Jawapan:

Antara aqidah Islam adalah wujudnya soal jawab malaikat dan azab kubur kepada setiap orang yang meninggal dunia. Perkara ini benar-benar berlaku dan menggerunkan sehingga Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sering berdoa perlindungan daripadanya dan mengajar kita agar melakukan hal yang sama.

Sa’ad bin Abi Waqash radhiallahu 'anh berkata,

إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَتَعَوَّذُ مِنْهُنَّ دُبُرَ الصَّلاَةِ:

Bahawa Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lazimnya berlindung daripada hal berikut di penghujung solat (dengan berdoa),

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الجُبْنِ، وَأَعُوذُ بِكَ أَنْ أُرَدَّ إِلَى أَرْذَلِ العُمُرِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الدُّنْيَا، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ القَبْرِ.

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau daripada sifat pengecut, dan aku berlindung kepada Engkau daripada dikembalikan kepada umur yang menghinakan[1], dan aku berlindung kepada Engkau daripada fitnah dunia dan dan aku berlindung kepada Engkau daripada azab kubur.”[2]

Abu Bakrah radhiallahu 'anh berkata,

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلَاةٍ:

Bahawa Nabi shallallahu 'alaihi wasallam lazim berdoa di penghujung setiap solat,

اللهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْكُفْرِ، وَالْفَقْرِ، وَعَذَابِ الْقَبْرِ.

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau daripada kekafiran, kefakiran dan azab kubur.”[3]

Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengajar,

إِذَا تَشَهَّدَ أَحَدُكُمْ (إِذَا فَرَغَ أَحَدُكُمْ مِنَ التَّشَهُّدِ الْأَخِيرِ) فَلْيَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْ أَرْبَعٍ: مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ، وَعَذَابِ الْقَبْرِ، وَفِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ شَرِّ (فِتْنَةِ) الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ. ثُمَّ يَدْعُو لِنَفْسِهِ بِمَا بَدَا لَهُ.

Apabila seseorang kalian telah membaca tasyahud (dalam riwayat lain: Apabila seseorang kalian selesai membaca tasyahud akhir), maka mintalah perlindungan Allah daripada empat perkara, (1) daripada azab neraka jahannam, (2) daripada azab kubur, (3) daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan (4) daripada keburukan (fitnah) al-Masih al-Dajjal.

Kemudian dia berdoa bagi dirinya dengan apa yang dia sukai baginya.[4]

Seterusnya apabila berlaku kematian, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam akan berdoa selepas solat jenazah, meminta perlindungan daripada azab kubur kepada orang yang disolatkan. Watsilah bin al-Asqa’ radhiallahu 'anh menerangkan,

صَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى رَجُلٍ مِنَ الْمُسْلِمِينَ، فَأَسْمَعُهُ يَقُولُ:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam melaksanakan solat jenazah ke atas seorang lelaki Muslim, lalu aku mendengar baginda berdoa,

اللَّهُمَّ إِنَّ فُلَانَ بْنَ فُلَانٍ فِي ذِمَّتِكَ، وَحَبْلِ جِوَارِكَ، فَقِهِ مِنْ فِتْنَةِ الْقَبْرِ، وَعَذَابِ النَّارِ، وَأَنْتَ أَهْلُ الْوَفَاءِ وَالْحَقِّ، فَاغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.

Ya Allah, sesungguhnya fulan bin fulan (disebutkan nama jenazah) berada dalam jaminan Engkau, bergantung kepada tali pemeliharaan Engkau. Peliharalah dia daripada fitnah kubur dan azab neraka. Engkau-lah yang Maha menepati janji dan Maha Benar. Maka ampunilah bagi dia dan rahmatilah dia. Sesungguhnya Engkau, Engkaulah yang Maha Pengampun lagi Penyayang.[5]

Seterusnya apabila jenazah dikebumikan, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengajar orang ramai agar mendoakan dia (jenazah) agar diberi keteguhan menjawab soalan-soalan malaikat. ‘Utsman bin ‘Affan radhiallahu 'anh menerangkan,

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذَا فَرَغَ مِنْ دَفْنِ الْمَيِّتِ وَقَفَ عَلَيْهِ، فَقَالَ:

Lazimnya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, apabila jenazah selesai dikebumikan, baginda berdiri di sisi (kuburnya) dan bersabda,

اسْتَغْفِرُوا لِأَخِيكُمْ، وَسَلُوا لَهُ بِالتَّثْبِيتِ، فَإِنَّهُ الْآنَ يُسْأَلُ.

“Doakanlah keampunan bagi saudara kalian ini dan mintalah baginya keteguhan kerana sesungguhnya dia kini sedang disoal.”[6]

Demikianlah kebenaran wujudnya azab kubur dan kegerunan menghadapinya sehingga mendoakan perlindungan Allah dan keselamatan terhadapnya diusahakan secara berterusan.

Nah! Jika ke atas orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat didoakan perlindungan dan keselamatan daripada azab kubur, maka bagaimana pula dengan orang-orang yang ingkar kepada Allah dan Hari Akhirat? Kenapa pula didoakan “Rest in peace” atau “Berehatlah dalam ketenangan”, padahal mereka juga akan menghadapi soal jawab dan azab di dalam kubur masing-masing.

Mendoakan “Rest in peace” atau “Berehatlah dalam ketenangan” memberi gambaran seolah-olah tidak ada soal jawab dan azab kubur bagi orang-orang kafir. Seolah-olah mereka boleh berada dalam suasana tenang di dalam kubur masing-masing.

Justeru doa “Rest in peace” atau “Berehatlah dalam ketenangan” adalah sesuatu yang bertentangan dengan aqidah Islam. Setiap Muslim hendaklah menjauhikan diri daripada mengucapkannya.

Sebaliknya apa yang boleh diucapkan adalah,

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ.

“Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan sesungguhnya kepada Allah jualah kami kembali.”

Ini kerana semua manusia, baik yang Muslim atau kafir adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah semuanya akan kembali.

Boleh juga memberikan ucapan takziah seperti “my condolences to you for your lost”.

 

 

 

 

 

 

[1]          Maksudnya ketika tua kelak, agar akal fikiran tidak menjadi nyanyuk dan fizikal tidak menjadi kotor seperti membuang air kecil dan besar tanpa kawalan.

[2]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 2610/2822 (Kitab al-Jihad wa al-Siyar, Bab berlindung daripada sifat pengecut).

[3]          Sahih: Dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnadnya dan sanadnya dinilai kuat (qawi) oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad, hadis no.: 20409.

[4]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasa’e dalam Sunannya dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa’e, hadis no.: 1293/1310 (Kitab al-Sahwi, Bab meminta perlindungan dalam solat).

Lafaz dalam kurungan dikeluarkan oleh Ibn Majah dalam Sunannya dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no.: 899/909 (Kitab al-Iqamat al-Sholah wa Sunnah fi ha, Bab apa yang dikatakan selepas bacaan tasyahud dan selawat ke atas Nabi).

[5]          Hasan: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dalam Sunannya dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no.: 1488/1499 (Kitab al-Jana’iz, Bab tentang doa dalam solat ke atas jenazah). Sementara itu Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakan menilai sanad hadis ini hasan dalam semakan mereka ke atas Sunan Ibn Majah, hadis no.: 1499.

[6]          Hasan: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no.: 2804/3221 (Kitab al-Jana’iz, Bab beristighfar di sisi kubur jenazah pada saat akan pulang). Terdapat perbezaan penilaian terhadap hadis ini dengan sebahagian ahli hadis menilai ia sahih sementara sebahagian lain menilai ia hasan. Antara yang menilainya hasan adalah Syu’aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas Sunan Abu Daud, hadis no.: 3221.