Jawapan:

Dianjurkan menghadap kiblat untuk berdoa, khasnya apabila dalam keadaan sangat berhajat. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah berdoa dengan menghadap kiblat sebagaimana yang diceritakan oleh ‘Abdullah bin Zaid radhiallahu 'anh,

خَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى هَذَا الْمُصَلَّى يَسْتَسْقِي فَدَعَا وَاسْتَسْقَى ثُمَّ اسْتَقْبَلَ الْقِبْلَةَ وَقَلَبَ رِدَاءَهُ.

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam keluar ke tempat solat di tanah lapang ini bagi meminta hujan (Solat Istisqa’). Maka baginda berdoa meminta hujan, kemudian berpusing menghadap kiblat dan membalikkan selendangnya.[1]

Walau bagaimanapun dibolehkan berdoa tanpa menghadap kiblat kerana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga pernah berdoa tanpa menghadap kiblat. Anas bin Malik radhiallahu 'anh menceritakan bahawa Rasulullah pernah sedang berkhutbah sempena solat Jumaat apabila seorang Arab Badwi berdiri lantas berkata, “Wahai Rasulullah, harta benda telah binasa sementara kaum keluarga kebuluran (kerana kemarau yang panjang)!”

فَادْعُ اللَّهَ لَنَا فَرَفَعَ يَدَيْهِ.

Maka baginda berdoa kepada Allah bagi kami dengan mengangkat kedua tangannya.[2]

Dalam hadis di atas, Rasulullah yang sedang memberi khutbah di atas mimbar sambil menghadap para jemaah tidak berpusing menghadap kiblat untuk berdoa.

Hendaklah diketahui bahawa para sahabat amatlah mendalam lagi terperinci dalam meriwayatkan hadis sehingga jika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berpusing di atas mimbar bagi menghadap kiblat, nescaya mereka akan menceritakannya.

 

[1]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 5867/6343 (Kitab al-Da’awat, Bab berdoa sambil menghadap kiblat).

[2]          Sahih: Sebahagian daripada hadis yang dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 881/933 (Kitab al-Jumu’ah, Bab al-Istisqa’ ketika khutbah jumaat). Juga dalam Shahihnya, hadis no.: 5866/6342 (Kitab al-Da’awat, Bab berdoa sambil tidak menghadap kiblat).