Jawapan:

Pada asalnya, semua Muslim patut takut dan menjauhi perbuatan menzalimi orang lain. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman,

يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلَا تَظَالَمُوا.

Wahai hamba-Ku, Sesungguhnya Aku mengharamkan kezaliman ke atas diri-Ku dan Aku menjadikannya haram di antara kalian, maka janganlah berbuat zalim.[1]

Bahkan hendaklah takut daripada mencenderungi, yakni menyokong atau reda[2] dengan tindakan zalim orang lain. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala,

وَلَا تَرْكَنُوا إِلَى الَّذِينَ ظَلَمُوا فَتَمَسَّكُمُ النَّارُ وَمَا لَكُمْ مِنْ دُونِ اللَّهِ مِنْ أَوْلِيَاءَ ثُمَّ لَا تُنْصَرُونَ.

Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim, yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan. [Hud 11:113]

Dalam ayat di atas, sekadar mencenderungi orang yang zalim sudah cukup menjadi sebab disentuh api neraka. Nah! Bagaimana pula jika melakukan sendiri perbuatan zalim? Sudah tentu lebih dahsyat azab di Akhirat kelak.

Islam sangat prihatin terhadap perbuatan zalim. Islam melarang umatnya berbuat zalim mahupun mencenderungi orang-orang yang berbuat zalim. Selain itu, Islam membela mangsa kezaliman dengan memberi mereka peluang berdoa ke atas orang yang menzalimi mereka. Doa orang yang dizalimi adalah sangat makbul.

Perhatikan hadis-hadis berikut. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ عَلَى وَلَدِهِ.

Tiga suasana di mana doa adalah mustajab tanpa keraguan padanya, (1) doa orang yang dizalimi, (2) doa orang yang bermusafir dan (3) doa ibu dan bapa ke atas anaknya.[3]

Doa orang yang dizalimi pasti Allah makbulkan meskipun tidak serta merta. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda,

ثَلَاثَةٌ لَا تُرَدُّ دَعْوَتُهُمْ: الصَّائِمُ حَتَّى يُفْطِرَ، وَالإِمَامُ العَادِلُ، وَدَعْوَةُ المَظْلُومِ يَرْفَعُهَا اللَّهُ فَوْقَ الغَمَامِ وَيَفْتَحُ لَهَا أَبْوَابَ السَّمَاءِ وَيَقُولُ الرَّبُّ: وَعِزَّتِي لَأَنْصُرَنَّكِ وَلَوْ بَعْدَ حِينٍ.

Tiga orang yang doa mereka tidak ditolak, (1) orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, (2) imam yang adil dan (3) doa orang yang dizalimi di mana Allah akan mengangkatnya di atas awan dan dibuka baginya pintu-pintu langit. Allah berfirman, “Demi Kemuliaan-Ku, sungguh aku akan menolongmu meskipun sesudah beberapa ketika.”[4]

Istimewa bagi orang dizalimi sahaja, doanya ke atas orang yang menzaliminya dimakbulkan Allah meskipun dia seorang yang banyak berbuat dosa. Diriwayatkan bahawa,

دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ مُسْتَجَابَةٌ، وَإِنْ كَانَ فَاجِرًا فَفُجُورُهُ عَلَى نَفْسِهِ.

Doa orang yang dizalimi adalah mustajab meskipun dia seorang yang banyak berbuat dosa kerana dosa itu ada tanggungjawab dirinya sendiri.[5]

Terdapat beberapa kisah sahih bagaimana Allah Subhanahu wa Ta'ala memakbulkan doa orang yang dizalimi. Sila hayati kisah-kisah berikut.

Kisah Pertama:

‘Abdullah ibn Mas’ud radhiallahu 'anh menceritakan,

بَيْنَمَا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي عِنْدَ الْبَيْتِ وَأَبُو جَهْلٍ وَأَصْحَابٌ لَهُ جُلُوسٌ وَقَدْ نُحِرَتْ جَزُورٌ بِالْأَمْسِ فَقَالَ أَبُو جَهْلٍ: أَيُّكُمْ يَقُومُ إِلَى سَلَا جَزُورِ بَنِي فُلَانٍ فَيَأْخُذُهُ فَيَضَعُهُ فِي كَتِفَيْ مُحَمَّدٍ إِذَا سَجَدَ؟

Ketika Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sedang solat di sisi Ka’bah, Abu Jahal dan rakan-rakannya sedang duduk-duduk sementara (berhampiran mereka) ada unta yang disembelih semalam. Maka Abu Jahal berkata, “Siapakah di kalangan kalian (rakan-rakannya itu) yang sanggup mengambil sisa unta sembelihan Bani Fulan itu, kemudian meletakkan di bahu Muhammad apabila dia sujud?

فَانْبَعَثَ أَشْقَى الْقَوْمِ فَأَخَذَهُ فَلَمَّا سَجَدَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَضَعَهُ بَيْنَ كَتِفَيْهِ. قَالَ فَاسْتَضْحَكُوا وَجَعَلَ بَعْضُهُمْ يَمِيلُ عَلَى بَعْضٍ وَأَنَا قَائِمٌ أَنْظُرُ لَوْ كَانَتْ لِي مَنَعَةٌ طَرَحْتُهُ عَنْ ظَهْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

Maka bangunlah orang yang paling celaka antara mereka, pergi mengambil sisa (sembelihan unta itu) dan tatkala Nabi shallallahu 'alaihi wasallam sujud, dia meletaknya di antara bahu baginda. Maka mereka ketawa (terbahak-bahak sehingga) saling menyandar di antara satu sama lain sementara aku (‘Abdullah ibn Mas’ud) hanya berdiri melihat. Kalaulah aku memiliki kekuatan, nescaya aku akan membuang sisa unta itu dari belakang Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَاجِدٌ مَا يَرْفَعُ رَأْسَهُ حَتَّى انْطَلَقَ إِنْسَانٌ فَأَخْبَرَ فَاطِمَةَ فَجَاءَتْ وَهِيَ جُوَيْرِيَةٌ فَطَرَحَتْهُ عَنْهُ ثُمَّ أَقْبَلَتْ عَلَيْهِمْ تَشْتِمُهُمْ.

Nabi shallallahu 'alaihi wasallam terus sujud tanpa mengangkat kepalanya sehingga seseorang (yang melihat apa yang berlaku) segera pergi memberitahu Fathimah (anak Rasulullah). Maka Fathimah yang ketika itu masih berumur kecil, datang membuang sisa unta itu dari belakang Rasulullah. Kemudian Fathimah menghadap mereka (Abu Jahal dan rakan-rakannya) dan mencela mereka.

فَلَمَّا قَضَى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَاتَهُ رَفَعَ صَوْتَهُ ثُمَّ دَعَا عَلَيْهِمْ. وَكَانَ إِذَا دَعَا دَعَا ثَلَاثًا وَإِذَا سَأَلَ سَأَلَ ثَلَاثًا. ثُمَّ قَالَ: اللَّهُمَّ عَلَيْكَ بِقُرَيْشٍ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ. فَلَمَّا سَمِعُوا صَوْتَهُ ذَهَبَ عَنْهُمْ الضِّحْكُ وَخَافُوا دَعْوَتَهُ.

Maka tatkala Nabi shallallahu 'alaihi wasallam selesai solat, baginda meninggikan suara dan mendoakan kebinasaan ke atas mereka. Lazimnya apabila berdoa, baginda mengulanginya tiga kali dan apabila meminta, baginda mengulanginya tiga kali. Maka Rasulullah berdoa, “Ya Allah, binasakanlah kaum Quraish” tiga kali. Tatkala mendengar suara Rasulullah berdoa, mereka (Abu Jahal dan rakan-rakannya) terus berhenti ketawa dan berasa takut terhadap doa baginda.

ثُمَّ قَالَ: اللَّهُمَّ عَلَيْكَ بِأَبِي جَهْلِ بْنِ هِشَامٍ وَعُتْبَةَ بْنِ رَبِيعَةَ وَشَيْبَةَ بْنِ رَبِيعَةَ وَالْوَلِيدِ بْنِ عُقْبَةَ وَأُمَيَّةَ بْنِ خَلَفٍ وَعُقْبَةَ بْنِ أَبِي مُعَيْطٍ. وَذَكَرَ السَّابِعَ وَلَمْ أَحْفَظْهُ.

Kemudian baginda melanjutkan doanya, “Ya Allah, binasakanlah Abu Jahal bin Hisyam, ‘Utbah bin Rabi’ah, Syaibah bin Rabi’ah, al-Walid bin ‘Uqbah, ‘Umayyah bin Khalaf dan ‘Uqbah bin Mu’ith.” (Rasulullah) ada menyebut orang yang ketujuh tetapi aku tidak mengingatinya.

فَوَالَّذِي بَعَثَ مُحَمَّدًا صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالْحَقِّ لَقَدْ رَأَيْتُ الَّذِينَ سَمَّى صَرْعَى يَوْمَ بَدْرٍ ثُمَّ سُحِبُوا إِلَى الْقَلِيبِ قَلِيبِ بَدْرٍ.

Demi Allah yang mengutuskan Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam dengan kebenaran, sungguhnya aku melihat mereka yang nama-namanya di sebut oleh Rasulullah, mati bergelimpangan pada hari Perang Badar. Kemudian mereka diseret ke lubang, yakni lubang Badar.[6]

Kisah Kedua:

‘Abdul Malik bin ‘Umair menceritakan daripada Jabir bin Samurah sebuah kisah yang berlaku pada zaman pemerintahan Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khaththab radhiallahu 'anhuma,

شَكَا أَهْلُ الكُوفَةِ سَعْدًا إِلَى عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، فَعَزَلَهُ، وَاسْتَعْمَلَ عَلَيْهِمْ عَمَّارًا، فَشَكَوْا حَتَّى ذَكَرُوا أَنَّهُ لاَ يُحْسِنُ يُصَلِّي.

Warga Kufah mengadu kepada ‘Umar radhiallahu 'anh tentang Sa’ad (bin Abu Waqash), maka ‘Umar memecatnya dan menggantikannya dengan ‘Ammar (sebagai imam dan gabenor Kufah). Mereka (warga Kufah) mengadu banyak perkara sehingga disebut-sebut bahawa dia (Sa’ad) tidak bagus dalam perlaksanaan solat (sebagai imam).

فَأَرْسَلَ إِلَيْهِ، فَقَالَ: يَا أَبَا إِسْحَاقَ إِنَّ هَؤُلاَءِ يَزْعُمُونَ أَنَّكَ لاَ تُحْسِنُ تُصَلِّي.

Maka ‘Umar mengutuskan Sa’ad agar datang menghadapnya, lalu berkata, “Wahai Abu Ishaq (nama gelaran Sa’ad bin Abu Waqash), sesungguhnya mereka (warga Kufah) menuduh bahawa kamu tidak bagus dalam perlaksanaan solat (sebagai imam).”

قَالَ أَبُو إِسْحَاقَ: أَمَّا أَنَا وَاللَّهِ فَإِنِّي كُنْتُ أُصَلِّي بِهِمْ صَلاَةَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا أَخْرِمُ عَنْهَا، أُصَلِّي صَلاَةَ العِشَاءِ، فَأَرْكُدُ فِي الأُولَيَيْنِ وَأُخِفُّ فِي الأُخْرَيَيْنِ.

Abu Ishaq menjawab, “Adapun aku, maka Demi Allah! Sesungguhnya aku memimpin solat mereka sebagaimana solat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, tidaklah aku menguranginya. (Apabila) aku memimpin solat Isyak, aku memanjangkan dua rakaat pertama dan memendekkan dua rakaat terakhir (sebagaimana solat Rasulullah).”

قَالَ: ذَاكَ الظَّنُّ بِكَ يَا أَبَا إِسْحَاقَ.

Berkata ‘Umar, “Kami juga menjangkakan yang sedemikian wahai Abu Ishaq (bahawa kamu akan mengikuti sunnah Rasulullah sepenuhnya).”

فَأَرْسَلَ مَعَهُ رَجُلًا أَوْ رِجَالًا إِلَى الكُوفَةِ، فَسَأَلَ عَنْهُ أَهْلَ الكُوفَةِ وَلَمْ يَدَعْ مَسْجِدًا إِلَّا سَأَلَ عَنْهُ، وَيُثْنُونَ مَعْرُوفًا.

Maka ‘Umar mengutus bersama Abu Ishaq seorang atau beberapa orang ke Kufah dan mereka bertanya kepada warga Kufah tentang tuduhan ke atas Sa’ad bin Abu Waqash. Tidaklah mereka memasuki satu masjid pun melainkan mereka bertanya tentang Sa’ad sementara jawapan yang mereka perolehi hanyalah pujian dan kebaikan tentang Sa’ad.

حَتَّى دَخَلَ مَسْجِدًا لِبَنِي عَبْسٍ، فَقَامَ رَجُلٌ مِنْهُمْ يُقَالُ لَهُ أُسَامَةُ بْنُ قَتَادَةَ يُكْنَى أَبَا سَعْدَةَ قَالَ:

Sehinggalah mereka memasuki masjid Bani ‘Abs, maka berdirilah seorang lelaki daripada kalangan jemaah masjid itu. Dikatakan namanya ialah Usamah bin Qatadah, gelarannya ialah Abu Sa’dah. Dia berkata,

أَمَّا إِذْ نَشَدْتَنَا فَإِنَّ سَعْدًا كَانَ لاَ يَسِيرُ بِالسَّرِيَّةِ، وَلاَ يَقْسِمُ بِالسَّوِيَّةِ، وَلاَ يَعْدِلُ فِي القَضِيَّةِ!

“Jika kalian meminta pendapat kami, maka sesungguhnya Sa’ad (bin Abu Waqash) tidak turut serta dalam pasukan perang, tidak membahagi secara sama rata (harta rampasan perang) dan tidak bersikap adil dalam penghukuman!”

قَالَ سَعْدٌ: أَمَا وَاللَّهِ لَأَدْعُوَنَّ بِثَلاَثٍ: اللَّهُمَّ إِنْ كَانَ عَبْدُكَ هَذَا كَاذِبًا، قَامَ رِيَاءً وَسُمْعَةً، فَأَطِلْ عُمْرَهُ، وَأَطِلْ فَقْرَهُ، وَعَرِّضْهُ بِالفِتَنِ!

Berkata Sa’ad (bin Abu Waqash), “Demi Allah! Aku akan berdoa dengan tiga perkara. Ya Allah, jika hamba kamu ini (Usamah bin Qatadah) berdusta dan berdiri semata-mata bagi meraih pujian, maka panjangkanlah umurnya, panjangkanlah kemiskinannya dan dedahkanlah dia kepada pelbagai jenis fitnah!”

وَكَانَ بَعْدُ إِذَا سُئِلَ يَقُولُ: شَيْخٌ كَبِيرٌ مَفْتُونٌ، أَصَابَتْنِي دَعْوَةُ سَعْدٍ.

(Berkata Jabir bin Samurah), sesudah itu apabila ditanya (tentang keadaannya, Usamah bin Qatadah) menjawab, “Aku orang tua renta yang terkena fitnah, disebabkan doa Sa’ad.”

قَالَ عَبْدُ المَلِكِ: فَأَنَا رَأَيْتُهُ بَعْدُ، قَدْ سَقَطَ حَاجِبَاهُ عَلَى عَيْنَيْهِ مِنَ الكِبَرِ، وَإِنَّهُ لَيَتَعَرَّضُ لِلْجَوَارِي فِي الطُّرُقِ يَغْمِزُهُنَّ

Berkata ‘Abdul Malik, “Aku pernah melihatnya sesudah itu. Sungguh bulu keningnya jatuh menutupi matanya disebabkan umur yang tua dan sesungguhnya dia mengganggu dan menyindir anak-anak perempuan kecil di jalan-jalan (sehingga menjadi fitnah ke atas dirinya sendiri).”[7]

Kisah Ketiga:

Urwah bin al-Zubair menceritakan,

أَنَّ أَرْوَى بِنْتَ أُوَيْسٍ، ادَّعَتْ عَلَى سَعِيدِ بْنِ زَيْدٍ أَنَّهُ أَخَذَ شَيْئًا مِنْ أَرْضِهَا، فَخَاصَمَتْهُ إِلَى مَرْوَانَ بْنِ الْحَكَمِ.

Arwa binti Uwais mengadu tentang Sa’id bin Zaid bahawa kononnya dia mengambil sebahagian daripada tanahnya, lalu Azwa membawa kes ini kepada Marwan bin al-Hakam.

فَقَالَ سَعِيدٌ: أَنَا كُنْتُ آخُذُ مِنْ أَرْضِهَا شَيْئًا بَعْدَ الَّذِي سَمِعْتُ مِنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟

Sa’id berkata, “Apakah aku akan mengambil sebahagian daripada tanahnya sesudah aku mendengar (peringatan) daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam?”

قَالَ: وَمَا سَمِعْتَ مِنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ؟

Marwan bertanya, “Apakah yang kamu dengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam?”

قَالَ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: مَنْ أَخَذَ شِبْرًا مِنَ الْأَرْضِ ظُلْمًا، طُوِّقَهُ إِلَى سَبْعِ أَرَضِينَ.

Sa’id menjawab, “Aku mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda, “Sesiapa yang mengambil sejengkal tanah secara zalim, (pada hari Akhirat kelak, lehernya) akan dikalung dengan tujuh lapisan bumi.”

فَقَالَ لَهُ مَرْوَانُ: لَا أَسْأَلُكَ بَيِّنَةً بَعْدَ هَذَا.

Berkata Marwan kepada Sa’id, “Aku tidak akan meminta bukti lagi sesudah ini.”

فَقَالَ: اللهُمَّ إِنْ كَانَتْ كَاذِبَةً فَعَمِّ بَصَرَهَا وَاقْتُلْهَا فِي أَرْضِهَا.

Lantas Sa’id berdoa, “Ya Allah jika dia berdusta, maka butakanlah matanya dan matikanlah dia di tanahnya itu.”

قَالَ: فَمَا مَاتَتْ حَتَّى ذَهَبَ بَصَرُهَا ثُمَّ بَيْنَا هِيَ تَمْشِي فِي أَرْضِهَا إِذْ وَقَعَتْ فِي حُفْرَةٍ فَمَاتَتْ.

Berkata Urwah bin al-Zubair, “Maka tidaklah wanita itu mati melainkan dalam keadaan telah hilang penglihatannya. Kemudian ketika dia berjalan-jalan di tanahnya, dia terjatuh ke dalam lubang lalu mati.”[8]

 

 

 

[1]          Sahih: Sebahagian daripada hadis yang dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 4674/2577 (Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, Bab haramnya kezaliman). Teks penuh hadis sudah dikemukakan sebelum ini.

[2]          Maksud reda ialah hati berasa tenang. Dalam konteks ini, hati berasa tenang melihat orang lain berbuat zalim. Sepatutnya hati berasa marah, benci dan membantah apabila melihat orang lain berbuat zalim.

[3]           Hasan: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dalam Sunannya dan beliau mendiamkan darjatnya. Ia dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 1828/1905 (Kitab al-Birr wa al-Silah ‘an Rasulullah, Bab berkenaan panggilan ibu dan bapa). Hadis ini dinilai hasan li ghairihi oleh Syu’aib al-Arna’uth dan ‘Abd al-Latheif Harzallah dalam semakan mereka ke atas al-Jami’ al-Kabir (nama lain bagi Sunan al-Tirmizi), hadis no.: 2107.

[4]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan beliau berkata, “Hadis ini hasan.” Ia dinilai dha’if oleh al-Albani dalam Dha’if Sunan al-Tirmizi, hadis no.: 3522/3598 (Kitab al-Da’awat ‘an Rasulullah, Bab kemaafan dan kesejahteraan). Walau bagaimanapun Syu’aib al-Arna’uth dalam pendapatnya yang terbaru menilainya sahih berdasarkan jalan-jalan penguat yang ada. Rujuk penjelasan beliau dalam semakannya ke atas al-Jami’ al-Kabir (nama lain bagi Sunan al-Tirmizi), hadis no.: 3915.

[5]          -----: Dikeluarkan oleh Ahmad dalam Musnadnya dan ia nilai dha’if oleh Syu’aib al-Arna’uth dan rakan-rakannya dalam semakan mereka ke atas Musnad Ahmad, hadis no.: 8795. Namun sanadnya dinyatakan hasan oleh Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari, ketika mensyarahkan hadis no.: 1401/1496. Mungkin yang dimaksudkan oleh Ibn Hajar adalah hasan li ghairihi kerana adanya hadis-hadis lain sebagai penguat dalam bab ini. Rujuk penjelasan al-Albani dalam Silsilah al-Ahadits al-Shahihah, hadis no.: 767.

[6]          Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 3349/1794 (Kitab al-Jihad wa al-Siyar, Bab apa yang dialami oleh Rasulullah apabila berhadapan dengan kaum musyrikin dan munafik).

[7]          Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no.: 713/755 (Kitab al-Azan, Bab wajib membaca surah al-Fatihah bagi imam dan makmum dalam setiap solat, baik di tempat sendiri mahupun musafir, baik solat secara kuat mahupun perlahan).

[8]          Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no.: 3022/1610 (Kitab al-Musaqah, Bab haram berlaku zalim dan merampas tanah, dan sebagainya).