Jawapan:

Ya, terdapat kaitan yang rapat antara doa ibu dan bapa, dan anak-anak. Berikut penjelasannya.

Pertama: Doa Ibu Dan Bapa Ke Atas Anak-Anak

Antara doa yang dimakbulkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala adalah doa ibu dan bapa ke atas anak-anak mereka. Ini berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam,

ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ عَلَى وَلَدِهِ.

Tiga suasana di mana doa adalah mustajab tanpa keraguan padanya, (1) doa orang yang dizalimi, (2) doa orang yang bermusafir dan (3) doa ibu dan bapa ke atas anaknya.[1]

Berdasarkan hadis ini, anak-anak hendaklah merebut peluang memintakan ibu dan bapa mendoakan mereka. Sayang sekali sebahagian anak-anak apabila telah masuk usia remaja ke atas, berasa angkuh untuk meminta ibu dan bapa mendoakan mereka. Padahal mereka pada waktu yang sama menghadapi banyak cabaran dalam kehidupan seperti peperiksaan, kerjaya, ekonomi dan rumahtangga. Seandainya mereka merendahkan diri meminta ibu dan bapa mendoakan mereka, nescaya mereka akan dapati Allah Subhanahu wa Ta'ala memudahkan cabaran-cabaran kehidupan yang sedang dihadapi.

Seperkara lain tentang kemakbulan doa ibu dan bapa, janganlah anak-anak menderhaka kepada ibu dan bapa. Dibimbangi ibu dan bapa mendoakan sesuatu yang tidak baik ke atas mereka dan Allah Subhanahu wa Ta'ala memakbulkan doa itu. Hayatilah kisah berikut di mana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

Pernah terdapat seorang ahli ibadah yang bernama Juraij. Beliau banyak beribadah sehingga didirikan sebuah biara untuknya, dan dia tinggal di dalamnya. Suatu ketika ibunya datang pada saat dia sedang mendirikan solat. Ibunya memanggilnya: “Wahai Juraij!” Juraij berkata dalam hatinya:

يَا رَبِّ أُمِّي وَصَلاَتِي.

“Wahai Tuhan, ibuku (memanggil) padahal aku bersolat.” Juraij memilih untuk meneruskan solatnya sehingga ibunya pergi.

Pada keesokan hari ibunya datang semula dan Juraij masih sedang bersolat. Ibunya memanggilnya: “Wahai Juraij!” Juraij berkata dalam hatinya: “Wahai Tuhan, ibuku (memanggil) padahal aku bersolat.” Juraij memilih untuk meneruskan solatnya sehingga ibunya pergi.

Pada keesokan hari ibunya datang semula (untuk kali ketiga) dan Juraij masih sedang bersolat. Ibunya memanggilnya: “Wahai Juraij!” Juraij berkata dalam hatinya: “Wahai Tuhan, ibuku (memanggil) padahal aku bersolat.” Juraij memilih untuk meneruskan solatnya sehingga ibunya pergi. Lantas ibunya berdoa:

اللَّهُمَّ لاَ تُمِتْهُ حَتَّى يَنْظُرَ إِلَى وُجُوهِ الْمُومِسَاتِ!

“Ya Allah! Janganlah Engkau matikan Juraij melainkan setelah dia melihat wajah-wajah pelacur!”

Sejak saat itu, kaum Bani Israil mula berbincang berkenaan Juraij dan ibadahnya. Ada seorang pelacur yang berdandan cantik berkata: “Jika kalian kehendaki, aku akan menggodanya untuk kalian.” Maka pelacur itu menawarkan diri kepada Juraij, tetapi Juraij sama sekali tidak mengendahkannya. Lalu pelacur tersebut mendatangi seorang pengembala kambing yang sedang berteduh di biara Juraij, menyerahkan diri kepadanya sehingga pengembala itu menyetubuhinya.

Pelacur tersebut menjadi hamil. Ketika anak itu dilahirkan, pelacur tersebut mendakwa: “Ini adalah anak Juraij.” Maka orang ramai mendatangi Juraij, memaksanya keluar, menghancurkan biaranya dan memukulnya. Juraij bertanya: “Kenapakah kalian melakukan semua ini?” Mereka menjawab: “Engkau telah melacur dengan pelacur ini sehingga dia melahirkan anak kamu!” Juraij bertanya: “Di manakah anak tersebut?” Lalu bayi itu dibawa kepada Juraij. Dia berkata: “Biarkan aku, aku ingin bersolat terlebih dahulu.” Maka Juraij bersolat. Setelah selesai, Juraij mendatangi bayi tersebut, memukul di perutnya, lalu bertanya:

يَا غُلاَمُ مَنْ أَبُوكَ؟ قَالَ: فُلاَنٌ الرَّاعِي.

“Wahai bayi, siapakah ayah kamu?” Bayi itu menjawab: “Ayahku adalah seorang pengembala kambing.”

Tatkala mendengar jawapan tersebut, orang ramai kembali kepada Juraij, menyentuhnya dan menciumnya (kerana mereka telah bersalah dalam menuduhnya) dan berkata: “Kami akan membangunkan semula biara kamu yang kami hancurkan dengan emas.” Juraij menjawab: “Tidak, tetapi bangunkanlah ia dengan tanah sebagaimana asalnya.”[2]

Bayangkan, jika seorang anak yang sedang bersolat dianggap melakukan kesalahan kerana tidak mengendahkan hajat ibunya, bagaimana pula dengan anak-anak yang sering leka mengejar kehidupan dunia sehingga tidak mengendahkan hajat ibu dan bapanya? Bahkan lebih dahsyat adalah anak-anak yang memarahi dan menengking ibu dan bapa mereka, maka takutilah doa ibu dan bapa ke atas mereka!

 

Kedua: Doa Anak Ke Atas Ibu dan Bapa

Antara doa yang dimakbulkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala adalah doa anak-anak ke atas ibu dan bapa mereka yang sudah meninggal dunia. Ini berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam,

إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ.

Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara, (1) sedekah jariyahnya, (2) ilmunya yang dimanfaatkan atau (3) anak soleh yang mendoakannya.[3]

Satu contoh kemakbulan doa anak ke atas ibu dan bapanya yang sudah meninggal dunia adalah hadis berikut di mana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ لَيَرْفَعُ الدَّرَجَةَ لِلْعَبْدِ الصَّالِحِ فِي الْجَنَّةِ فَيَقُولُ: يَا رَبِّ أَنَّى لِي هَذِهِ؟ فَيَقُولُ: بِاسْتِغْفَارِ وَلَدِكَ لَكَ.

Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla menaikkan darjat seorang hamba yang soleh di syurga, lalu dia bertanya: “Wahai Tuhan! Daripada manakah saya mendapat kelebihan ini?” Dijawab: “Disebabkan permohonan ampun anak kamu kepada kamu.”[4]

Berdasarkan hadis-hadis ini, hendaklah anak-anak memperbanyakkan doa keampunan dan rahmat ke atas ibu dan bapa mereka yang sudah meninggal dunia. Moga dengan doa itu Allah Subhanahu wa Ta'ala akan mengurniakan kepada ibu dan bapa mereka kedudukan yang terbaik di Alam Barzakh sehinggalah ke syurga Firdaus di Akhirat kelak.

Bagi doa keampunan ibu dan bapa, disyorkan doa berikut yang dibaca oleh Nabi Ibrahim ‘alahis salam,

رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ.

Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal. [Ibrahim 14:41]

Bagi mendoakan rahmat Allah Subhanahu wa Ta'ala ke atas ibu dan bapa, disyorkan membaca doa berikut,

رَبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا.

Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara, mendidik dan menguruskan aku semasa kecil. [al-Isra’ 17:24]

 

Ketiga: Bertawassul Dengan Bakti Kepada Ibu Dan Bapa

Antara cara meningkatkan kadar kemakbulan doa adalah dengan bertawassul kepada amal soleh yang pernah dilakukan. Ini sebagaimana yang telah dijelaskan dalam soalan Apakah Maksud Berdoa Dengan Amal Soleh?

Antara amal soleh yang amat besar nilainya di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala adalah berbakti kepada ibu dan bapa.[5] Anak yang lazim berbakti kepada ibu dan bapanya, apabila dia berdoa dengan bertawassul kepada amal soleh tersebut, nescaya Allah akan memakbulkan doanya. Perhatikan hadis berikut di mana Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

Ketika tiga sekawan sedang berjalan (hiking), tiba-tiba hujan turun lalu mereka berlindung ke dalam sebuah gua di sebuah gunung. Kemudian sebuah batu besar dari gunung itu jatuh dan menutupi pintu gua sehingga mereka terperangkap di dalamnya. Maka berkatalah salah seorang daripada mereka kepada temannya yang lain, “Perhatikanlah amal soleh yang pernah kalian lakukan kerana Allah, lalu berdoalah kepada Allah Ta’ala dengannya. Mudah-mudahan Allah membuka (pintu gua) itu untuk kalian.”

Maka berkatalah salah seorang daripada mereka, “Ya Allah, sesungguhnya dahulu aku mempunyai dua orang tua yang sudah lanjut usia, seorang istri dan beberapa orang anak lelaki kecil yang aku sara kehidupan mereka dengan mengembala kambing. Apabila pulang, aku memerah susu dan aku dahulukan ibu dan bapaku untuk minum sebelum aku berikan kepada anak-anakku.

Pada satu hari, aku bekerja agak jauh dan hanya kembali ke rumah pada waktu malam. Lalu aku dapati ibu dan bapaku telah tidur. Seperti biasa aku memerah susu dan membawanya ke bilik tidur mereka. Aku berdiri di sisi kepala mereka berdua namun aku tidak suka mengejutkan mereka berdua daripada tidur. Pada waktu yang sama aku tidak suka memberi minum anak-anakku sebelum mereka berdua, meskipun anak-anakku telah berada di kakiku meminta susu kerana kelaparan. Keadaan aku dan anak-anak aku berterusan sehinggalah terbit fajar.

فَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنِّي فَعَلْتُ ذَلِكَ ابْتِغَاءَ وَجْهِكَ فَافْرُجْ لَنَا مِنْهَا فُرْجَةً نَرَى مِنْهَا السَّمَاءَ. فَفَرَجَ اللَّهُ مِنْهَا فُرْجَةً فَرَأَوْا مِنْهَا السَّمَاءَ.

(Ya Allah), jika Engkau mengetahui bahawasanya aku melakukan sedemikian bagi mencari Wajah-Mu, maka bukakanlah bagi kami satu celah daripada pintu gua itu, bukaan yang daripada celahnya dapat kami melihat langit.” Maka Allah membuka satu celah daripada pintu gua itu, bukaan yang daripada celahnya dapat mereka melihat langit. [6]

 

[1]           Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau mendiamkan darjatnya. Ia dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 1828/1905 (Kitab al-Birr wa al-Silah ‘an Rasulullah, Bab berkenaan panggilan ibu dan bapa). Hadis ini dinilai hasan li ghairihi oleh Syu’aib al-Arna’uth dan ‘Abd al-Latheif Harzallah dalam semakan mereka ke atas al-Jami’ al-Kabir (nama lain bagi Sunan al-Tirmizi), hadis no.: 2107.

[2]           Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 4625/2550 (Kitab al-Birr wa al-Shalah wa al-Adab, Bab mendahulukan kebaikan kepada ibubapa daripada solat sunat).

[3]          Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 3084/1631 (Kitab al-Wasiyat, Bab apakah ganjaran yang diperolehi oleh manusia setelah dia meninggal dunia).

[4]           Hasan: Dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnadnya dan sanadnya dinilai hasan oleh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad, hadis no.: 10610.

[5]          Jemput semak buku penulis Wahai Ibu!, Wahai Ayah! yang boleh dimuat turun di www.hafizfirdaus.com

[6]          Sahih: Sebahagian daripada hadis panjang yang dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 4926/2743 (Kitab al-Zikr, wa al-Du’a wa al-Taubah wa al-Istighfar, Bab kisah tiga orang penghuni gua dan mereka bertawassul dengan amal soleh). Teks penuh hadis telah dikemukakan dalam soalan Apakah Maksud Berdoa Dengan Amal Soleh?