Jawapan:

 

Dianjurkan memulakan doa dengan menyebut nama-nama Allah yang baik (al-Asma ul Husna). Ini disebut sebagai berdoa dengan bertawassul kepada nama-nama Allah.

Maksud tawassul ialah menjadikan sesuatu sebagai sarana bagi mendekatkan diri kepada Allah. Adapun bertawassul dalam berdoa, maksudnya ialah menjadikan sesuatu sebagai sarana bagi meningkatkan kadar kemakbulan doa di sisi Allah. Memandangkan doa adalah satu ibadah, maka apa yang dijadikan sarana itu bukanlah mengikut logik atau kesukaan seseorang, tetapi mestilah berdalilkan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.

Berdoa dengan bertawassul kepada nama-nama Allah adalah dianjurkan berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta'ala,

وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا.

Dan bagi Allah nama-nama yang baik, maka berdoalah kepadanya dengan (nama-nama) itu. [al-A’raaf 7:180]

قُلِ ادْعُوا اللَّهَ أَوِ ادْعُوا الرَّحْمَنَ أَيًّا مَا تَدْعُوا فَلَهُ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَى.

Katakanlah: “Berdoalah dengan nama Allah atau al-Rahman, yang mana sahaja kamu guna untuk berdoa, maka bagi Allah nama-nama yang baik.” [al-Isra’ 17:110]

Ada dua cara bagi berdoa dengan bertawassul kepada nama-nama Allah. Pertama adalah dengan merujuk kepada pengamalan, tunjuk ajar serta pengesyoran Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Perhatikan beberapa hadis berikut,

Fadhalah bin ‘Ubaid radhiallahu 'anh berkata:

سَمِعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلاً يَدْعُو فِي صَلاَتِهِ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: عَجِلَ هَذَا.

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mendengar seorang lelaki yang meminta dalam doanya[1] tanpa berselawat ke atas Nabi shallallahu 'alaihi wasallam. Maka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Orang ini terburu-buru.”

ثُمَّ دَعَاهُ فَقَالَ لَهُ أَوْ لِغَيْرِهِ: إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ فَلْيَبْدَأْ بِتَحْمِيدِ اللَّهِ وَالثَّنَاءِ عَلَيْهِ ثُمَّ لْيُصَلِّ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ لْيَدْعُ بَعْدُ بِمَا شَاءَ.

Lantas baginda memanggilnya dan berkata kepadanya atau kepada selainnya: “Apabila seseorang kalian berdoa, hendaklah dimulai dengan Tahmid dan puji-pujian kepada Allah kemudian diikuti dengan selawat ke atas Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, kemudian sesudah itu mintalah apa saja yang dikehendaki.”[2]

Contoh lain, ketika berdoa meminta hujan (Istisqa’), Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam memulakan doa dengan tiga ayat pertama surah al-Fatihah,

ثُمَّ قَالَ ((الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ مَلِكِ يَوْمِ الدِّينِ)) لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ يَفْعَلُ مَا يُرِيدُ.

Kemudian baginda berdoa, “Segala puji bagi Allah, Rabb sekian alam. Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Raja pada Hari Pembalasan. (al-Fatihah 1:1-3) Tiada Tuhan melainkan Allah, Tuhan berbuat apa yang dikehendaki-Nya.

اللَّهُمَّ أَنْتَ اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ الْغَنِيُّ وَنَحْنُ الْفُقَرَاءُ أَنْزِلْ عَلَيْنَا الْغَيْثَ وَاجْعَلْ مَا أَنْزَلْتَ لَنَا قُوَّةً وَبَلَاغًا إِلَى حِينٍ.

Ya Allah, Engkaulah Allah, tiada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang Maha Kaya sementara kami amat memerlukan. Turunkanlah ke atas kami hujan dan jadikanlah apa yang Engkau turunkan itu sumber kekuatan serta bekalan kehidupan bagi kami sehingga ke masanya (yang Engkau tentukan).”[3]

Contoh lain ialah memulakan doa dengan zikir pujian yang disebut oleh Nabi Yunus ‘alaihis salam, kemudian berdoa apa yang dikehendaki. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengajar kita,

دَعْوَةُ ذِي النُّونِ إِذْ دَعَا وَهُوَ فِي بَطْنِ الْحُوتِ:

Doa Dzun Nun (Nabi Yunus), apabila dia berdoa ketika di dalam perut ikan paus adalah,

لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنْ الظَّالِمِينَ.

“Tiada tuhan melainkan Engkau (Ya Allah), Maha suci Engkau. Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim (ke atas diri sendiri).”

فَإِنَّهُ لَمْ يَدْعُ بِهَا رَجُلٌ مُسْلِمٌ فِي شَيْءٍ قَطُّ إِلَّا اسْتَجَابَ اللَّهُ لَهُ.

Sesungguhnya tidaklah seorang Muslim berdoa meminta apa jua dengannya melainkan pasti Allah memakbulkan baginya.[4]

Contoh lain, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah mendengar seorang lelaki memulakan doanya dengan,

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ أَنِّي أَشْهَدُ أَنَّكَ أَنْتَ اللَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ الْأَحَدُ الصَّمَدُ الَّذِي لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ.

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada Engkau, bahawa aku bersaksi bahawa Engkau adalah Allah, tiada tuhan melainkan Engkau, yang Maha Tunggul, tempat bergantung segala sesuatu, tidak beranak dan tidak diperanakkan dan tiada ada sesuatu jua yang seperti-Nya.”

فَقَالَ: وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَقَدْ سَأَلَ اللَّهَ بِاسْمِهِ الْأَعْظَمِ الَّذِي إِذَا دُعِيَ بِهِ أَجَابَ وَإِذَا سُئِلَ بِهِ أَعْطَى

Maka baginda bersabda, “Demi Allah nyawaku yang berada di Tangan-Nya, sesungguhnya dia telah meminta kepada Allah dengan nama-Nya yang agung, yang jika dia berdoa dengannya pasti akan dikabulkan dan jika dia meminta dengannya pasti akan diberikan.[5]

Contoh lain, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah mendengar seorang lelaki memulakan doanya dengan,

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ بِأَنَّ لَكَ الْحَمْدُ لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ الْمَنَّانُ بَدِيعُ السَّمَوَاتِ وَالْأَرْضِ يَا ذَا الْجَلَالِ وَالْإِكْرَامِ يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ.

“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada Engkau, bahawa bagi Engkau segala pujian, tiada tuhan melainkan Engkau, yang Maha Pemberi Kurnia, Pencipta langit dan bumi, wahai yang memiliki keagungan dan kemuliaan, wahai yang Maha Hidup dan wahai yang mengurusi makhluk-Nya.”

فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَقَدْ دَعَا اللَّهَ بِاسْمِهِ الْعَظِيمِ الَّذِي إِذَا دُعِيَ بِهِ أَجَابَ وَإِذَا سُئِلَ بِهِ أَعْطَى.

Maka Nabi shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, “Demi sesungguhnya dia telah berdoa dengan nama Allah yang agung, yang jika dia berdoa dengannya pasti dimakbulkan dan jika dia meminta dengannya pasti akan diberikan.”[6]

Kedua, berdoa dengan memilih nama-nama Allah yang berkaitan dengan doa, baik di permulaan doa atau di akhir doa. Contohnya,

“Ya Allah, Engkaulah yang Maha Pengampun (al-Ghafur), maka ampunilah dosa-dosaku dan dosa-dosa orang-orang tua aku.”

“Ya Allah, lariskanlah perniagaan aku hari ini, sesungguhnya Engkaulah Pemberi Rezeki (al-Razzaq) bagi kami.”

“Ya Allah, Engkaulah yang Maha Penyembuh (al-Syafi), maka sembuhkanlah penyakit aku ini.”

Demikian tiga contoh. Para pembaca dijemput mengkaji nama-nama Allah dan memilih nama yang sesuai, selari doa yang diminta.

Walau bagaimanapun, dibolehkan berdoa terus tanpa memulakannya dengan nama-nama Allah Subhanahu wa Ta'ala atau berselawat kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Contohnya, Umm Sulaim radhiallahu 'anha pernah menyerahkan anaknya – Anas bin Malik – kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam untuk menjadi pembantu baginda. Umm Sulaim berkata,

يَا رَسُولَ اللَّهِ خَادِمُكَ أَنَسٌ ادْعُ اللَّهَ لَهُ. فَقَالَ:

“Wahai Rasulullah, (ini) pembantu kamu, Anas. Berdoalah kepada Allah baginya.” Maka Rasulullah berdoa,

اللَّهُمَّ أَكْثِرْ مَالَهُ وَوَلَدَهُ وَبَارِكْ لَهُ فِيمَا أَعْطَيْتَهُ.

“Ya Allah, perbanyakkanlah hartanya dan anaknya serta berkatilah apa yang Engkau berikan kepadanya.”[7]

Dalam hadis di atas, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam terus berdoa tanpa memulakannya dengan nama-nama Allah.

 

 

 

 

 

 

 

[1]          Perkataan “solat” dalam bahasa Arab memiliki dua maksud. Pertama, solat yang bermula dengan takbir dan berakhir dengan salam. Kedua, berdoa.

Dalam menterjemahkan hadis di atas, penulis memilih maksud kedua = doa. Sebabnya, jika diterjemah dengan maksud pertama, ia tidak menepati keseluruhan hadis kerana dalam solat seseorang itu sudahpun memuji Allah dan berselawat kepada Rasulullah ketika bacaan tasyahud yang akhir, sehingga tidak perlu Rasulullah menyuruh orang itu mengulanginya sebelum berdoa.

[2]           Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan beliau berkata, “Hadis ini hasan sahih.” Ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi – hadis no: 3399/3477 (Kitab al-Da’awat ‘an Rasulullah, Bab tentang himpunan doa-doa daripada Nabi).

[3]          Hasan: Sebahagian daripada hadis yang dikeluarkan oleh Abu Daud dan beliau berkata, hadis ini gharib dan sanadnya jayyid (bagus). Dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no.: 992 sementara Syu’aib al-Arna’uth turut menilai sanadnya sebagai hasan dalam semakannya ke atas Sunan Abu Daud, hadis no.:1173 (Kitab al-Solat, Bab mengangkat kedua tangan ketika solat Istisqa’). Teks penuh hadis telah dikemukakan sebelum ini.

[4]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau mendiamkan darjatnya. Ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 3427/3505 (Kitab al-Da’awat ‘an Rasulullah, Bab menghitung tasbih dengan tangan). Sementara Syu’aib al-Arna’uth dan ‘Abd al-Latheif Harzallah menilai hadis ini hasan dalam semakan mereka ke atas al-Jami’ al-Kabir (nama lain bagi Sunan al-Tirmizi), hadis no.: 3813.

[5]           Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau berkata, “Hadis ini hasan gharib.” Ia dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 3397/3475 (Kitab al-Da‘awat ‘an Rasulullah, Bab himpunan doa daripada Nabi).

[6]           Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dalam Sunannya dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadis no.: 1277/1495 (Kitab al-Witir, Bab doa).

[7]          Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 4529/2480 (Kitab Fadha’il al-Shohabah, Bab keutamaan Anas bin Malik).