Jawapan:

Syarat-syarat ketika berdoa dapat dirujuk kepada firman Allah Subhanahu wa Ta'ala,

ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ. وَلَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَاحِهَا وَادْعُوهُ خَوْفًا وَطَمَعًا إِنَّ رَحْمَتَ اللَّهِ قَرِيبٌ مِنَ الْمُحْسِنِينَ.

Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan secara perlahan lagi tersembunyi. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya. [al-A’raaf 7:55-56]

Marilah kita mengkaji ayat ini secara mendalam. Allah Subhanahu wa Ta'ala menyuruh kita berdoa dengan,

  • …merendah diri…

Syarat yang pertama ialah berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dengan perasaan dan sikap merendah diri. Ini adalah penting kerana kita sebagai makhluk yang serba hina, kekurangan dan sangat berhajat sedang memohon kepada Tuhan yang Maha Mulia (al-Karim), Maha Memberi (al-Wahhab), tidak terhitung khazanah-Nya (al-Ghani), yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu (al-Shomad) dan Maha Memakbulkan (al-Mujib) semudah berkata “Jadilah, maka menjadilah ia” (Kun, fa ya kun).

  • …secara perlahan lagi tersembunyi…

Syarat yang kedua ialah berdoa secara perlahan dan tersembunyi. Para imam tafsir menjelaskan bahawa perkataan (خُفْيَةً) bermaksud perlahan, tersembunyi atau secara rahsia.

Berdoa secara perlahan ialah dengan suara yang hanya boleh didengar oleh diri sendiri. Kemudian berdoalah secara rahsia atau tersembunyi, bukan di hadapan khalayak ramai. Inilah cara berdoa yang dilakukan oleh Nabi Zakaria ‘alaihis salam sehingga Allah Subhanahu wa Ta'ala merakamkannya dalam al-Qur’an,

كهيعص. ذِكْرُ رَحْمَتِ رَبِّكَ عَبْدَهُ زَكَرِيَّا. إِذْ نَادَى رَبَّهُ نِدَاءً خَفِيًّا.

Kaaf Haa Yaa 'Ain Shaad. Inilah kisah rahmat Tuhan kamu kepada hamba-Nya, Zakaria. Iaitu tatkala dia berdoa kepada Tuhan-nya dengan suara yang lembut lagi tersembunyi. [Maryam 19:1-3]

Berdoa secara perlahan dan tersembunyi merupakan tatacara asas berdoa meliputi semua suasana. Dalam beberapa suasana terpencil, boleh berdoa secara kuat di hadapan khalayak ramai jika ada keperluan demi kemaslahatan umum. Dalam sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, baginda pernah berdoa secara kuat di khalayak ramai, seperti doa dalam khutbah Jumaat dan doa qunut nazilah bagi menghancurkan musuh-musuh Islam. Selain itu sunnah baginda ialah berdoa secara perlahan dan tersembunyi. Perkara ini akan dikupas lebih lanjut dalam soal jawab akan datang, insyaAllah.

Berdoa secara kuat di khalayak ramai jangan dilakukan secara tetap atau kerap kerana dibimbangi orang ramai akan menganggap itulah tatacara asas dalam berdoa sehingga mengabaikan firman Allah dalam ayat 55-56 surah al-A’raaf. Selain itu dikhuatiri melazimi doa secara kuat di khalayak ramai termasuk dalam kategori melampaui batas dan melakukan kerosakan di bumi sebagaimana yang akan dijelaskan seterusnya. Maka atas dasar taqwa kepada Allah, hendaklah dijauhi doa secara kuat di khalayak ramai melainkan benar-benar perlu.

  • Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.

Sesunguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas dalam semua urusan agama, termasuklah dalam urusan berdoa.

Selari dengan konteks ayat, melampaui batas dalam urusan berdoa ialah melazimi apa-apa cara berdoa yang menyelisihi perintah merendahkan diri dan secara perlahan lagi tersembunyi.

Melampaui batas dalam berdoa boleh berlaku dalam bentuk permintaan yang tidak munasabah, seperti berdoa meminta kehidupan yang kekal, menjadi seorang Nabi atau menjadi jutawan tanpa berusaha.

Melampaui batas dalam berdoa boleh juga berlaku dalam bentuk permintaan yang rumit atau cerewet, seperti meminta itu dan ini di dalam syurga padahal diri sendiri belum tentu layak memasuki syurga. Dalam sebuah hadis, Abdullah bin Mughaffal radhiallahu 'anh pernah mendengar anaknya berdoa,

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْقَصْرَ الْأَبْيَضَ عَنْ يَمِينِ الْجَنَّةِ إِذَا دَخَلْتُهَا!

Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada Engkau sebuah istana putih di sebelah kanan syurga apabila aku memasukinya!

Maka Abdullah menegur anaknya,

أَيْ بُنَيَّ سَلْ اللَّهَ الْجَنَّةَ وَتَعَوَّذْ بِهِ مِنْ النَّارِ فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّهُ سَيَكُونُ فِي هَذِهِ الْأُمَّةِ قَوْمٌ يَعْتَدُونَ فِي الطَّهُورِ وَالدُّعَاءِ.

Wahai anakku, mintalah kepada Allah syurga dan perlindungan-Nya daripada neraka. Ini kerana sesungguhnya aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda, “Sesungguhnya akan datang pada umat ini satu kaum yang melampaui batas dalam bersuci dan berdoa”.[1]

  • Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi …

Apabila membaca ayat-ayat al-Quran yang melarang berbuat kerosakan di bumi, maksudnya bukanlah kerosakan alam sekitar tetapi kerosakan dalam bentuk kafir kepada Allah dan berbuat maksiat, yakni derhaka dengan melanggar perintah serta larangan-Nya.

Ayat …janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi… pertama kali disebut dalam al-Qur’an pada ayat 11 surah al-Baqarah,

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ لَا تُفْسِدُوا فِي الْأَرْضِ قَالُوا إِنَّمَا نَحْنُ مُصْلِحُونَ.

Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di bumi”, mereka menjawab: “Sesungguhnya kami orang-orang yang hanya membuat kebaikan.” [al-Baqarah 2:11]

Apabila menjelaskan ayat di atas, Ibn Katsir rahimahullah mengemukakan penjelasan ‘Abdullah ibn ‘Abbas, ‘Abdullah ibn Mas’ud dan daripada sejumlah para sahabat Rasulullah
(وعن أناس من أصحاب رسول الله), semoga Allah meredai mereka semua, bahawa maksud kerosakan itu ialah kekafiran dan perbuatan maksiat (الفساد هو الكفر، والعمل بالمعصية).

Dijelaskan lagi maksud ayat tersebut,

يعني: لا تعصُوا في الأرض، وكان فسادهم ذلك معصية الله؛ لأنه من عصى الله في الأرض أو أمر بمعصية الله، فقد أفسد في الأرض؛ لأن صلاح الأرض والسماء بالطَّاعة.

Yakni, jangan berbuat maksiat di bumi. Kerosakan yang mereka lakukan itu sebenarnya satu kemaksiatan kepada Allah, kerana sesiapa yang bermaksiat kepada Allah di bumi atau menyuruh kepada kemaksiatan kepada Allah, dia sebenarnya berbuat kerosakan di bumi. Sementara kesolehan di bumi dan langit adalah dengan berbuat taat (kepada Allah).

Oleh itu apabila Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi … dalam konteks ayat yang menerangkan syarat-syarat berdoa, ia bermaksud janganlah bermaksiat kepada Allah dengan sengaja melanggar perintah berdoa secara merendah diri, perlahan lagi tersembunyi.

Dengan itu juga berdasarkan firman Allah ini, penulis ingin mengajak para pembaca merenung dengan fikiran yang terbuka, apakah perbuatan berdoa secara megah dan kuat di majlis-majlis dan konsert-konsert selawat yang lazim berlaku di Malaysia satu kebaikan atau kerosakan di bumi?

  • …sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya.

Kebaikan yang disediakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala adalah dengan pengutusan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan penurunan al-Qur’an.

Sudah dijelaskan di atas bahawa kerosakan di bumi ialah perbuatan maksiat kepada Allah sementara kebaikan di bumi ialah perbuatan taat kepada Allah. Maka dalam ayat ini Allah melarang manusia melakukan maksiat kepada-Nya sesudah Dia mengutuskan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan menurunkan al-Qur’an kepadanya.

Dalam konteks berdoa, ia bermaksud janganlah kalian berdoa mengikut sesuka hati sesudah Allah mengutuskan Rasulullah dan menurunkan al-Qur’an bagi menenerangkan cara sebenar berdoa kepada-Nya.

  • …dan berdoalah kepada-Nya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan mengharapkan (supaya makbul).

Senada dengan ayat ini adalah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala tentang adab berdoa para Nabi dan Rasul-Nya,

إِنَّهُمْ كَانُوا يُسَارِعُونَ فِي الْخَيْرَاتِ وَيَدْعُونَنَا رَغَبًا وَرَهَبًا وَكَانُوا لَنَا خَاشِعِينَ.

Sesungguhnya mereka (para Nabi dan Rasul) sentiasa berlumba-lumba membuat kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta cemas; dan mereka pula sentiasa khusyuk kepada Kami. [al-Anbiya’ 21:90]

Sebagaimana seekor burung terbang dengan kedua sayapnya sekali gus, demikianlah juga manusia apabila berinteraksi dengan Allah, hendaklah dilengkapi dengan dua perasaan yang wujud sekali gus, yakni berharap dan bimbang. Tidak boleh ditinggalkan satu atau kedua-dua perasaan ini, sebagaimana burung tidak dapat terbang dengan sebelah sayap atau tanpa kedua-duanya.

Justeru dalam beribadah, bersangka, beringat (zikir) dan berdoa kepada Allah, hendaklah hadir dalam dirinya perasaan berharap dan bimbang. Dalam konteks berdoa, hendaklah hadir perasaan berharap agar doanya dimakbulkan, namun pada waktu yang sama bimbang andai doanya tidak dimakbulkan di dunia ini.

Perasaan ini memang sukar hendak dihadirkan dalam diri seseorang, melainkan apabila dia berdoa secara merendah diri, perlahan dan tersembunyi.

Di sini timbul soalan, bukankah Allah telah menjanjikan bahawa semua doa akan dimakbulkan? Maka kenapa perlu berdoa dengan perasaan bimbang doa tersebut tidak akan dimakbulkan?

Dijawab, bahawa janji Allah adalah benar dan kita hendaklah yakin dengan janji tersebut. Namun tidak boleh terlebih yakin (over confident) kerana boleh jadi wujud sebab-sebab lain yang mengurangi kadar kemakbulan doa seperti tiada persiapan sebelum berdoa, doa yang tidak menepati syarat-syaratnya atau doa yang tidak selari dengan adab-adab yang dianjurkan. Adab-adab berdoa yang dianjurkan akan dijelaskan dalam soal-jawab seterusnya insyaAllah.

Oleh kerana itu kita dapati Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sendiri berlindung daripada doa yang tidak didengar meskipun baginda sangat arif tentang adab-adab berdoa. Ini menunjukkan baginda tidak terlebih yakin bahawa doanya akan dimakbulkan. Abu Hurairah radhiallahu 'anh menceritakan,

كَانَ رَسُولُ صَلَّى عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ:

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam lazim berdoa,

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْأَرْبَعِ، مِنْ عِلْمٍ لَا يَنْفَعُ، وَمِنْ قَلْبٍ لَا يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لَا تَشْبَعُ، وَمِنْ دُعَاءٍ لَا يُسْمَعُ.

“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau daripada empat perkara, daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada jiwa yang tidak berasa puas dan daripada doa yang tidak didengar.”[2]

  • Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.

Muhsinin berasal daripada kata dasar ihsan, bermaksud orang yang berbuat baik melebihi kadar kebiasaan. Ia juga bermaksud orang yang sentiasa berusaha memperbaiki amalan-amalannya. Maka dalam rangkap di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan bahawa rahmat-Nya dekat kepada orang-orang yang berbuat ihsan dalam semua urusan termasuklah dalam urusan doa.

Sesiapa yang berdoa sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat 55-56 surah al-A’raaf atau berusaha memperbaiki amalan doanya daripada kebiasaan masyarakat kepada apa yang menepati ayat 55-56 surah al-A’raaf, maka rahmat Allah amatlah dekat kepadanya.

 

[1]          Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no.: 88/96 (Kitab al-Thaharah, Bab melampaui batas dalam penggunaan air).

[2]          Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya dan ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no.: 1324/1548 (Kitab al-Sholat, Bab tentang doa perlindungan).