melalui jalan rahsia yang tidak diketahui oleh musuh.
Namun semua ini dengan catatan, berjaya atau tidak permintaan pertolongan itu bergantung kepada kehendak dan izin Allah. Jika Allah kehendaki dan izinkan, pertolongan itu akan berjaya diperolehi. Jika tidak, maka pertolongan itu akan gagal diperolehi.
Sehinggakan, jika semua manusia berhimpun dan bekerjasama bagi menolong anda, pertolongan itu tidak akan menjadi jika Allah tidak izinkan. Demikianlah juga sebaliknya, jika semua manusia berhimpun dan bekerjasama bagi memudaratkan anda, kemudaratan itu tidak akan menjadi jika Allah tidak izinkan.
Oleh itu meskipun melibatkan sesuatu urusan sesama manusia, hendaklah dimulai dengan berdoa kepada Allah. Contohnya, berdoalah, “Ya Allah, permudahkanlah urusanku mengangkat barang-barang pada hari ini. Hadirkanlah orang-orang yang sudi membantuku”, “Ya Allah, berilah aku kefahaman dalam subjek ini” atau “Ya Allah, permudahkanlah pemanduan aku hari ini. Peliharalah aku daripada tersesat jalan.” Kemudian apabila perlu, mintalah pertolongan sesama manusia dengan meletakkan harapan kepada Allah agar permintaan itu berjaya diperolehi.
Ambillah iktibar daripada hadis berikut daripada ‘Abdullah ibn ‘Abbas radhiallahu 'anhuma,
كُنْتُ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمًا، فَقَالَ: يَا غُلَامُ إِنِّي أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ،
Aku pernah berada di belakang Rasulullah shallallahu ‘alaihi wassalam pada suatu hari, lalu baginda bersabda, “Wahai anak muda! Sesungguhnya aku akan mengajarimu beberapa kalimat,
احْفَظِ اللَّهَ يَحْفَظْكَ،
Jagalah Allah nescaya Dia menjagamu,[2]
احْفَظِ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ،
Jagalah Allah nescaya kau menemui-Nya di hadapanmu,[3]
إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ، وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ،
Apabila kau meminta, mintalah pada Allah dan apabila kau meminta pertolongan, mintalah kepada Allah,
وَاعْلَمْ أَنَّ الأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ،
Ketahuilah bahawasanya jika manusia berhimpun bagi memberi sesuatu manfaat kepadamu, tidaklah mereka dapat memberi apa jua manfaat kepadamu melainkan apa yang telah Allah taqdirkan bagimu,
وَلَوْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ،
Dan jika (manusia) berhimpun bagi memberikan sesuatu mudarat ke atasmu, tidaklah mereka dapat memberi apa jua mudarat ke atasmu melainkan apa yang telah Allah taqdirkan ke atasmu.
رُفِعَتِ الأَقْلَامُ وَجَفَّتْ الصُّحُفُ.
Pena-pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering.”[4]
[1] Dikatakan sedemikian kerana doa adalah satu ibadah, sebagaimana yang telah dijelaskan di awal buku ini.
[2] Maksudnya pelihara hukum-hukum Allah, baik yang merupakan perintah atau larangan, nescaya Allah akan memelihara kamu.
[3] Maksudnya pelihara hukum-hukum Allah, baik yang merupakan perintah atau larangan, nescaya Allah akan sentiasa membantu dan membimbing kamu.
[4] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata, “Hadis ini hasan sahih.” Ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 2440/2516 (Kitab Shifat al-Qiyamat, wa al-Raqa’iq, wa al-Wara’i ‘an Rasulullah).