Jawapan:

Para ilmuan Islam berbeza pendapat tentang berdoa selepas solat-solat fardhu. Ada yang menganjurkannya dan ada yang tidak. Ini berlaku kerana mereka berbeza dalam memahami hadis-hadis tentang doa di penghujung solat, apakah ia merujuk kepada masa sebelum memberi salam atau selepas memberi salam? Perkara ini sudah dijelaskan dalam soalan Bilakah Yang Dimaksudkan Sebagai “Dubur Solat”?

Kemudian, terdapat beberapa hadis bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berdoa selepas solat, yakni selepas salam. Namun para ilmuan sekali lagi berbeza pendapat, apakah ia doa secara bebas atau termasuk zikir selepas solat yang ditetapkan bacaannya? Ini kerana Rasulullah tidak menganjurkan doa secara bebas ketika selepas salam sebagaimana sebelum salam.[1] Contohnya apabila menyentuh tentang doa sebelum salam, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengajar doa yang patut dibaca, kemudian menganjurkan doa secara bebas,

إِذَا تَشَهَّدَ أَحَدُكُمْ (إِذَا فَرَغَ أَحَدُكُمْ مِنَ التَّشَهُّدِ الْأَخِيرِ) فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ: مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَعَذَابِ الْقَبْرِ، وَفِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ (فِتْنَةِ) الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ. ثُمَّ يَدْعُو لِنَفْسِهِ بِمَا بَدَا لَهُ.

Apabila seseorang kalian telah membaca tasyahud (dalam riwayat lain: Apabila seseorang kalian selesai membaca tasyahud akhir), maka mintalah perlindungan Allah daripada empat perkara, (1) daripada azab neraka jahannam, (2) daripada azab kubur, (3) daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan (4) daripada keburukan (fitnah) al-Masih al-Dajjal.

Kemudian dia berdoa bagi dirinya dengan apa yang dia sukai baginya.[2]

Berikut dikemukakan beberapa hadis tentang doa selepas salam. Hadis-hadis inilah yang diperselisihkan peranannya, apakah doa secara bebas atau merupakan zikir secara tetap? Dua daripadanya adalah sahih sementara dua lagi diperselisihkan darjatnya.

Hadis Pertama:

Daripada al-Bara’ bin ‘Azib radhiallahu 'anh,

كُنَّا إِذَا صَلَّيْنَا خَلْفَ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، أَحْبَبْنَا أَنْ نَكُونَ عَنْ يَمِينِهِ، يُقْبِلُ عَلَيْنَا بِوَجْهِهِ، قَالَ: فَسَمِعْتُهُ يَقُولُ:

Lazimnya kami (para sahabat), apabila kami solat di belakang Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, kami suka berada di sebelah kanan baginda (kerana setelah solat baginda akan berpusing ke kanan) menghadap kami dengan wajahnya. Maka aku mendengar baginda berdoa,

رَبِّ قِنِي عَذَابَكَ يَوْمَ تَبْعَثُ - أَوْ تَجْمَعُ – عِبَادَكَ.

“Wahai tuhanku, peliharalah aku daripada azab-Mu pada hari dibangkitkan atau dihimpunkan hamba-hamba-Mu.”[3]

 

Hadis Kedua:

Daripada al-Mughirah bin Syu’bah radhiallahu 'anh,

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ إِذَا سَلَّمَ:

Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lazim berkata dalam dubur setiap solat, apabila telah memberi salam,

لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ، وَلَهُ الحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ،

“Tiada tuhan melainkan Allah, yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya segala kerajaan dan bagi-Nya segala pujian dan Dia atas segala sesuatu Maha Berkuasa.

اللَّهُمَّ لاَ مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ، وَلاَ مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ، وَلاَ يَنْفَعُ ذَا الجَدِّ مِنْكَ الجَدُّ.

Ya Allah, tiada yang dapat menghalang apa yang Engkau berikan dan tiada yang dapat memberi apa yang Engkau halang. Tiada manfaat bagi pemilik kekayaan kerana daripada Engkaulah segala kekayaan.”[4]

Rangkap kedua yang bermula dengan اللَّهُمَّ yang bermaksud “Ya Allah…” adalah sebuah doa.

Hadis Ketiga:

Daripada Abu Marwan radhiallahu 'anh,

أَنَّ كَعْبًا حَلَفَ لَهُ بِاللَّهِ الَّذِي فَلَقَ الْبَحْرَ لِمُوسَى إِنَّا لَنَجِدُ فِي التَّوْرَاةِ: أَنَّ دَاوُدَ نَبِيَّ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، كَانَ إِذَا انْصَرَفَ مِنْ صَلَاتِهِ قَالَ:

Bahawa Ka’ab bersumpah kepadanya, Demi Allah yang membelah laut untuk Nabi Musa, sesungguhnya kami mendapati dalam kitab Taurat bahawa Nabi Allah Daud shallallahu 'alaihi wasallam lazim berdoa selepas selesai daripada solat,

اللَّهُمَّ أَصْلِحْ لِي دِينِي الَّذِي جَعَلْتَهُ لِي عِصْمَةً، وَأَصْلِحْ لِي دُنْيَايَ الَّتِي جَعَلْتَ فِيهَا مَعَاشِي،

“Ya Allah, perbaikilah bagiku agamaku yang Engkau jadikan bagiku sebagai pelindung, perbaikilah bagiku duniaku yang Engkau jadikan padanya sebagai tempat hidupku.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِرِضَاكَ مِنْ سَخَطِكَ، وَأَعُوذُ بِعَفْوِكَ مِنْ نِقْمَتِكَ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْكَ،

Ya Allah, aku berlindung dengan keredaan Engkau daripada kemurkaan Engkau, Aku berlindung dengan keampunan Engkau daripada seksa Engkau dan Aku berlindung kepada Engkau daripada (azab) Engkau.

لَا مَانِعَ لِمَا أَعْطَيْتَ، وَلَا مُعْطِيَ لِمَا مَنَعْتَ، وَلَا يَنْفَعُ ذَا الْجَدِّ مِنْكَ الْجَدُّ.

(Ya Allah), tiada yang dapat menghalang apa yang Engkau berikan dan tiada yang dapat memberi apa yang Engkau halang. Tiada manfaat bagi pemilik kekayaan kerana daripada Engkaulah segala kekayaan.”

قَالَ: وَحَدَّثَنِي كَعْبٌ، أَنَّ صُهَيْبًا حَدَّثَهُ، أَنَّ مُحَمَّدًا صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُهُنَّ عِنْدَ انْصِرَافِهِ مِنْ صَلَاتِهِ.

Abu Marwan berkata, Ka’ab menceritakan kepadaku bahawa Shuhaib menceritakan kepadanya, bahawa Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam juga lazim membaca doa yang sama ketika selesai daripada solat.[5]

Hadis Keempat:

Daripada Ummu Salamah radhiallahu 'anh,

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ: إِذَا صَلَّى الصُّبْحَ حِينَ يُسَلِّمُ

Bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam lazimnya berdoa apabila solat Subuh ketika telah memberi salam,

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا

“Ya Allah, sesungguhnya aku meminta daripada Kamu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang bagus dan amalan yang diterima.”[6]

Penulis mencenderungi pendapat boleh berdoa selepas solat. Ini kerana hukum asal bagi doa adalah ia boleh dipanjatkan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala pada bila-bila masa seseorang itu memiliki hajat, baik bagi mengeluarkan dirinya daripada sesuatu masalah (istighotsah), meminta perlindungan (isti’azah), meminta pertolongan (isti’anah) atau meminta kurniaan.

Selain itu, Allah Subhanahu wa Ta'ala telah mensyari’atkan zikir sesudah solat-solat fardhu dan berdoa termasuk dalam kategori zikir. Ini kerana dengan berdoa, seseorang itu mengingati Allah, menyebut dan memuji-Nya pada permulaan doa serta berharap kepada-Nya sesudah berdoa. Oleh itu dalam rangka berzikir selepas solat, dibolehkan juga berdoa selepas solat. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala,

فَإِذَا قَضَيْتُمُ الصَّلَاةَ فَاذْكُرُوا اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِكُمْ.

Maka apabila kalian telah selesai solat, maka berzikirlah kepada Allah baik ketika berdiri, duduk dan baring. [al-Nisa’ 4:103]

Selain itu, ada beberapa perkara yang perlu diperingatkan tentang doa selepas solat.

Pertama, hendaklah melazimkan diri berzikir selepas solat. Bukan sebarangan zikir, tetapi zikir-zikir yang diajar dan diamalkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Ini kerana berzikir selepas solat adalah sesuatu yang disyari’atkan sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala,

فَإِذَا قَضَيْتُمُ الصَّلَاةَ فَاذْكُرُوا اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِكُمْ.

Maka apabila kalian telah selesai solat, maka berzikirlah kepada Allah baik ketika berdiri, duduk dan baring. [al-Nisa’ 4:103]

Ayat ini asalnya berbicara tentang solat dalam keadaan takutkan musuh atau ketika peperangan. Nah! Jika dalam keadaan genting seperti itu Allah tetap menyuruh kita berzikir selepas solat, maka bagaimana pula dalam keadaan tenang? Tentu suruhan berzikir menjadi lebih utama.

Kedua, antara berdoa dalam solat dan berdoa selepas solat, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lebih menekankan doa dalam solat. Ini kerana dalam solat, seseorang itu berada pada kedudukan paling hampir dengan Tuhan-nya, yakni ketika sujud. Tentang doa ketika sujud ini, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berpesan,

وَأَمَّا السُّجُودُ فَاجْتَهِدُوا فِي الدُّعَاءِ، فَقَمِنٌ أَنْ يُسْتَجَابَ لَكُمْ.

Adapun ketika sujud, maka bersungguh-sungguhlah berdoa kerana (doa ketika sujud) memang layak dikabulkan kepada kalian (oleh Allah).[7]

Selain itu dalam solat, seseorang itu juga sangat dianjurkan berdoa selepas bacaan tasyahud akhir dan sebelum memberi salam. Ini kerana dalam bacaan tasyahud, seseorang itu memuji-muji Allah dan berselawat kepada Rasulullah dengan sebaik-baik pujian dan selawat. Maka setelah itu, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengesyorkan,

ثُمَّ يَتَخَيَّرُ مِنَ الدُّعَاءِ أَعْجَبَهُ إِلَيْهِ، فَيَدْعُو.

Kemudian dia memilih daripada doa-doa yang menakjubkan kepada dirinya sendiri, maka berdoalah.[8]

Ketiga, antara doa dalam solat dan doa selepas solat, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lebih kerap berdoa dalam solat. Oleh itu hendaklah melazimkan berdoa dalam solat, yakni ketika sujud dan sebelum memberi salam. Melazimkan berdoa selepas solat lambat laun akan menimbulkan sangkaan masyarakat bahawa itulah waktu dianjurkan berdoa, padahal waktu yang dianjurkan adalah berdoa dalam solat.

 

[1]          Namun penulis bersikap terbuka. Seandainya di kalangan pembaca ada yang mengetahui hadis sahih bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menganjurkan doa secara bebas selepas solat, mohon disampaikan kepada penulis. Penulis akan membetulkan kenyataan di atas sambil memasukkan hadis tersebut sebagai dalil.

[2]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasa’e dalam Sunannya dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa’e, hadis no.: 1293/1310 (Kitab al-Sahwi, Bab meminta perlindungan dalam solat).

Lafaz dalam kurungan dikeluarkan oleh Ibn Majah dalam Sunannya dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no.: 899/909 (Kitab al-Iqamat al-Sholah wa Sunnah fi ha, Bab apa yang dikatakan selepas bacaan tasyahud dan selawat ke atas Nabi).

[3]          Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 1159/709 (Kitab Sholat al-Musafirin wa Qasriha, Bab disukai berada di sebelah kanan imam).

[4]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 5855/6330 (Kitab al-Da’awat, Bab doa setelah solat).

[5]          - - - - - : Dikeluarkan oleh al-Nasa’e dalam Sunannya dan ia dinilai dha’if oleh al-Albani dalam Dha’if Sunan al-Nasa’e, hadis no.: 1329/1346 (Kitab al-Sahwi, Bab lain tentang berdoa ketika selesai daripada solat).

Juga dikeluarkan oleh Ibn Khuzaimah dalam Shahihnya, hadis no.: 745 dan ia dinilai dha’if oleh penyemak kitab, Muhammad Mustafa al-‘Azami.

Namun sebahagian ahli hadis lain menilai hadis ini hasan, seperti al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Nata’if al-Afkar fi Takhrij Ahadith al-Azkar, ms 136 sebagaimana jelas Syu’aib al-Arna’uth dalam al-Ihsan fi Taqrib Shahih Ibn Hibban, hadis no.: 2026.

Ibn Atsir menghimpun hadis ini dalam Jami’ al-Usul fi Ahadits al-Rasul, hadis no.: 2206 dan sanadnya dinilai hasan oleh penyemak kitab, Aiman Soleh Sya’ban.

al-Haitsami menghimpun hadis ini dalam Mawarid al-Zhaman ila Zawa’id Ibn Hibban, hadis no.: 541 dan sanadnya dinilai hasan oleh penyemak kitab, Husain Salim Asad al-Darani.

[6]          - - - - - : Dikeluarkan oleh Ibn Majah dalam Sunannya, dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no.: 915/925 (Kitab Iqamatu al-Solat wa al-Sunnah fi ha, Bab apa yang dikatakan selepas salam). Namun penilaian ini hendaklah disemak semula kerana dalam sanadnya terdapat seseorang (maula Ummu Salamah) yang tidak dikenali. Rujuk keterangan al-Bushiri dalam Misbah al-Zujajah bi Zawa’id Ibn Majah, hadis no.: 341 dan penilaian Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Sunan Ibn Majah, hadis no.: 925.

Juga dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnadnya dan ia dinilai dha’if oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad, hadis no.: 26602.

[7]          Sahih: Sebahagian daripada hadis yang dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 738/479 (Kitab al-Sholat, Bab apa yang diucap ketika rukuk dan sujud). Teks penuh hadis telah dikemukakan sebelum ini.

[8]          Sahih: Sebahagian hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 791/835 (Kitab al-Azan, Bab memilih doa tertentu selepas bacaan tasyahud dan ianya tidaklah wajib). Teks penuh hadis telah dikemukakan sebelum ini.